INDUSTRI hotel merupakan antara tulang belakang kepada sektor pelancongan negara, yang juga menjadi satu daripada penyumbang utama kepada penjanaan ekonomi Malaysia.
Namun, dalam usaha untuk kekal kompetitif di peringkat serantau dan global, terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditangani oleh para pengusaha dan pemilik hotel tempatan.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Singapura dan Hong Kong, sistem perhotelan mereka lebih tersusun, seragam dan bertaraf antarabangsa, terutamanya dari segi kualiti perkhidmatan dan pengurusan operasi.
“Antara isu ketara yang dihadapi di Malaysia ialah infrastruktur yang kurang memuaskan, khususnya bagi hotel-hotel di kawasan luar bandar, kelemahan dalam aspek penjenamaan (branding), serta penggunaan pemasaran digital yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh sebahagian besar pemilik hotel,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas Umi Hamidaton, ramai pemilik hotel masih terlalu bergantung kepada pelancong domestik, menyebabkan capaian kepada pasaran antarabangsa menjadi terhad.
“Isu jurang digital dan keterhubungan serantau juga menghalang usaha sesetengah pengusaha untuk membina identiti yang kukuh dalam industri ini.
“Perubahan dasar kerajaan, peraturan pelesenan serta pelaksanaan cukai yang tidak seragam antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan kementerian turut menjadi beban tambahan kepada pemain industri,” katanya.
Selain itu, ujarnya, masalah birokrasi ini kerap menyulitkan proses operasi dan pembangunan hotel.
“Selepas pandemik Covid-19, industri pelancongan tempatan masih dalam fasa pemulihan. Namun begitu, kenaikan kos melancong ke luar negara telah menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama pelancong domestik dan antarabangsa.
“Malaysia juga giat mempromosikan dirinya sebagai destinasi pelancongan halal, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap kemudahan dan perkhidmatan yang mematuhi prinsip syariah.
“Namun begitu, cabaran dari sudut lokasi dan kebolehcapaian terus menjadi isu utama. Hotel-hotel yang terletak berhampiran pusat bandar serta mempunyai akses mudah kepada pengangkutan awam lebih mendapat perhatian dan keutamaan berbanding yang lain,” katanya.
Profesor Kewangan dan Keusahawanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, secara umum, industri hotel di Malaysia menunjukkan pemulihan yang positif tetapi tidak sepenuhnya stabil.
Katanya, selepas pandemik, pelancong domestik dan dari negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura menjadi pemacu utama pemulihan namun, segmen pelancong jarak jauh masih belum pulih sepenuhnya.
“Walaupun kadar penginapan semakin meningkat, kadar purata harian (ADR)/ARPU masih rendah berbanding sebelum pandemik.
“Beberapa hotel kecil dan bajet yang terkesan ketika pandemik telah gulung tikar, manakala hotel mewah menghadapi cabaran pengisian bilik. Ini menghasilkan ketidakseimbangan struktur pasaran.
“Kebanyakan pekerja hotel berpindah industri semasa pandemik dan sukar untuk ditarik kembali dan masalah ini berterusan hingga kini,” katanya.
Jelas Nik Maheran, kesemua cabaran ini perlu diatasi melalui kerjasama erat antara sektor swasta dan awam serta pembaharuan dalam dasar, pelaburan teknologi dan peningkatan daya saing secara berterusan untuk memastikan industri perhotelan negara terus berkembang secara mampan dan kompetitif.
Sementara itu, secara umum, industri hotel di Malaysia menunjukkan pemulihan yang positif tetapi tidak sepenuhnya stabil.-UTUSAN










