KUANTAN: Mengambil alih dan mengendalikan tapak jaja atau berniaga sementara seluas 2.867 hektar di Dataran Sekilau di sini merupakan pengalaman baharu buat pengurusan dan syarikat pengendali, Mitashamika Resources.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengurus Mitashamika Resources, Shafieq Johari, 30, berkata, ia pengalaman baharu buat syarikat itu apabila diberikan peluang menjadi pengendali tapak niaga di Dataran Sekilau bermula Julai tahun lalu.
“Sejak syarikat ini ditubuhkan pada 2020, kami hanya melakukan perniagaan secara usaha sama dengan syarikat lain.
“Tahun ini adalah pertama kali kami mengendalikan sendiri tapak niaga dan tentunya ia pengalaman cukup bermakna dan apa yang lebih penting, menyediakan ruang niaga terbaik dan serba lengkap.
“Apa yang penting, kami mahu memastikan Dataran Sekilau ini menjadi lokasi pilihan untuk dikunjungi pengunjung pelbagai lapisan usia dan menjadi tempat lepak baharu orang ramai khususnya dari daerah Kuantan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Shafieq berkata, syarikat itu dalam proses menaik taraf tapak niaga tersebut supaya ia serba lengkap demi keselesaan peniaga dan pengunjung.
“Sejak mengambil alih, kita sudah pun tar 80 peratus kawasan tapak niaga ini kerana sebelum ini ia sedikit tidak memberikan kelesaan apabila berlubang di sana sini.
“Kini lokasi ini hampir sempurna dan insya-Allah kawasan ini akan ditar 100 peratus. Apa yang penting kita mahu pengunjung selesa ke sini,” katanya.
Selain itu beliau berkata, Mitashamika Resources sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi mewujudkan ruang atau tempat mainan kanak-kanak.
“Kawasan untuk kanak-kanak belum ada di sini, jadi kita akan mewujudkannya. Kita mahu menaikkan lagi seri malam di Dataran Sekilau ini dengan kehadiran pelbagai lapisan usia pengunjung,” katanya.
BAZAR AIDILFITRI KEJAYAAN PERTAMA
Shafieq dalam pada itu berkata, Grand Bazaaraya Makmur Aidilfitri 2024 merupakan kejayaan pertama syarikat berkenaan.

“Enam bulan pihak pengurusan berbincang selepas acara ini dianjurkan Ramadan lalu. Alhamdulillah, ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
“Kita anggarkan, lebih 10,000 pengunjung hadir ke Dataran Sekilau dan berbelanja di Grand Bazaaraya Makmur Aidilfitri 2024.
“Lebih menarik, sepanjang sebulan acara ini diadakan, setiap minggu kita mengadakan cabutan bertuah dan hadiah utama sebuah kereta Proton Saga,” katanya.
CABARAN URUS TAPAK NIAGA
Beliau dalam pada itu berkata, menguruskan sebuah tapak niaga dan acara bukan tugas mudah kerana tumpuan perlu diberikan sepenuhnya di kawasan tersebut.
“Saya memang tiap-tiap hari berada di sini. Memang saya kena turun padang memantau dan pastikan semuanya terkawal,” katanya.
Selain itu, Shafieq berkata, Mitashamika Resources yang ketika ini mempunyai 10 kakitangan akan mengembangkan cabang perniagaan syarikat berkenaan.
“Selain di Dataran Sekilau, kami ada perniagaan lain di Tasik Gambang. Kami adalah syarikat konsesi bagi menguruskan lot kedai yang ada di tasik berkenaan.
“Kerja-kerja penyelenggaraan sedang dilakukan ketika ini selepas lot kedai di situ ditutup ekoran perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa penularan wabak Covid-19.
“Jadi buat masa ini, syarikat mempunyai dua cabang perniagaan dan insya-Allah ia akan terus dikembangkan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN










