AS jadikan dunia tebusan

AS jadikan dunia tebusan

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Tindakan Amerika Sya­­rikat untuk terus berperang dengan Iran termasuk langkah terbaharu mahu mengepung Selat Hormuz hanya akan menjadikan satu dunia sebagai tebusan kerana bakal mencetuskan krisis tenaga global yang lebih parah.

Sehubungan itu Malaysia me­minta semua pihak yang ter­babit kembali ke meja rundi­ngan bagi mengelakkan konflik berlarutan yang menjejaskan ma­­­­syarakat antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebarang sekatan terhadap Selat Hormuz akan memberi kesan rantaian yang besar kepada sektor tenaga dan pertanian khususnya ber­kai­tan bekalan baja.

“Jadi kita minta supaya AS me­mikirkan semua tindakan mereka dan semua pihak yang terlibat perlu berunding semula.

“Apa yang penting dunia ja­ngan dijadikan tebusan kepada peperangan yang tidak mempunyai apa-apa faedah ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demi­kian kepada pemberita selepas me­rasmikan Mini Konvensyen Ekuiti Usahawan Bumiputera Zon Se­latan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau di sini semalam.

Sebelum ini media melaporkan Trump telah mengarahkan tentera laut AS membuat pengepungan di Selat Hormuz susulan kegagalan rundingan damai dengan Iran.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, tindakan AS itu juga boleh dipersoalkan kerana sebelum ini negara itulah yang menggesa supaya negara-negara Eropah untuk turut membantu agar laluan Selat Hormuz itu dibuka.

“Saya tidak tahu apa tujuan pihak AS menggunakan perkataan mengepung Selat Hormuz kerana merekalah yang melaungkan supaya membawa negara-negara Eropah bersama-sama untuk membuka Selat Hormuz, tetapi sekarang ini mereka yang hendak mengepung Selat Hormuz,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut meminta Iran mengambil langkah serupa dengan membenarkan kapal-kapal melalui selat itu.

“Kita minta pihak Iran memikirkan juga supaya demi kesejahteraan umat dunia, Iran perlu membenarkan kapal-kapal melalui Selat Hormuz tersebut. Perang antara AS dengan Iran, Iran dengan Israel itu perang mereka. Dunia tidak boleh dijadikan sebagai tebusan untuk apa sahaja,” katanya.

Katanya, situasi semasa di Selat Hormuz itu juga memberi kesan dan menjejaskan enam kapal Malaysia yang masih berada di kawasan berkenaan dan tidak dapat meneruskan pelayaran.
“Kapal masih ada di sana, mereka tidak boleh bergerak. Semua kapal juga tidak boleh bergerak,” katanya lagi.

Sementara itu, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berpandangan, tindakan AS mahu mengepung Selat Hormuz mencerminkan usaha negara berkenaan mahu mengekalkan dominasi sebagai kuasa besar dunia melalui pendekatan hegemoni.

Katanya, walaupun tidak menjajah mana-mana negara secara langsung namun dasar hegemoni diamalkan AS adalah dengan menggunakan kuasa ketenteraan dan sekatan ekonomi.

“Berbeza dengan China, me­reka mahu mendapat tempat­ yang selayaknya dalam ekonomi dunia dan tidak berminat untuk berperang namun AS meneruskan dasar hegemoninya kerana mahu menja­di kuasa paling besar dan sebab itulah suka berperang di mana saja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, dasar hegemoni AS semakin membara apabila Trump menganggap kuasa geopolitik adalah transaksi perdagangan yang me­nguntungkan negara tersebut.

“Sebab itu, kini AS menumpukan terhadap Selat Hormuz pula kerana lokasi itu ada impak ekonomi yang besar dan AS rasa boleh mendapat keuntungan perdagangan daripada konflik yang berpanjangan di Asia Barat,” katanya.

Pakar undang-undang antarabangsa da­ri Universiti Kebangsaan Ma­laysia (UKM), Prof. Dr. Salawa­ti Mat Basir berkata, tindakan AS menyertai pe­perangan di Asia Barat adalah untuk me­ngekalkan status quo sebagai kuasa besar dunia.

“Konflik yang terjadi juga adalah usaha membantu me­rea­lisasikan Israel Raya iaitu mengembangkan negara Zionis itu dari Iran hingga ke Jordan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×