PETALING JAYA: Pengeluaran kenderaan tempatan dijangka kembali meningkat berikutan kebenaran operasi sektor perdagangan dan pengedaran untuk negeri
dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, pembukaan semula kilang pembuatan automatik itu tertakluk kepada perkembangan vaksinasi dalam
kalangan pemain industri automotif sebelum ia dapat beroperasi pada kadar optimum.
“Hasil perbincangan kami dengan pemain industri terpilih semalam memberitahu, lebih 90 peratus tenaga kerja termasuk pekerja di kilang telah menerima vaksin melalui Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
“Peratusan yang dicatatkan itu adalah jauh lebih tinggi daripada kadar vaksinasi di peringkat negeri,” katanya dalam nota kajian.
Bagaimanapun jelas Hafriz, pihaknya memahami sebahagian daripada tenaga kerja sektor itu perlu memenuhi syarat 14 hari selepas dos kedua.
Justeru jelasnya, keadaan itu menunjukkan pengeluaran kenderaan mungkin akan meningkat secara beransur-ansur bermula dari sekarang hingga akhir Ogos ini.
Dalam pada itu, galeri jualan dan pengedaran kenderaan turut disenaraikan dalam 11 aktiviti yang dibenarkan beroperasi .
Hafriz berpendapat, pengumuman tersebut adalah perkara yang positif bagi sektor automotif kerana keseluruhan rantaiannya akan mula beroperasi semula minggu ini dan seterusnya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan positif terhadap sektor automotif dengan tiga syarikat tumpuan iaitu UMW, Bermaz Auto Berhad (BAuto) dan Mercedes-Benz Malaysia (MBM).
“Kemajuan pesat dalam kadar vaksinasi dapat memberi gambaran lebih jelas kepada sasaran vaksinasi negara sebanyak 80 peratus menjelang Oktober ini, yang seterusnya akan menyokong pemulihan lestari,” katanya. – UTUSAN










