Hamimah miliki lebih 200 koleksi telur easter - Utusan Malaysia

Hamimah miliki lebih 200 koleksi telur easter

Sebahagian telur easter yang menjadi hiasan rumah Hamimah Puteh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula hanya sekadar hadiah pemberian daripada seorang rakan, Hamimah Puteh kini menjadi pengumpul setia telur easter sejak 35 tahun lalu.

Tertarik dengan keunikan dan keindahan ukiran pada telur hiasan berkenaan menyuntik minat ibu kepada lima orang cahaya mata mula mengumpul koleksinya sendiri sedikit demi sedikit.

“Sejak rakan menghadiahkan telur itu kepada saya, saya mula berminat untuk mencari pelbagai jenis lagi corak. Saya suka sesuatu yang unik dan bernilai untuk disimpan.

“Bermula dari itu, setiap kali bercuti ke luar negara saya akan pastikan ada koleksi telur yang saya bawa balik bersama,” katanya.

Sehingga kini dia memiliki koleksi 200 telur easter pelbagai variasi dan dijadikan sebagai perhiasan di kediamannya di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

SOKONGAN KELUARGA

Malah, sokongan daripada arwah suaminya, Arif Kamal turut mendorong suri rumah sepenuh masa itu untuk meneruskan hobinya.

“Suami saya seorang yang suka bercuti ke luar negara. Setiap kali kami keluar atau ke mana-mana sekiranya dia terjumpa telur itu dia akan bertanya kepada saya sama ada mahukannya atau tidak. Dia sentiasa menyokong,” katanya.

Hamimah menunjukkan koleksi telur easter yang dimiliki.

 

Di samping itu, anak kelahiran Batu Gajah, Perak ini juga tidak lokek berbelanja untuk hobinya itu.

Sehingga kini, dia telah membelanjakan sekitar RM5,000 untuk membeli telur-telur berkenaan di pelbagai negara yang pernah dilawati. Antaranya Australia, Thailand, China dan banyak lagi.

“Harga telur bergantung kepada corak, ada yang berharga sekitar RM10 sahaja dan ada pula yang corak eksklusif dengan harga sekitar RM100. Bagaimana pun, saya sentiasa berbelanja dengan bijak untuk hobi ini,” jelasnya.

GEMAR MENGHIAS

Gemarkan dekorasi dalaman rumah yang tampak unik dan mewah juga menjadi salah satu faktor Hamimah menjadi pengumpul telur easter.

Melangkah masuk sahaja ke rumah beliau cukup mengujakan dengan hiasan telur yang pelbagai diletakkan di kawasan ruang tamu.

Ada yang bersaiz telur ayam biasa malah ada yang sedikit besar dengan saiz seperti telur burung unta.

Cita rasa Hamimah yang tinggi dan eksklusif terpancar jelas melalui corak-corak ukiran pada koleksi telur easternya yang berwarna-warni.

Selain itu, koleksi yang terdiri daripada corak abstrak, lukisan pemandangan dan sebagainya menyajikan pemandangan indah di sudut ruang rehat rumah.

Menyentuh mengenai aspek penjagaan, katanya, telur berkenaan sangat sesuai dijadikan sebagai elemen hiasan kerana sangat mudah untuk dijaga.

“Senang sangat jaga telur ini. Cuma perlu cuci dengan air dua minggu sekali bagi menghilangkan habuk dan letakkan di tempat yang selamat dan sesuai. Sebaiknya di tempat sukar dicapai oleh kanak-kanak,” tambahnya.

Lantaran itulah dia sentiasa menjaga telur-telur berkenaan dengan baik dengan memastikan ia sentiasa bersih supaya kekal menjadi salah satu elemen hiasan di kediamannya yang serba mewah.

Koleksi telur easter dari pelbagai negara yang dilawati.

 

KEKAL JADI KOLEKSI KESAYANGAN

“Ia akan kekal menjadi koleksi peribadi saya selamanya. Malah, ada antaranya yang dihadiahkan oleh rakan-rakan, jadi saya akan simpan sebagai kenang-kenangan,” ujarnya tersenyum manis.

Hamimah turut meluahkan rasa syukur kerana minatnya itu mendapat sokongan daripada orang sekeliling yang terdekat dengannya.

Beliau turut merancang menambah koleksinya itu apabila pandemik Covid-19 beransur pulih satu hari nanti.

“Sudah tentu saya akan terus mengumpul telur ini. Bila boleh pergi bercuti lagi nanti pasti saya akan membeli lagi corak yang lain pula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×