AR-RAUDHAH
Ramai yang mengetahui bahawa mendidik anak adalah satu kewajipan bagi ibu bapa. Namun, adakah ramai yang tahu, apakah yang perlu diajarkan kepada anak-anak? Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidaklah seorang ayah itu memberi pemberian kepada anaknya yang lebih baik dari mengajarkan adab yang baik. (Riwayat Tirmidzi).
Tiada nikmat yang lebih berharga bagi orang tua melebihi nikmat anak sebagai buah hati mereka di dunia. Orang tua akan mengorbankan segalanya demi anak mereka. Mereka sanggup bangun malam untuk menjaga anak mereka, bahkan berkorban tenaga, harta benda dan perasaan demi kebahagiaan anak-anak mereka. Mendapatkan zuriat merupakan harapan setiap pasangan.
Nabi Zakaria a.s pada usianya yang sudah lanjut masih memohon dari Allah agar dikurniakan zuriat. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi. (Al-Anbiya’: 89).
Anak merupakan hibah dan hadiah dari Allah bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, agar mereka bersyukur kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.” (as-Syuraa: 49).
Selain itu, anak juga merupakan amanah dari Allah ke atas kedua orang tuanya untuk mengajarkan mereka untuk mengabdikan diri kepada-Nya dalam kewajipan ibadah seperti solat, puasa dan lain-lain.
Di samping itu orang tua berkewajipan mengajarkan adab dan akhlak kepada mereka. Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Ajarkanlah adab kepada anakmu dengan tiga perkara; mencintai Nabi kamu, mencintai akan ahli keluarganya dan membaca al-Quran”. (Riwayat Addailami).
Para sahabat telah melakukan dengan mendidik anak-anak mereka sirah nabi untuk mencintainya, walaupun mereka hidup di zaman nabi bahkan melihat baginda nabi. Sahabat nabi bernama Sa’ad bin Abi Waqqas berkata: “Kami mengajarkan anak-anak kami akan sirah Rasulullah seperti kami mengajarkan mereka satu surah dalam al-Quran”.
Sebagai contoh, ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, kedatangan baginda tidak hanya disambut oleh orang-orang dewasa, tetapi disambut juga dari kalangan kanak-kanak kaum Ansar.
Dengan rasa gembira, mereka bernasyid di hadapan Rasulullah SAW, sambil membacakan syair: “Kami kanak-kanak dari keluarga Najjar, alangkah gembiranya kami berjiran dengan Muhammad”.
Rasulullah berhenti dan mendengarkan persembahan nasyid mereka lalu bersabda: “Adakah kamu cinta kepadaku? Kanak-kanak itu menjawab: “Ya!” maka Nabi SAW bersabda: “Demi Allah! Sesungguhnya hatiku cinta pada kamu sekalian”. (Sirah Ibnu Hisyam).
Kanak-kanak dalam kalangan Ansar tadi berasa gembira walaupun belum pernah berjumpa dengan Nabi sebelum kedatangan baginda pada waktu itu. Tetapi, hasil orang tua mereka telah mendidik anak-anak mereka tentang perihal Nabi sehingga tertanamlah rasa cinta kepada baginda.
Bak kata pepatah Tak kenal maka tak sayang. Menariknya kisah ini Nabi membalas cinta dengan cinta. Demikian juga apabila anak-anak kita terdidik dengan mencintai Nabi S.A.W.
Teknik mengajarkan anak-anak cinta kepada Nabi tidak hanya bersifat suruhan atau perintah, tetapi memperkenalkan kepada anak-anak akan akhlaknya, sirahnya dan segala yang berkaitan dengan baginda sehingga muncul rasa cinta di dalam hati dan semangat untuk mengikuti baginda.
Pada realiti zaman moden ini, kanak-kanak lebih terdedah kepada media sosial yang terbuka, program-program televisyen khusus kanak-kanak, dengan filem-filem kartun yang menggambarkan keberanian dan ketangkasan.
Kadang-kadang, terdapat juga tayangan yang tidak bermoral yang akhirnya menjadi sumber inspirasi bagi kanak-kanak untuk meniru atau ingin menjadi seperti mereka. Sehingga tanpa kita sedar, anak-anak kita telah dirampas dari pendidikan agama yang mulia ini.
Hakikatnya ialah mendidik anak erti cinta kepada Nabi adalah bertujuan untuk menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai teladan dan idola mereka dengan penuh kasih sayang dan sanjungan terhadap baginda.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak. (al-Ahzab: 21)
Nasihat Nabi yang kedua dalam mendidik anak-anak ialah dengan mencintai ahli keluarga Nabi. Rasulullah S.A.W bersabda: “Cintailah Allah kerana Dia memberi nikmat kepadamu, cintailah aku kerana cintamu pada Allah dan cintailah keluargaku kerana cintamu kepadaku”. (Riwayat Tirmidzi).
Mendidik anak-anak cinta ahli keluarga Nabi sebagai penghormatan kepada Nabi S.A.W. iaitu dengan memperkenalkan kepada mereka kisah ahli keluarga Nabi, seperti isteri-isteri baginda, anak-anaknya serta kisah keturunan Nabi SAW.
Termasuk dalam perbicaraan ini ialah mencintai juga para sahabat Nabi, demi menghormati persahabatan mereka dengan Baginda Rasulullah S.A.W. Mencintai orang-orang yang soleh juga antara bentuk penghormatan kepada Rasulullah kerana sikap istiqamah mereka dalam memegang ajaran baginda. Mendidik anak-anak mencintai orang yang baik akan membentuk kepribadian anak untuk menjadi orang yang baik juga, sebaliknya mencintai orang jahat akan melahirkan kepribadian yang jahat.
Imam Abdullah bin Alwi al-Haddad berkata: “Bersama dengan orang yang baik akan tertanam dalam hatinya kebaikan dan membantu kepadanya untuk berbuat baik, dan bersama dengan orang jahat akan tertanam dalam hatinya kejahatan dan perbuatan jahat”.
Kewajipan orang tua dalam mendidik anak adalah dengan mengajarkan mereka al-Quran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain. (Riwayat Abu Daud)
Pendidikan al-Quran tidak hanya pada cara bacaan, tajwid atau taranum sahaja, walaupun kesemua itu penting dalam al-Quran. Namun yang lebih penting adalah memahami isi dan kandungan al-Quran dan mengamalkannya.











