Mahu mendaki kejayaan tetapi tidak tahu arah minat, bakat dan kecenderungan diri.
Memiliki pekerjaan, tetapi tidak menggemari bentuk kerja dilakukan itu. Pelik namun itulah hakikat dilalui Pengasas Ferrarossa Beauty, Farah Munirah Ahamad Shukri.
Tekanan dihadapi hingga pernah mendorongnya cuba membunuh diri.
“Situasi dihadapi itu bukan dibuat-buat sebaliknya mencetuskan tekanan jiwa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, sebelum berkecimpung dalam dunia perniagaan, beliau berkhidmat di syarikat farmaseutikal selama empat tahun di bahagian jualan sebelum dinaikkan pangkat menjadi pengurus namun dia tidak suka bekerja di pejabat.
“Ketika itu saya sendiri tidak memahami situasi terjadi dalam diri saya. Saya tak mahu pergi kerja. Saya rasa macam nak bunuh diri. Rasa teruk sangat,” katanya.
Situasi itu menyebabkan tekanan dialaminya semakin teruk sehingga perlu mendapatkan rawatan pakar psikiatri. Doktor diagnosis Farah kemurungan.
Farah memberitahu, selepas didiagnosis sekitar 2012, beliau terpaksa mengambil ubat jenis Prozac dan Xanax bagi merawat tekanan tersebut. Bertitik tolak daripada itu, Farah mengambil keputusan berhenti kerja.
“Sepanjang menerima rawatan, saya bertekad berhenti kerja dan memulakan hidup baharu. Bermula daripada kisah duka itulah saya jumpa passion yang sesuai dengan diri saya iaitu kecantikan dan solekan.
“Kini saya telah pulih sepenuhnya selepas mendapat rawatan pakar dan berkecimpung dalam bidang yang boleh buat saya gembira dan minat untuk ceburi,” katanya.
KEMURUNGAN
Meminati bidang solekan dan bekerja sendiri ternyata memberi tuah kepada empunya diri apabila beliau mampu terbang lebih jauh dalam menata rias wajah sendiri mahupun wanita lain.
Kerjaya baharunya itu membantu Farah Munirah bangkit memulakan kerjaya sebagai jurusolek profesional.
“Bila saya mekap orang, saya rasa macam terapi. Saya lupakan sekejap dunia luar, saya hanya berkarya dan dalam tak sedar, saya gembira buat apa yang saya minat,” katanya.
Kerana minat jugalah, Farah sanggup mengasah bakat dengan mengikuti kelas solekan bersama Mario Dedivanovic yang merupakan jurusolek selebriti Hollywood terkenal, Kim Kardashian di Dubai Masterclass.
Farah berkata, dia sendiri tidak menyangka dengan kesungguhan dirinya untuk fokus menjadi jurusolek profesional ketika itu dia boleh mencapai pendapatan RM10,000 hingga RM20,000 sebulan.
Mesra di sapa Ferra, katanya selepas lima tahun berkecimpung dalam bidang solekan, dia memberanikan diri menampilkan produk sendiri pada 2017.

REZEKI
Kalau sudah namanya jurusolek, alat sudah sudah sebati dengan dirinya. Beliau tahu kebaikan sesuatu produk. Kesempatan itu digunakan untuk melakukan kerja sampingan lain pula, iaitu menjual alat solek dan produk mekap.
“Ketika hamil dan semasa pantang anak sulung, saya makin ligat berniaga,” katanya tersenyum mengimbau memori awalnya membabitkan diri dalam dunia keusahawan.
Waktu berpantang anak sulung pula digunakan Farah, mempelajari membangunkan laman web untuk memasarkan produk dijualnya itu.
“Saya juga jenis tidak mahu bergantung pada suami yang bekerja sebagai jurutera di Telekom Malaysia (TM) ketika itu. Saya jenis wanita yang mahu ada duit sendiri.
“Jadi, saya serius membangunkan laman web untuk menjual pembayang mata, pelembap wajah dan berus solekan. Daripada jualan pertama RM3,000, ia meningkat kepada RM5,000 dan RM8,000 seterusnya RM100,000. Betullah orang cakap, anak itu rezeki. Saya sebenarnya tidak rancang apa-apa. Rezeki datang sendiri,” katanya.
Selepas dua tahun menjual produk orang, dia mulai melangkah ke fasa seterusnya yang lebih serius untuk membuat produk sendiri dengan pilihan warna yang disukai.
Kilang di Korea dijejaki lantas lahirlah Ferrarossa Pearluxe Eyeshadow pada 2017. Pembayang mata yang dihasilkan ini hadir dengan kemasan metalik dan berkilat mudah digunakan dan diadun pada kelopak mata. Kini jenama itu turut mengeluarkan produk lain termasuk rangkaian penjagaan wajah dan alat solek.
CABARAN
Tidak dinafikan, perjalanan untuk mencapai kejayaan dan membina jenama setanding produk lain perlu menempuhi pelbagai cabaran dan rintangan. Begitu juga dalam menaikkan Ferrarossa Beauty.
Farah berkata, sebagai seorang pengasas produk, dia perlu menjadi seorang ketua yang bijak dalam membuat keputusan terutama dalam menguruskan jualan.
“Bukan mudah untuk menjadi ketua dan dalam pada masa sama perlu membuat keputusan kepada semua yang berada dalam satu pasukan. Dalam perniagaan, hari-hari orang akan reject kita terutama dalam membuat jualan. Jadi, apa yang penting kuatkan emosi, semangat dan motivasi.
“Cabaran lain adalah kegagalan. Apabila kita gagal dalam sesuatu, kita mesti bangun semula dan jangan putus asa. Kita perlu memperbaharui ilmu perniagaan supaya kita tidak melakukan kesilapan yang banyak dan berulang kali,” katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, 2019 adalah tahun yang mencabar namun dengan mencari ilmu iaitu berguru dengan pakar pemasaran dan pengurusan pada 2020, dia tidak menyangka dapat menaikkan jualan daripada RM2 juta kepada RM5 juta.
“Alhamdulillah, saya sungguh tidak sangka ilmu dapat mengubah segala-galanya. Insya-Allah saya akan melahirkan 30 usahawan berstatus jutawan menjelang 2025,” katanya.










