PETALING JAYA: Bursa Malaysia (Bursa Malaysia), Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) dan OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mewujudkan #financing4ESG, inisiatif untuk meningkatkan amalan berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam syarikat senaraian awam (PLC).
Menurut Bursa Malaysia, di bawah MoU itu, pihaknya akan bekerjasama dengan Alliance Bank dan OCBC Bank dalam membangunkan pilihan pembiayaan mampan yang mengiktiraf kelayakan ESG PLC mengikut kriteria penilaian FTSE4Good.
Katanya, ia akan membolehkan PLC berpeluang mempercepatkan penerimagunaan ESG sambil meningkatkan penarafan ESG untuk dimasukkan ke dalam indeks FTSE4Good Bursa Malaysia, yang merupakan indeks ESG terkemuka pasaran modal Malaysia.
“PLC yang layak untuk pembiayaan kemampanan di bawah kerjasama ini adalah mereka dalam FTSE Indeks EMAS Bursa Malaysia, yang membentuk penilaian FTSE4Good ESG global.
“Ia terdiri daripada syarikat dan industri pelbagai saiz, daripada PLC bermodal besar, syarikat milik kerajaan (GLC), konglomerat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pertengahan dan kecil serta perusahaan patuh syariah,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, kerjasama itu menggariskan komitmen Bursa Malaysia ke arah mempercepatkan penerimagunaan ESG dalam kalangan PLC.
“Ia selaras dengan aspirasi Bursa Malaysia untuk mengangkat PLC sebagai pemimpin dalam bidang berkenaan.
“Saya optimis kerjasama ini akan merangsang pertumbuhan kewangan mampan sambil meningkatkan daya tarikan PLC kepada pelabur,” katanya.
CEO Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich pula berkata, kerjasama itu penting untuk membantu perniagaan mengamalkan ESG dan inovasi untuk mengurangkan pelepasan karbon.
“Apabila perniagaan membuat pilihan yang mampan, mereka boleh menjadi kekuatan untuk kebaikan masyarakat dan alam sekitar.
“Pilihan mereka akan menghasilkan kesan iklim yang positif, hasil sosial dan keuntungan perniagaan dalam jangka panjang. Kami percaya kerjasama dengan Bursa Malaysia membolehkan kami membantu perniagaan besar dan kecil untuk berinovasi dan berkembang secara mampan,” katanya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pelaburan Perbankan OCBC Bank, Tan Ai Chin pula berkata, kerjasama itu akan disinergikan dengan pengalaman bank dalam merintis pelbagai transaksi kewangan mampan dan memanfaatkan pangkalan data ESG Bursa Malaysia untuk menyediakan penyelesaian pembiayaan yang optimum untuk PLC.
“Kami menyasarkan untuk mengarusperdana penggunaan kewangan mampan bagi mempercepatkan lagi agenda kemampanan PLC, untuk menyokong komitmen kerajaan mencapai keneutralan karbon menjelang 2050,” katanya. – UTUSAN










