PETALING JAYA: TH Properties Sdn. Bhd. (TH Prop) memperkenalkan pembangunan terbaharunya iaitu Felora dan Bizcentre Fasa 2 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) masing-masing sebanyak RM48.85 juta dan RM29.38 juta.
Felora Fasa 1 terdiri daripada 31 unit rumah berkembar dua tingkat dengan keluasan binaan yang berkisar antara 1,406 hingga 1,965 kaki persegi.
Felora Fasa 2 pula terdiri daripada 55 unit rumah teres dua tingkat bersaiz 1,663 kaki persegi hingga 1,818 kaki persegi pada harga dari RM500,000 hingga RM635,800 yang menggabungkan keselesaan dan gaya hidup serta kehidupan berkualiti dalam komuniti berkembang Warisan Puteri 2, Negeri Sembilan.
Selain itu, TH Prop juga melancarkan Bizcentre Fasa 2 dengan 28 unit pejabat kedai dua dan tiga tingkat yang mempunyai keluasan binaan antara 2,107 hingga 6,868 kaki persegi.
Harga bagi Bizcentre Fasa 2 bermula dari RM648,000 hingga RM2,334,700 bertujuan memenuhi permintaan hartanah komersial di kawasan tersebut dan memenuhi keperluan perniagaan yang mencari lokasi di pusat komersial utama.
Ahli Lembaganya, Zarulakmar Abd Aziz berkata, kejayaan pembangunan sebelumnya di Warisan Puteri 2 seperti Tierra, projek rumah berkembar dua tingkat lain merupakan bukti kepercayaan pembeli terhadap produk kumpulan itu.
“Ia juga menandakan permintaan untuk hartanah perumahan dan komersial masih teguh walaupun beberapa cabaran seperti pandemik Covid-19, ekonomi global yang lembap dan kenaikan harga bahan mentah,” ujarnya dalam kenyataan.
Zarulakmar menambah, kumpulan itu optimis bahawa projek Felora dan Bizcentre akan diterima dengan baik oleh pembeli dan pelabur didorong oleh lokasinya, harga yang berdaya saing dan reka bentuk moden.
Jelas beliau, ia juga turut membina pengalaman kehidupan inklusif dengan pelanggan-pelanggannya.-UTUSAN










