PETALING JAYA: Pasaran buruh dijangka kekal stabil pada 2025, disokong terutamanya oleh permintaan domestik yang stabil berikutan kesan peningkatan gaji minimum dan kenaikan gaji kerajaan, yang merangsang pertumbuhan penggunaan swasta, menurut Kenanga Research.
Dalam pada itu, pemulihan kukuh dalam sektor berkaitan pelancongan, realisasi pelaburan yang diluluskan dan perbelanjaan kerajaan Persekutuan yang tertinggi dalam sejarah dijangka akan memacu pertumbuhan pekerjaan.
Kenangan Research berkata, kadar pengangguran menurun kepada 3.1 peratus pada bulan Disember (November 3.2 peratus) dengan purata 2024 pada 3.3 peratus (2023: 3.4 peratus) sejajar dengan ramalan.
“Pengangguran turun 0.4 peratus berbanding bulan sebelumnya (November, -0.9 peratus) mencatatkan penurunan selama 41 bulan, walaupun pada kadar perlahan dalam lima bulan terakhir.
“Bilangan penganggur menurun kepada 544,000 (November 546,700) hampir mencapai tahap pra-pandemik (Februari 2020, 525,200),” katanya dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, firma penyelidikan itu memaklumkan, jumlah penganggur yang aktif menurun kepada 432,800 (November: 436,200), yang terendah sejak Mac 2020 (422,000).
“Pertumbuhan pekerjaan kekal stabil pada 0.2 peratus tahun ke tahun (November, 0.2 peratus selama tujuh bulan berturut-turut, didorong oleh pengambilan pekerja berterusan di sektor perkhidmatan,’ katanya.
Mengikut sektor, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pekerjaan dalam sektor perkhidmatan meningkat secara berterusan, terutamanya dalam perdagangan borong dan runcit; seni, hiburan dan rekreasi dan aktiviti perkhidmatan penginapan serta makanan dan minuman.
“Begitu juga, bilangan pekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian turut berkembang. Berlainan daripada trend, pekerjaan dalam sektor perlombongan dan kuari berkurangan.
Mengikut status pekerjaan: Pekerja (0.1 peratus bulan ke bulan; November 0.1 peratus) dan pekerja sendiri (0.4 peratus (November 0.4 peratus) terus meningkat.
“Sementara itu, majikan meningkat sedikit (0.3 peratus, November 0.2 peratus), manakala pekerja keluarga tanpa gaji kembali pulih (-0.1 peratus, November -0.2 peratus) selepas dua bulan penurunan.
“Kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada paras tertinggi baharu (70.6 peratus; November 70.5 peratus), tenaga buruh (0.15 peratus bulan ke bulan, November 0.14 peratus) meningkat pada kadar terpantas dalam 11 bulan, menambah 25,900 orang (November 24,900) untuk mencapai 17.32 juta orang,” katanya.
Sementara itu, mereka yang berada di luar tenaga buruh menurun (-0.04 peratus; November -0.02 peratus) kepada 7.22 juta.
Kenanga Research berkata, kadar pengangguran lebih rendah direkodkan dalam ekonomi maju
seperti Amerika Syarikat (AS), menurun pada Januari (4.1 peratus; November 4.2 peratus), paras terendah sejak Mei 2024, namun pertumbuhan pekerjaan perlahan.
“Jepun mengalami penurunan sedikit pada Disember (2.4 peratus; November 2.5 peratus, melepasi jangkaan pasaran (2.5 peratus),” katanya.
Sementara itu, firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 kekal pada 5.0 peratus (2023: 3.6 peratus) kerana menjangkakan pertumbuhan suku keempat 2024 akan sederhana kepada 4.6 peratus (suku ketiga 2024: 5.3 peratus).
“Pada masa depan, pertumbuhan KDNK dijangka sedikit sederhana kepada 4.8 peratus pada 2025 disebabkan oleh kesan asas, ketidakpastian luar yang semakin meningkat berikutan perang perdagangan yang diperbaharui dalam pentadbiran AS dan aktiviti ekonomi domestik yang kembali normal,” katanya.-UTUSAN










