Kalau sebut tudung bawal, tentu ramai arif dengan tudung bentuk empat persegi itu. Mudah digayakan dan fleksibel, antara ciri ia menjadi pilihan.
Lebih-lebih lagi dalam kalangan wanita yang enggan berlama-lama berhias mengadap cermin.
Daripada harga puluhan hinggalah ke ribuan ringgit, bawal tetap memiliki peminat tersendiri.
Kekaboo antara jenama bawal kian dikenali lantaran kualiti dan pelbagai motif ditawarkan.
Pengurus Pemasarannya, Nur Hazwani Abdul Zainal berkata, menepati selera pelanggan, jenama itu melalui pelbagai fasa perubahan mengikut aliran semasa tetapi masih mengekalkan ciri utamanya, labuh dengan memiliki corak sederhana.
“Apa yang membuatkan tudung ini tampil menawan ialah corak digunakan sentiasa bertukar dan menepati citarasa wanita. Kami sentiasa bertanya apa yang pelanggan mahukan.
“Setiap bulan akan ada rekaan baharu, sama ada bercorak, abstrak, berbunga dan polos. Setiap koleksi memenuhi kepelbagaian citarasa remaja sehingga wanita berusia 40 tahun ke atas,” katanya.
Kekaboo diasaskan Ahmad Tajuddin Mohamad Nor sejak 2014.
Bermula dengan hanya 2,000 helai, jenama itu terus mendapat perhatian sehingga pengeluaran ditambah sebanyak 60,000 helai sebulan.
Nur Hazwani berkata, pihaknya sering menerima pendapat pelanggan dalam mengeluarkan sesuatu gaya baharu mengikut kehendak semasa.
Malah pada hari istimewa seperti Merdeka, hari ibu atau ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, pihaknya turut mengeluarkan tudung edisi terhad.
“Sejak dikeluarkan inilah yang kami amalkan iaitu sentiasa memberikan yang terkini kepada peminat setia Kekaboo.
“Setiap rekaan dikeluarkan tidak akan diulang cetak bagi menjaga nilai eksklusivitinya.
“Kami yakin bawal ada peminatnya tersendiri. Cuma yang akan berubah adalah warna dan corak sahaja.
“Setakat ini kami sudah ada hampir 20 corak dan ia akan berubah dari masa ke masa bergantung kepada permintaan ramai,” katanya. a.










