Perluas pasaran makanan sunnah, berkhasiat ke luar negara - Utusan Malaysia

Perluas pasaran makanan sunnah, berkhasiat ke luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI Zam Khairunnaim Muhammad Zamri, 34, dia tidak menyangka niatnya asalnya untuk membantu pelajar sekolah menguasai pelajaran Matematik Tambahan secara tidak langsung berjaya mengubah hidup apabila menceburi bidang perniagaan yang tidak pernah diimpikan.

Menurut anak jati Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak ini, kisahnya bermula selepas dia cuba mencari pelbagai kaedah bagi memastikan pelajarnya cemerlang dalam subjek tersebut.

Ujarnya, dari situ dia secara tiba-tiba mula teringat kata gurunya sewaktu berada di tingkatan empat iaitu pelajar cemerlang tidak makan sembarangan.

“Apabila teringat kaedah yang diajar guru, saya terus cuba mempraktikkan cara tersebut kepada pelajar pula dengan kaedah yang pernah saya cuba satu ketika dahulu antaranya tidak makan makanan ringan dan makanan segera serta kerap makan coklat.

“Kemudian secara perlahan-lahan dan tanpa berputus asa mula mencari pakar nutrisi serta berbincang tentang pemakanan sihat untuk pelajar saya.

“Dari situ saya diberitahu mengenai jenis-jenis makanan yang baik untuk otak termasuk makanan sunnah dan berkhasiat tinggi antaranya susu kambing, biji chia, kismis, oat dan getah arab,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Zam Khairunnaim kemudian menggabungkan semua makan tersebut dengan menjadikannya sebagai suplemen untuk memudahkan pelajar makan makanan berkenaan.

Dia kemudian tidak menyangka hasil inovasinya sejak enam tahun lalu menerima sambutan menggalakkan dan kini terus berkembang sehingga berjaya membina jenama sendiri iaitu Fast Q.

Jenama ini dihasilkan menerusi teknologi Jerman yang dinamakan olygodynamic selepas mendapat nasihat daripada pakar perubatan.

“Kita laksanakan kajian dan pembangunan agak lama dan kami mempunyai pakar nutrisi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Dengan kepakaran yang ada, kita formulakan semua bahan tersebut dengan menggunakan teknologi Jerman,” ujarnya.

Ketika ditanya tentang cabaran dalam perniagaan, Zam Khairunnaim berkata, ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba meniru hasil produknya tanpa memikirkan kesan kepada pengguna.

“Apabila menceburi bidang yang berkaitan makanan, sudah semestinya perlu ada pakar atau ahli kimia yang boleh menentukan tahap kualiti serta piawaian sesuatu bahan.

“Ia tidak mudah kerana kesannya nanti sudah pasti berbalik kepada kita. Malah, kita juga perlu menjadi pengeluar bertanggungjawab dan bukan fikir soal keuntungan semata-mata.

Menurutnya, sebagai langkah untuk mengembangkan lagi perniagaan, dia juga menyertai kursus yang ditawarkan beberapa agensi sebelum ini.

Dari situ dia dapat menambah ilmu pengetahuan dan mendapat pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Selepas enam tahun beroperasi, Zam Khairunnaim berusaha untuk memasarkan produknya ke luar negara terutama di rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

Beliau turut berharap dalam masa yang sama berharap bantuan daripada agensi kerajaan untuk membantunya mengembangkan lagi perniagaannya pada masa akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya