MEKAH: Pengiktirafan Kerajaan Arab Saudi terhadap kecemerlangan pengurusan haji Malaysia membuka ruang kepada peningkatan kuota petugas haji daripada satu kepada dua peratus pada musim ini.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi meluluskan peningkatan kepada dua peratus susulan Lembaga Tabung Haji (TH) dinobatkan penerima Anugerah Labbaittom sebelum ini.
Katanya, peningkatan itu membolehkan TH membawa seramai 632 petugas pada bersamaan dua peratus daripada kuota keseluruhan jemaah negara.
“Namun sejak kebelakangan ini, jumlah petugas agak terhad apabila hanya diberikan satu peratus daripada jumlah keseluruhan jemaah.
“Bagaimanapun, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah meningkatkan kadar itu kepada dua peratus susulan kemenangan Malaysia dalam anugerah yang diterima sebelum ini.
“Justeru, anugerah tersebut membolehkan kita membawa petugas haji sehingga dua peratus daripada kuota jemaah.
“Tahun ini, seramai 632 petugas telah mula bertugas, mewakili dua peratus daripada kuota haji negara, berbanding hanya satu peratus sebelum ini,” katanya selepas ditemui pada Majlis Ta’aruf Operasi Haji 2026 di sini.
Sebelum ini, Malaysia melalui TH dinobatkan penerima Anugerah Labbaitom (Kategori Kepuasan Pelanggan) kali keempat berturut-turut oleh Kerajaan Arab Saudi dalam Majlis Penutup Musim Haji 1446H/2025M anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Sementara itu, Mohd. Hisham berkata, perkhidmatan Muhsen merupakan nilai tambah baharu yang diperkenalkan bagi membantu melancarkan urusan ibadah dan kebajikan jemaah haji Malaysia sepanjang berada di tanah suci.
Katanya, Muhsen diperkenalkan hasil kerjasama antara TH dan Holiday Inn Bakkah bagi memperkukuh sokongan di lapangan khususnya ketika fasa kritikal di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Beliau menjelaskan peranan Muhsen merangkumi bantuan pergerakan dan urusan ibada, di samping membantu jemaah membeli keperluan.
Katanya, satu aplikasi khas Muhsen telah dibangunkan dan boleh dimuat turun jemaah bagi mendapatkan pelbagai maklumat penting bagi memperkemas penyelarasan.
Menurut Mohd. Hisham, di bawah Muhsen, seorang pembimbing ditugaskan memantau kira-kira 25 jemaah bagi memastikan kebajikan mereka. – UTUSAN










