Tokenisasi, AI lindungi transaksi digital

Tokenisasi, AI lindungi transaksi digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Peralihan kepada pembayaran digital membawa pelbagai kemudahan kepada pengguna, namun turut membuka ruang baharu kepada penjenayah siber untuk mengambil kesempatan.

Sebagai salah satu syarikat pembayaran digital terbesar di dunia, Visa terus komited membangunkan pendekatan keselamatan berlapis menerusi pelaburan teknologi seperti tokenisasi dan kecerdasan buatan (AI) untuk melindungi pengguna daripada ancaman penipuan kewangan.

Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, SABRINA ZULKIFLI, Ketua Pegawai Risiko Serantau Asia Pasifik Visa, STEFAAN D’HOORE, berkongsi pandangan mengenai landskap penipuan pembayaran, teknologi keselamatan Visa dan bagaimana kerjasama dengan penggiat industri dapat membina ekosistem kewangan yang lebih selamat.

 

UTUSAN: Sejauh mana Visa memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dalam ekosistem pembayarannya?

Stefaan D’Hoore: Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami. 

Di dunia fizikal, kadar penipuan sangat rendah sejak pengenalan cip Europay, MasterCard dan Visa (EMV). 

Kami mahu membawa tahap keselamatan yang sama ke dunia digital dan tokenisasi menjadi teras utama kepada usaha ini.

Tokenisasi menggantikan nombor kad asal (16 digit) dengan satu token unik yang hanya berfungsi dalam konteks tertentu pada peranti, pedagang dan waktu transaksi tersebut berlaku. 

Ini bermakna, walaupun data ‘bocor’, ia tidak berguna di luar konteks itu.

Sepanjang tahun lalu, kami telah menjana lebih satu bilion token di Asia Pasifik sahaja dan hasilnya jelas pedagang yang mengguna pakai tokenisasi menunjukkan penurunan kadar penipuan dan peningkatan kadar kelulusan transaksi sebanyak 4.7 peratus.

 

Apakah trend penipuan yang semakin membimbangkan di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia?

Kami melihat empat aliran utama. 

Pertama ialah jenayah siber, termasuk bot jahat yang menyumbang hampir 37 peratus daripada trafik web tahun lalu. 

Penjenayah kini menggunakan teknik seperti ‘skimming’ laman e-dagang, penyusupan dalaman dan eksploitasi pangkalan data pihak ketiga.

Kedua, ialah perubahan daripada penipuan tidak sah kepada penipuan sah di mana pengguna sendiri membuat bayaran tanpa menyedari mereka sedang ditipu. 

Ini kini menjadi bentuk penipuan yang lebih besar berbanding penipuan tidak sah di banyak pasaran.

Ketiga, e-dagang yang semakin berkembang menyebabkan lebih banyak ‘ruang serangan’ wujud. 

Penjenayah mengambil peluang menggunakan platform digital untuk menyebarkan penipuan, termasuk di media sosial.

Akhir sekali, AI generatif memudahkan serangan penipuan yang lebih meyakinkan, pantas dan berskala besar.

 

Bagaimana Visa menangani perubahan landskap ini secara sistematik?

Kami mengguna pakai pendekatan keselamatan tiga lapis.

Di peringkat rangkaian, VisaNet kami diperkukuh dengan pelaburan melebihi AS$10 bilion sejak lima tahun lalu dan AS$3 bilion hanya untuk AI. 

Kami ada pusat operasi risiko 24/7 yang memantau transaksi masa nyata.

Di peringkat pasaran, kami bekerjasama rapat dengan pengawal selia dan pemain industri untuk membina peta jalan keselamatan yang sesuai dengan keperluan tempatan. 

Setiap negara ada pengurus risiko khusus bagi memacu usaha ini.

Dan di peringkat pelanggan, kami menawarkan pelbagai penyelesaian berasaskan AI antaranya, Visa Consumer Authentication Service (VCAS) dan Visa Advanced Authorization (VAA) yang menilai kesahihan pengguna serta menentukan kebarangkalian transaksi itu penipuan.

Kami juga menggunakan model AI untuk mengenal pasti serangan ‘enumeration’ di mana bot digunakan untuk meneka maklumat kad seperti tarikh luput atau CVV, berdasarkan nombor Kad Pengenalan yang diketahui.

 

Bagaimana Visa melihat kerjasama dengan pihak lain dalam menangani isu penipuan?

Kerjasama adalah kunci utama. 

Kami sokong usaha kerajaan dan pengawal selia di Asia Pasifik melalui empat pendekatan iaitu pengesahan kukuh, kempen kesedaran, perkongsian risikan dan kejelasan tanggungjawab pampasan mangsa penipuan.

Di Visa, kami telah menubuhkan pasukan khas yang dinamakan Visa Scam Disruption Practice, terdiri daripada pakar yang pernah berkhidmat dalam penguatkuasaan undang-undang. 

Mereka bekerjasama dengan pelanggan dan pihak berkuasa global untuk mengenal pasti dan menumpaskan skim penipuan.

 

Apakah yang menjadi janji utama Visa kepada pengguna di Asia Pasifik dalam era digital ini?

Kepercayaan adalah nilai jenama kami. 

Kami percaya bahawa melalui teknologi seperti tokenisasi dan AI, disokong rangkaian kerjasama yang kukuh dengan institusi kewangan, pengawal selia dan penyedia teknologi kami dapat melindungi persekitaran pembayaran digital dan memastikan setiap transaksi berlangsung secara selamat dan lancar.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN