'Tuhan Umar melihat apa yang kita lakukan' - Utusan Malaysia

‘Tuhan Umar melihat apa yang kita lakukan’

Umat Islam termasuk para peniaga hendaklah memahami konsep ihsan agar setiap tingkah laku bertepatan dengan ajaran agama. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kolum AR-RAUDHAH

 

Saidina Umar bin Al-Khattab adalah khalifah kedua setelah Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a dilantik selama 10 tahun 6 bulan sebagai khalifah. Beliau adalah khalifah pertama yang bergelar amirul mukminin (pemimpin orang beriman).

Beliau dikenali dengan ketegasannya dan keadilan dalam pentadbiran, serta kegigihannya dalam penyebaran Islam sehingga berjaya menawan beberapa wilayah menjadi wilayah muslimin. Beliau sentiasa memantau keadaan umat Islam sehingga ke pasar-pasar mereka.

Pada satu hari, sekumpulan muslimin mengadu bahawa sebahagian pedagang di pasar mencampurkan susu dengan air demi meraih keuntungan dengan cara penipuan.

Maka Saidina Umar memberi peringatan untuk menghukum sesiapa yang berbuat demikian. Pada suatu malam, Saidina Umar keluar bersama pembantu beliau yang bernama Aslam untuk melihat keadaan negeri yang ditadbir oleh beliau.

Tiba di suatu tempat, beliau bersandar di sebuah dinding rumah untuk berehat. Lalu beliau terdengar perbualan di antara ibu dan anak perempuannya yang masih kecil dan mereka bekerja sebagai penjual susu.

“Wahai anakku! Pergilah dan campurlah susu itu dengan air”. Anak itu berkata: “Wahai ibu! Tidakkah kamu tahu bahawa amirul mukminin Umar telah memberi peringatan kepada sesiapa yang mencampur susu dengan air”.

Ibu itu pun mengulangi dan mengatakan: “Pergilah dan campurlah susu itu dengan air, sesunguhnya engkau berada di tempat yang tidak dilihat oleh Umar ataupun orang suruhan Umar”.

Anak itu menjawab: “Wahai ibu yang aku sayangi! Demi Allah, kita tidak boleh hanya taat kepadanya di hadapannya sahaja dan bermaksiat di belakangnya. Kalau Umar tidak melihat kita namun Tuhan amirul mukiminin Umar melihat”.

Mendengar percakapan tadi, Saidina Umar memerintahkan Aslam menanda rumah itu untuk dikunjungi keesokan harinya untuk dirisik oleh Saidina Umar dan dinikahkan dengan puteranya yang bernama ‘Ashim.

Hasil pernikahan itu lahir keturunan yang baik di antaranya Saidina Umar bin Abdul Aziz. Anak kecil tadi bernama Ummu Imarah.

Cerita ini memberi beberapa pengajaran penting, iaitu :

Pertama, menanamkan nilai-nilai takwa pada anak, sehingga mereka meyakini Allah mengawasi perbuatannya. Dengan itu mereka akan lebih berhati-hati pada perbuatan mereka bukan kerana takut pada orang tuanya atau manusia yang mengawasi, namun lebih berasa dilihat dan diperhati oleh Allah SWT.

Rasa takut pada manusia boleh dihindari dengan bersembunyi daripadanya, namun rasa takut kepada Allah tiada tempat untuk bersembunyi.

Inilah konsep ihsan yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW saat ditanya oleh Malaikat Jibril, “Ceritakan padaku tentang ihsan?” Nabi menjawab: “Ihsan ialah engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihatnya, apabila engkau tidak melihanya maka ketahuilah bahawa Allah melihatmu”. (Riwayat Muslim).

Kedua, menjadikan kejujuran sebagai dasar perhubungan keluarga, kejujuran akan membawa kebaikan dan keberkatan. Penipuan dan dusta akan menimbulkan keburukan, rasa hilang kepercayaan dan munculnya kecurigaan.

Oleh itu, Nabi mengajak umatnya bersikap jujur. Hendaklah kamu bersikap jujur, kerana kejujuran itu membawa kepada kebajikan dan kebajikan itu akan membawa ke syurga, tiadalah sesiapa yang berkata jujur dan membiasakan diri untuk jujur maka Allah akan mencatatnya sebagai orang yang jujur. Dan hati-hatilah kamu dari sikap dusta, sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada neraka. Dan tiadalah seorang itu berdusta dan membiasakan diri untuk berdusata melainkan Allah akan mencatatnya sebagai seorang pendusta. (Riwayat Muslim)

Ketiga, teguran sopan kepada orang tua. Walaupun melakukan perbuatan yang haram, anak kecil itu menegur ibunya dengan panggilan: “Wahai ibu yang aku sayangi”.
Rasulullah melarang seorang anak memanggil orang tuanya dengan namanya atau berjalan di hadapannya, juga duduk sebelum orang tuanya.

Adab-adab kepada ibu bapa ini dijelaskan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: …dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”… (al-Isra’: 24)

Keempat, orang tua hendaklah mengambil perhatian terhadap kriteria dan akhlak calon menantu untuk anaknya.

Demikian yang dilakukan oleh Saidina Umar r.a di mana beliau merisik seseorang yang sudah dikenal pasti akhlaknya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Jika datang lelaki yang baik agamanya dan akhlaknya kepadamu untuk merisik, maka janganlah kamu menolaknya, kalau tidak maka akan berlaku fitnah dan kesesatan yang besar. (Riwayat Tirmidzi)

Kelima, mencari rezeki yang halal adalah satu kewajipan. Ia juga merupakan satu bentuk jihad fi sabilillah (berjuang pada jalan Allah).

Rezeki yang halal akan membawa keberkatan pada dirinya dan keluarganya serta keturunannya.

Saidina Sa’ad bin Abi Waqas bertanya: “Wahai Rasulullah! Mintalah kepada Allah agar doa aku menjadi mustajab”.

Nabi bersabda yang bermaksud: “Wahai Sa’ad! Carilah makanan yang halal maka doa kamu akan dikabulkan. Demi jiwaku yang berada dalam genggaman-Nya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan ke dalam perutnya sesuap makanan yang haram maka tidak akan diterima amalannya selama 40 hari dan setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram atau riba maka ia layak dihukum dalam api neraka. (Riwayat At-Tabrani)

 

  • Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid ialah Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×