PETALING JAYA: Kerajaan diseru mempertimbangkan kenaikan pencen kira-kira 200,000 pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menerima bayaran pencen di bawah paras kemiskinan dan tidak berubah sejak tiga dekad lalu.
Pengerusi Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pesara-pesara GLC terlibat membantu kerajaan dengan memilih Skim Penswastaan yang diperkenalkan dahulu namun hidup dalam kesengsaraan kerana terhimpit dengan kos sara hidup sedangkan pencen yang diterima mereka terlalu rendah.
Jelasnya, sudah banyak memorandum dihantar kepada kerajaan setiap tahun sebelum pembentangan bajet namun malangnya tuntutan tersebut tidak diberi perhatian dan sehingga kini masih tergantung.
“Pesara GLC ini seakan teraniaya kerana terpaksa bergantung dengan pencen yang rendah. Sebagai contoh, jika mereka menerima pencen berjumlah RM180 sebulan, jumlah itu kekal sehingga 2012 tanpa sebarang perubahan.
“Kerajaan ada meluluskan kenaikan kadar pencen sebanyak dua peratus pada 2013 namun jika dikira berdasarkan pencen semasa RM180, pesara terbabit hanya menerima kenaikan sebanyak RM3.60 yang sangat rendah sedangkan harga barangan sekarang melambung tinggi.
“Sudah tiba masanya kerajaan menyelaraskan kadar pencen mereka kepada minimum RM1,000, bertepatan dengan keadaan pandemik semasa yang menjejaskan kehidupan ramai terutama golongan B40,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Pada 30 September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad mengumumkan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang meneliti kaedah penambahbaikan bayaran pencen kepada pesara kerajaan, khususnya bagi yang tergolong dalam kumpulan B40.
Menurut beliau, kajian JPA itu antara lain bagi mengatasi isu pesara kerajaan yang terpaksa hidup dengan bayaran pencen dan pendapatan selepas bersara di bawah Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM2,208.
Justeru, Mohamed Shafie mewakili UNI-MLC mengharapkan satu penyelesaian positif dalam hal tersebut dan berharap kajian itu tidak mengabaikan tuntutan yang telah dibuat UNI-MLC sejak lebih 20 tahun lalu.
Tegasnya, pekerja-pekerja GLC telah mengorbankan masa depan mereka dengan memilih untuk menyertai Skim GLC semata-mata untuk menyokong Dasar Penswastaan diperkenal kerajaan ketika itu.
“Namun kini, pesara GLC begitu kecewa dengan sikap dingin kerajaan dalam memperbaiki masalah yang telah memudaratkan kehidupan mereka sehingga ada yang perlu meminta bantuan pusat zakat.
“Perkara ini membuatkan mereka menghadapi tekanan hidup dan kecewa kerana jika mereka tidak memilih untuk menyertai skim penswastaan sudah tentu kadar bayaran pencen mereka tidak seperti hari ini,” ujarnya. – UTUSAN










