IOI Properties Group Berhad (IOIPG) menawarkan hab runcit yang bertenaga, Bangi Fresco di Bandar Puteri, Bangi bagi melengkapi kediaman sedia ada dengan kemudahan serta keperluan masyarakat terutama kawasan Lembah Klang Selatan.
Keluasan kawasan yang menjangkau 4.98 hektar itu menampilkan 100,000 kaki persegi kemudahan runcit selain terdapat 24 kedai dan lima kedai makan di tepi tasik, ruang makan di kawasan terbuka, empat kedai pandu lalu serta pasar raya premium seluas 19,000 kaki persegi.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan IOIPG, Teh Chin Guan berkata, Bangi Fresco mengukuhkan pendekatan pembangunan holistik syarikat, seiring dengan kejayaan pusat membeli-belah Sierra Fresco di 16 Sierra, Puchong South.
Katanya, Bangi Fresco turut dilengkapi dengan dewan seluas 10,000 kaki persegi sebagai ruang sosial untuk komuniti berkumpul, di samping pusat sukan.
Mengulas lanjut, Chin Guan berkata, hab runcit itu akan dimiliki oleh IOIPG dan diuruskan oleh pasukan pajakan yang telah memenangi pelbagai anugerah.
“Ini pasukan yang sama mengendalikan aset runcit terkenal kami yang lain seperti IOI City Mall dan IOI Mall Puchong.
Dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, kami yakin Bangi Fresco akan berkembang sebagai destinasi utama bagi komuniti serta menambah nilai kepada pemilik dan penduduk.
“Semasa merancang Bangi Fresco, kami mengenal pasti permintaan terhadap pengalaman membeli-belah dan ruang makan gaya hidup yang lebih mewah di kawasan ini, memandangkan tawaran sedia ada lebih tertumpu kepada pasaran pertengahan.
“Kami kini sedang berbincang dengan penyewa utama seperti pasar raya premium, gimnasium gaya hidup, dan pengendali ruang acara untuk melengkapkan penawaran runcit di sini,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar bagi Bangi dan Sepang, Wong Peng Fook, dengan mencipta bandar yang lengkap, ia akan memberi kemudahan dan pengalaman menarik kepada pemilik rumah.
Peen Fook berkata, pihaknya merancang pembangunan perbandaran ini dengan segala kemudahan yang lengkap untuk keselesaan pemilik dan penduduk.
“Antaranya, pasar raya Lotus’s yang terletak bersebelahan IOI Galleria bagi memenuhi keperluan barangan runcit Sebagai sebahagian daripada Bandar Puteri Bangi, Bangi Fresco akan memanfaatkan lokasi strategik perbandaran ini, yang terletak hanya 30 minit dari Kuala Lumpur.
“Terletak berhampiran Persimpangan Putra Mahkota di Lebuhraya Utara-Selatan, ia menawarkan akses mudah ke laluan utama seperti Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Jalan Bangi Lama,” katanya.
Tambah beliau, selain pasar raya, kawasan Bangi Fresco juga berhampiran dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Universiti Islam Selangor, Universiti Nilai dan Hospital Pakar An-Nur.
Dengan lebih 350 tempat letak kereta, lokasi itu berupaya menampung kehadiran pengunjung yang ramai jika terdapat penganjuran acara berskala besar.
Dilancarkan pada 2015, Bandar Puteri Bangi adalah pembangunan bersepadu seluas 145.7 hektar yang merangkumi pelbagai pilihan kediaman seperti rumah bandar, pangsapuri servis, rumah berkembar, banglo, serta unit pejabat kedai. – UTUSAN