PETALING JAYA: Nab Food Industries Sdn. Bhd., merupakan pakar dalam menghasilkan kuih peneram, kini lebih terdedah dengan pelbagai peluang untuk mengembangkan lagi perniagaan selepas memperoleh sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2014.
Pengasasnya, Nor Azizah Amri berkata, perniagaannya itu mudah untun memohon geran atau bantuan daripada agensi-agensi kerana salah satu syarat yang harus dipatuhi adalah mempunyai sijil halal.
“Dengan mempunyai sijil halal, ia menempatkan kami ke posisi lebih kukuh dalam melayakkan perniagaan kami untuk mendapatkan geran perniagaan.
“Selain itu, kami juga mengembangka peluang dan perniagaan melalui acara atau pesta makanan halal seperti Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan Halal Food Festival yang dijalankan di Malaysia dan luar negara.
“Sebagai usahawan makanan bumiputera, memperoleh sijil halal bagi produk yang dijual amat penting bagi meningkatkan keyakinan orang ramai untuk membeli produk kami kerana syarat-syarat yang perlu dipatuhi adalah ketat.
“Jika sesuatu produk itu memperoleh pensijilan halal, produk tersebut bukan sahaja diperbuat daripada sumber bahan halal, malah kebersihan dan keselamatan produk untuk dimakan juga terjamin,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Nor Azizah, Nab Food Industries juga berhasrat meluaskan perniagaannya ke peringkat antarabangsa dengan menyertai pelbagai festival makanan halal di luar negara.
Menurut peserta Program ILTIZAM Catalyst 2024 oleh Ekuinas itu, dengan mengukuhkan lagi pengurusan syarikat dan strategi pemasaran dengan lebih mampan menerusi program tersebut, mereka dapat mencapai hasrat itu dengan lebih strategik.
“Perniagaan kuih peneram ini telah sampai ke peringkat antarabangsa seperti Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura menerusi pelbagai acara makanan.
“Kami banyak ikut serta dalam festival makanan halal bagi menonjolkan produk Nab Food seperti Halal Food Fest Indonesia, Halal Food Fest Singapura dan sebagainya.
“Bagi kami, peluang perniagaan untuk lebih berkembang dan keyakinan pelanggan terhadap produk kami dapat ditingkatkan setelah memiliki sijil halal,” katanya.
Tambahnya, sehingga kini, Nab Food Industries mempunyai sebanyak 12 kiosk di beberapa lokasi, termasuk di Teluk Bahang, Teluk Kumbang, Tasek Gelugor, Balik Pulau, Parit Buntar, Bagan Serai, Petaling Jaya, Bangi, RNR Gunung Semanggol arah Utara dan Selatan dan sebagainya. – UTUSAN










