TIARA Residences 1 di perbandaran Bukit Jelutong, Shah Alam mencatatkan kadar jualan sebanyak 85 peratus pada hujung minggu pelancaran rasminya pada 27 Jun lalu, sekali gus mencerminkan permintaan berterusan terhadap kediaman di perbandaran itu.
Projek kediaman premium oleh Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) dibangunkan dengan dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM115 juta.
Pembangunan pegangan bebas tersebut merupakan fasa pertama pembangunan kediaman berkepadatan rendah seluas 27.9 hektar di Bukit Jelutong yang merangkumi 59 unit rumah berhalaman dan dijadual siap pada Jun 2029 pada harga jualan bermula RM1.75 juta.
Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, Bukit Jelutong dikenali sebagai sebuah perbandaran yang matang dan berkembang pesat.
Katanya, ini menjadikannya lokasi ideal bagi pembeli rumah yang ingin menaik taraf kediaman dalam persekitaran yang dikenali serta mempunyai jaringan perhubungan yang baik.
“Tiara Residences 1 memenuhi keperluan pemilik rumah generasi kedua dan ketiga di Bukit Jelutong, sekali gus mewujudkan nilai jangka panjang merentas generasi, selaras dengan matlamat syarikat untuk menjadikan pembangunan hartanah sebagai pemangkin nilai kepada masyarakat, perniagaan, ekonomi dan alam sekitar.
“Pembangunan ini direka dengan teliti dengan mengintegrasikan ciri-ciri semula jadi, menyediakan kira-kira 33 peratus kawasan hijau, jauh melebihi syarat minimum 10 peratus, selain mengambil kira aspek kemampanan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kesemua rumah juga direka menghadap arah utara-selatan.
Tambahnya, kediaman di Bukit Jelutong sentiasa direka untuk menawarkan ruang kehidupan yang berkualiti dalam suasana kehijauan yang menyeluruh.
“Di Tiara Residences 1, kami melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan elemen reka bentuk biofilik, termasuk laman dalaman, pencahayaan semula jadi melalui tingkap bumbung (skylight) yang luas serta teres belakang fleksibel terbuka.
“Ciri-ciri ini membawa elemen kehijauan ke dalam rumah dan mewujudkan hubungan visual yang harmoni dengan alam semula jadi,” ujarnya.
Sime Darby Property berkata, pelancaran fasa pertama menawarkan dua jenis unit iaitu Jenis A bersaiz 22 kaki kali 80 kaki dan Jenis B bersaiz 22 kaki kali 90 kaki.
“Antara ciri utama termasuk anjung kereta tanpa halangan yang dilengkapi kemudahan pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV), susun atur ruang terbuka serta dapur dengan teres fleksibel yang diperluaskan.
“Bilik tidur utama direka bagi menempatkan almari pakaian jenis walk-in, manakala bilik utiliti boleh diubah suai mengikut keperluan sebagai pejabat di rumah, pantri, bilik belajar atau bilik pembantu rumah,” jelasnya.
Menurutnya, satu daripada ciri reka bentuk utama Tiara Residences 1 ialah suite fleksibel di tingkat bawah yang dilengkapi bilik air sendiri dan akses terus ke taman belakang persendirian.
Jelasnya, ruang ini sesuai dijadikan dapur basah yang menghadap taman atau ruang santai terbuka.
“Bagi menyokong peralihan Kumpulan ke arah kehidupan rendah karbon dan lebih mesra alam, setiap rumah dilengkapi panel solar terbina dalam serta sistem penyimpanan tenaga bateri bersepadu.
“Selain itu, beberapa unit terpilih mempunyai laman dalaman dan tingkap bumbung yang direka bagi meningkatkan pencahayaan semula jadi serta pengudaraan silang.
“Di luar kediaman, Tiara Residences menawarkan rangkaian taman tasik dan kawasan hijau seluas 9.1 hektar yang diinspirasikan daripada seni bina Maghribi, mengambil ilham daripada Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah di Selangor,” katanya.
Tambahnya, pembangunan ini turut menggabungkan elemen air dan landskap hijau bagi mewujudkan suasana yang tenang, sekali gus meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan penduduk.
Tiara Residences turut menikmati akses yang strategik menerusi beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Persekutuan.
“Pembangunan ini juga berhampiran pelbagai kemudahan sedia ada seperti sekolah, pusat komersial dan kemudahan gaya hidup, sekali gus meningkatkan daya tarikannya kepada bakal pemilik rumah.
“Fasa seterusnya, Tiara Residences 2 akan diperkenalkan pada suku ketiga 2026, menawarkan vila Superlink tiga tingkat bersaiz 24 kaki kali 80 kaki dengan harga bermula RM2.1 juta.
“Setiap unit mempunyai lima bilik tidur, satu bilik serbaguna, enam bilik air serta keluasan binaan bermula 3,207 kaki persegi,” katanya. – UTUSAN










