Melvados mahu luaskan pasaran, tambah cawangan - Utusan Malaysia

Melvados mahu luaskan pasaran, tambah cawangan

TERRI SANDU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat makanan berasaskan pastri dan konfeksi, Melvados, menyasarkan pertumbuhan jualan antara 30 hingga 40 peratus tahun ini seiring dengan perancangan membuka sehingga empat lagi cawangan baharu di seluruh negara.

Pengurus Besarnya, Terri Sandhu berkata, selain memperkukuh jenama sedia ada, syarikat turut merancang untuk meluaskan kehadiran fizikal ke kawasan baharu seperti Melaka dan Pantai Timur.

“Kami percaya produk kami berkualiti tinggi. Harganya sangat berpatutan dan rasanya sangat berbaloi. Sebagai peminat makanan, saya sendiri makan produk kami setiap hari.

“Sekarang orang kenal Melvados, tapi belum benar-benar kenal produk kami. Jadi tahun ini kami mahu fokus untuk perluaskan capaian dan kenalkan lebih banyak variasi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Ketika ini, Melvados memiliki lapan cawangan, tujuh di Lembah Klang dan satu di Pulau Pinang dengan tambahan dua hingga empat cawangan baharu dirancang untuk dibuka pada pertengahan hingga akhir tahun ini.

Selain itu, katanya, Melvados bakal menyertai acara besar-besaran, Jom Heboh, yang akan menjadi penyertaan pertama syarikat dalam karnival selama tiga hari.

“Kami sudah pernah sertai beberapa acara sebelum ini, tapi ini kali pertama kami akan berada di Jom Heboh Kuala Lumpur. Ini peluang penting untuk perkenalkan Melvados kepada lebih ramai pelanggan,” katanya.

Mengulas cabaran perniagaan, Terri mengakui syarikat berdepan isu lazim seperti kekurangan kakitangan serta cabaran memperkenalkan produk baharu dalam pasaran yang sudah mempunyai jenama kukuh seperti produk biskut yang lain.

“Kadang-kadang orang bandingkan biskut kami dengan jenama besar, tapi ramai juga pelanggan yang kata biskut kami lebih sedap.

“Bezanya, kami bukan hanya jual biskut. Kami ada pelbagai lagi produk konfeksi serta makanan sedia dimakan (RTE), jadi tawaran kami lebih luas dan pelbagai,” katanya.

Tambahnya, syarikat menerima maklum balas secara aktif daripada platform e-dagang seperti Shopee, dan sebahagian besar ulasan pelanggan adalah positif.

“Kami yakin Melvados mampu pergi lebih jauh. Kami ada ratusan resipi dan produk yang belum dilancarkan. Potensi untuk berkembang sangat besar, dan kami akan terus bawa yang terbaik untuk pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya