Komander Azreyanti teruskan perjuangan bapa, arwah suami - Utusan Malaysia

Komander Azreyanti teruskan perjuangan bapa, arwah suami

NOOR Azreyanti Ishak adalah pegawai wanita pertama Maritim Malaysia yang dilantik sebagai Pengarah Zon Maritim bagi menerajui Zon Maritim Kuala Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKSES meraih pelbagai penghargaan dan pencapaian dalam kerjaya yang dimonopoli lelaki, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak terus cemerlang apabila bergelar wanita pertama dilantik sebagai Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 18 Januari lalu.

Jawatan ini pantas disematkan ke sosok Azreyanti, 36, yang 12 tahun gigih merajut kesungguhan dalam kerjaya beruniform berkenaan.

Tentu sahaja dewasa ini, status wanita tidak pernah menjadi penghalang kepada mereka menggapai apa sahaja impian mahupun cita-cita. Azreyanti bagaimanapun membuktikan ia perlu didahulukan dengan tekad dan kesungguhan.

“Saya selalu teringat ungkapan bahawa tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia,” kata Azreyanti ketika ditemui di pejabatnya di Zon Maritim Kuala Kedah Agensi Penguat kuasaan Maritim Malaysia, Alor Setar baru-baru ini.

Berbual lebih lanjut kata Azreyanti, komitmen sebagai warga Maritim Malaysia bukan segalanya untuk mengejar pangkat tetapi melunaskan setiap tugasan yang diterima dengan sebaik mungkin.

“Satu tanggungjawab yang besar untuk saya memandangkan untuk wanita lebih ke peringkat tertinggi ini kurang dan ini juga menunjukkan pihak pengurusan tertinggi Maritim Malaysia juga tidak ada diskriminasi terhadap dua gender ini,” ulas beliau tentang pelantikannya itu.

Mengimbas awal penglibatannya dalam bidang maritim, Azreyanti mengakui dorongan keluarga terutama bapanya, Ishak Man, 63, yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadikan beliau berusaha keras sehingga berjaya melakar sejarah itu.

“Kami empat beradik perempuan dan ayah selalu berharap ada anaknya yang menceburi kerjaya beruniform dan saya merasakan itu adalah tanggungjawab saya,” katanya.

Bibit awal penglibatan dalam maritim bermula ketika menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila beliau turut menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Tentera Laut.

Mula menyertai Maritim Malaysia usai menamatkan pengajian dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia di universiti berkenaan pada 2008, seperti anggota Maritim lain, beliau menjalani latihan di laut dan di Kapal KM Marlin, Lumut Perak membuka peluang pertamanya.

“Apabila menceburi bidang yang dimonopoli lelaki kita juga harus buktikan gender ini tidak akan menghalang saya melakukan apa yang anggota lain lakukan. Tahun pertama saya dihabiskan untuk tugas di kapal,” katanya.

 

NOOR AZREYANTI ISHAK

Sebagai pegawai maritim, Azreyanti meraih banyak kecemerlangan terutama sebagai pegawai penyiasat kanan. Antaranya mengendalikan kes tangkapan syabu dalam sejarah Maritim Malaysia pada 2014.

“Ia merupakan tangkapan membabitkan 18 kilogram syabu di Pulau Pinang. Bagi saya apabila menerima sesuatu tugasan ia perlu disempurnakan dengan sebaik mungkin,” jelasnya.

Berkhidmat dalam bidang penguatkuasaan seperti itu, Azreyanti mengakui mengekalkan integriti adalah cabaran berat.

“Apabila saya menceburi bidang ini tekad saya adalah untuk bebas daripada rasuah. Saya akui dalam kerjaya seperti ini peluang sentiasa ada terutama apabila saya bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan dan ada tangkapan saya akan didatangi banyak pihak.

“Tetapi saya selalu percaya jika kita tidak buka ‘peluang’ untuk orang-orang yang cuba merobek integriti kita ini ‘peluang’ itu tidak akan datang,” tegasnya.

Memikul jawatan Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah kata Azreyanti, beliau berharap dapat terus menaikkan nama baik Zon Maritim Kuala Kedah dengan tangkapan besar.

“Saya juga berharap warga zon maritim ini bebas rasuah dan berintegriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Saya memerlukan sokongan yang padu, semangat yang jitu dan kerjasama berpasukan yang baik dalam menentukan kejayaan dan menaikkan imej zon dan Maritim Malaysia,” harapnya.

IBU TUNGGAL

Di sisi lain, tiada yang barangkali menduga di sebalik kekuatan dan semangat waja wanita ini, beliau sebenarnya adalah ibu tunggal yang cekal sejak lapan tahun lepas.

Kematian suami, Muhammad Rizeki Rosli yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 2013 selepas beliau melahirkan cahaya mata sulung mereka adalah satu ujian berat.

Mengimbas tentang peristiwa yang menghibakan dirinya itu cerita Azreyanti, arwah suaminya itu dalam perjalanan menemui beliau dan anak mereka dari Kelantan ke Sungai Petani.

“Saya masih ingat ketika itu bayi kami baru berusia 60 hari. Ia sangat menyedihkan tetapi saya harus cekal. Ya! Selain daripada ayah saya, arwah suami juga menjadi inspirasi untuk saya berjaya dalam bidang maritim.

“Arwah juga merupakan pegawai maritim dan kini saya meneruskan perjuangannya,” cerita beliau.

 

Noor Azreyanti Ishak (tengah) bersama para pegawainya di Zon Maritim Kuala Kedah.

Sebagai ibu tunggal tentu sahaja bukan mudah mahu membahagikan masa antara kerjaya dan anak, namun Azreyanti berusaha membesarkan Siti Nurzahra Safiyyah, 8, sebaik mungkin dengan dorongan anggota keluarga lain.

“Dua-dua kerjaya dan keluarga kena seimbang. Kerjaya tanpa keluarga hidup akan sunyi, keluarga tanpa kerjaya bagaimana dengan impian kita?

“Kerjaya ini memerlukan saya sabar dan tekad. Saya masih ingat ketika anak baru berusia lapan bulan saya perlu belayar ke Jepun, tiga minggu belayar dan tidak dapat bertanyakan khabar memang perit tetapi saya mengambil tanggungjawab ini dengan ikhlas,” katanya.

Katanya, walaupun sentiasa sibuk dengan kerjaya, beliau berusaha memberi sepenuh kasih sayang kepada anak tunggalnya itu.

“Kerana sayalah ibu dan ayahnya jadi saya harus pastikan anak tidak berasa kurang kasih sayang itu,” kata Azreyanti.

Barangkali bukan mudah untuk mencapai kejayaan seperti dikecapi Azreyanti namun beliau membuktikan tiada yang mustahil selagi setiap impian didahulukan dengan kesungguhan.

“Apabila masuk dalam bidang yang dimonopoli lelaki, fizikal dan mental memang kena kuat. Tidak boleh bagi alasan. Begitu juga jangan jadikan status ibu tunggal ini halangan untuk uruskan keluarga dengan baik,” pesannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya