LIPIS: Seramai 3,630 peniaga di 82 bazar Ramadan di Pahang mesra pelanggan apabila menawarkan harga juadah berbuka puasa yang berpatutan dan tidak membebankan orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam berkata, keunikan itu merupakan pemangkin ramai pengunjung pelbagai kaum mengunjungi bazar bagi membeli aneka juadah dan minuman.
“Di Pahang, ada 3,630 peniaga dan 4,510 tapak perniagaan membabitkan 82 lokasi anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak swasta.
“Saya juga sempat berkunjung ke beberapa bazar bagi memantau harga dan satu perkara yang unik bazar Ramadan di Pahang ini boleh dikategorikan sebagai amat berpatutan dan murah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Cashless Agrobank-Bazar Ramadan yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di tapak Bazar Ramadan Felda Sungai Koyan di sini semalam.
Amizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai berkata, walaupun penguatkuasaan sudah dijalankan bermula dari awal Ramadan, namun sehingga kini tiada tindakan atau kompaun dikeluarkan kepada para peniaga bazar.
Beliau berkata, setakat ini tidak ada tindakan penguatkuasaan diambil kerana dalam PBT, pihaknya sudah memberikan maklumat dan taklimat awal kepada para peniaga berkaitan kebersihan dan lain-lain kecuali peniaga yang tidak berdaftar dengan PBT.
“Bagaimanapun peniaga yang tidak berdaftar kita tidak saman tetapi nasihatkan mereka untuk bersama dalam program bazar Ramadan di peringkat negeri,” jelasnya.
Beliau turut meminta para peniaga bazar supaya terus mengenakan harga Rahmah yang berpatutan dan menyediakan promosi beretika kepada pengunjung.
“Majlis daerah sudah membuka ruang perniagaan untuk menambah pendapatan tetapi jangan pula mengambil kesempatan mengenakan harga tidak munasabah dari keghairahan pengunjung,” katanya. – UTUSAN










