Ruang kerja bersama alternatif pejabat masa kini - Utusan Malaysia

Ruang kerja bersama alternatif pejabat masa kini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era pasca pandemik dan ledakan ekonomi gig, landskap dunia pekerjaan telah banyak berubah.

Keperluan terhadap fleksibiliti, penjimatan kos, dan akses kepada kemudahan moden telah mendorong ramai individu dan syarikat kecil untuk meninggalkan pejabat tradisional dan beralih kepada ruang kerja bersama (coworking space).

Fenomena ini bukan sahaja menarik perhatian golongan profesional bebas dan usahawan mikro, malah turut menjadi pilihan syarikat berskala kecil dan sederhana yang mahu kekal kompetitif dalam pasaran.

Pengurus Komuniti Komune Co-Working, Fatin Najeeha berkata, melihat kepada perubahan corak kerja global, ruang kerja bersama berpotensi besar untuk menjadi norma baharu dalam dunia pekerjaan moden.

“Ia bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal tempat kerja, tetapi juga menyokong keperluan sosial, psikologi dan profesional individu yang bekerja dalam persekitaran yang sentiasa berubah.

“Dengan nilai tambah seperti komuniti yang menyokong, kemudahan canggih, dan lokasi strategik, ruang kerja bersama dilihat sebagai pelengkap kepada gaya kerja masa kini dan masa depan

“Ruang kerja bersama ini juga sering menjadi pilihan utama dalam kalangan pekerja bebas, usahawan permulaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, alternatif kepada pejabat tradisional ini menyebabkan pengguna bebas memilih cara bekerja yang sesuai dengan keperluan harian mereka, sama ada melalui meja terbuka, bilik peribadi atau ruang mesyuarat.

“Sebagai contoh, Komune Co-Work menyediakan alternatif yang lebih fleksibel dan dinamik berbanding pejabat tradisional, dengan pakej lengkap yang mengurangkan keperluan komitmen jangka panjang.

“Dalam era pasca pandemik, golongan pekerja jarak jauh dan digital nomad juga semakin ramai yang memanfaatkan kemudahan ini.

“Ia juga disebabkan beberapa tarikan utama seperti fleksibiliti dari segi pakej penggunaan, penjimatan kos dan kemudahan lengkap yang disediakan.

“Trend kerja fleksibel ini telah mengubah cara individu dan syarikat melihat konsep ruang kerja, serta kini lebih cenderung kepada model kerja hibrid atau jarak jauh, yang mana memerlukan ruang kerja yang tidak terikat dengan lokasi tetap,” katanya.

Fatin berkata, permintaan terhadap ruang kerja bersama ini kian meningkat memandangkan ia menyediakan alternatif yang praktikal-ruang yang profesional, mudah diakses, dan disesuaikan dengan keperluan kerja semasa.

“Kami (Komune Co-Working) turut menjangkakan pertumbuhan yang berterusan dalam sektor ini,” katanya.

Menurutnya, data Komune Co-Working menunjukkan, kadar penghunian keseluruhannya adalah sebanyak 62 peratus, dengan jumlah ahli seramai 541 orang pada Disember tahun lalu.

“Manakala, pada April 2025, kadar penghunian menunjukkan sedikit peningkatan kepada 69 peratus, dengan jumlah ahli seramai 623 orang,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif WORQ Coworking Space, Stephanie Ping berkata, faktor utama yang menarik pelanggan ke ruang kerja bersama adalah fleksibiliti.

“Ini khususnya kebebasan daripada kontrak pajakan jangka panjang dan keupayaan untuk mengembangkan atau mengurangkan saiz pejabat mengikut keperluan.

“Namun di WORQ, tarikan kami melangkaui fleksibiliti sahaja. Apa yang benar-benar membezakan kami ialah keselesaan menyeluruh yang ditawarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Stephanie berkata, kerja fleksibel kini menjadi sebahagian kekal dalam landskap perniagaan moden, dengan lebih banyak syarikat mengamalkan model kerja hibrid.

“Perubahan ini telah mendorong organisasi menilai semula strategi hartanah mereka, mencari penyelesaian pejabat yang mudah disesuaikan dan berskala.

“Oleh itu, ruang kerja bersama seperti WORQ telah muncul sebagai penyelesaian utama, memenuhi keperluan pelbagai syarikat sama ada untuk pejabat satelit, meja panas (hot desk) atau suite peribadi.

“Permintaan yang meningkat dari organisasi tempatan dan antarabangsa juga mencerminkan peralihan ini ke arah fleksibiliti, kerana syarikat menyedari kelebihan ruang kerja bersama dalam mengurangkan kos, meningkatkan kerjasama, dan menyokong kesejahteraan pekerja.” katanya.

Menurutnya, strategi WORQ sejajar dengan konsep meletakkan ruang kerja bersama dalam kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).

“WORQ juga satu-satunya di Malaysia yang merancang ruang kerja bersama dalam kawasan TOD untuk mewujudkan hab kerja yang mudah diakses dan cekap, mengurangkan masa perjalanan dan meningkatkan produktiviti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN