PETALING JAYA: Sebanyak 22 projek inovatif kerajaan dilancarkan menerusi National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) bagi mempertingkatkan kepentingan awam dan industri.
Melalui NTIS, syarikat pemula dan syarikat teknologi berpeluang mendapatkan akses pembiayaan, teknologi dan sokongan kawal selia untuk mematangkan penyelesaian kerajaan peringkat awal ini seterusnya memasuki pasaran.
Ini termasuk pembiayaan untuk syarikat dalam program NTIS yang dibuat melalui Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) di antara RM250,000 hingga RM5 juta, bergantung pada keperluan dan kategori Sandbox.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Amiruddin Abdul Shukor berkata, NTIS dirancang untuk mengesan idea dengan pantas.
“Justeru, kami mahu NTIS mencipta penyelesaian untuk meningkatkan kualiti hidup dan pendapatan rakyat, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi baharu, menarik bakat tempatan terbaik, memberi peluang dan memupuk kesejahteraan bersama, sambil mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.
“Kerajaan yang didorong oleh inovasi akan membentuk masyarakat yang aktif, berdaya tahan dan kompetitif, katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Technology Park Malaysia (TPM), Dzuleira Abu Bakar menekankan, pembangunan teknologi tempatan sangat penting dan negara harus perlahan-lahan beralih kepada pengeluar teknologi daripada hanya menjadi pengguna.
“Mengimport teknologi untuk penggunaan domestik tidak akan kekal dari perspektif pembangunan ekonomi atau bakat. Oleh itu, kita harus memupuk lebih banyak penyelesaian yang dibangunkan secara tempatan melalui NTIS.
“NTIS adalah platform penting mempercepat usaha untuk menghubungkan lebih banyak agensi kerajaan seterusnya membawa kepada aktiviti dan kejayaan pengkomersialan yang lebih kuat untuk negara.
“Dengan mendepani pelbagai cabaran, kami membuka ruang kepada lebih banyak penerokaan, pengembangan dan pengujian yang mendorong pemupukan inovasi,” ujarnya.
Sejak Mei hingga Ogos lalu, NTIS melibatkan 26 kementerian dalam Kelas Inovasi selama 12 minggu untuk merancang dan mengembangkan produk atau penyelesaian yang membolehkan Malaysia menangani masalah yang timbul akibat Covid-19.
Antaranya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), membangunkan sistem digital untuk mempercepat proses membuat keputusan dan persetujuan dokumen dalaman melalui e-dokumen serta e-tandatangan.
Selain itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk penyelesaian meningkatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana dengan memberikan latihan, pembiayaan sokongan perniagaan untuk membantu petani dan pengusaha bandar di kumpulan B40.
Kementerian Kerja Raya pula merancang aplikasi mudah alih untuk Sistem Pemantauan Sistem Bangunan Perindustrian (IBS) untuk meningkatkan pemantauan dan pelaporan, menyediakan akses kepada pemain industri dan program latihan di seluruh negara. – UTUSAN










