PETALING JAYA: Penubuhan Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) disifatkan sebagai satu perkembangan positif yang memacu pertumbuhan kapasiti untuk industri tenaga boleh diperbaharui (RE), sekali gus menjadi sumber pendapatan baharu.
Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) berkata, ENEGEM mampu menjadi pemacu bagi pertumbuhan yang baru.
“Kami perhatikan eksport RE berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan kapasiti bagi industri RE Malaysia yang bergantung pada skim LSS dalam negara dan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dan sumber pendapatan baru ,” katanya dalam nota penyelidikannya.
Jelas firma itu, pemain Kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) solar tempatan seperti Solarvest (SOLAR MK, BELI, CP: MYR1.60, TP: MYR1.76), Cypark (CYP MK, TAHAN, CP: MYR0.99, TP: MYR0.86), Sunview (SUNVIEW, CP: MYR0.64, N.R.), Pekat (PEKAT MK, CP: MYR0.49, N.R.), dan Samaiden (SAMAIDEN MK, CP: MYR1.37, N.R.) akan mendapat manfaat dari aliran kerja yang meningkat dari pertumbuhan kapasiti RE.
Sementara itu, katanya, syarikat utiliti utama seperti Tenaga Nasional (TNB MK, TAHAN, CP: MYR11.60, TP: MYR11.00) dan YTL Power (YTLP MK, TAHAN, CP: MYR3.91, TP: MYR4.00) juga boleh mendapat manfaat daripada eksport RE melalui jualan RE dan caj pusingan.
“Secara keseluruhan, kami tetap positif terhadap sektor RE, di mana penambahbaikan buku pesanan EPCC akan berlaku dari kedua-dua 800MW CGPP dan kira-kira 2GW projek LSS5,” ujarnya.
Dalam pada itu, MIDF Research berpandangan untuk mengekalkan panggilan netralnya pada utiliti berdasarkan prestasi harga saham yang kukuh dan penilaian yang terbentang.
“Bagaimanapun, kami masih menyukai subsektor EPCC RE iaitu Samaiden (BELI, TP: 1.62), Pekat (BELI, TP: RM0.68), Sunview (BELI, TP: RM0.88) sebagai penerima manfaat utama dalam jangka masa terdekat dari inisiatif RE Malaysia.
“Dalam ruang pemilik aset, kami masih menyukai YTL Power (BELI, TP: RM4.22) untuk pemulihan pendapatan yang berpotensi di Wessex Water, pengembangan ke pusat data, dan sebagai penerima manfaat potensi LSS5 dan eksport RE,” katanya.
Firma itu menambah, sejauh mana Tenaga (NETRAL, TP: RM11.00) mendapat manfaat daripada keperluan peningkatan grid dalam jangka sederhana bergantung kepada belanjawan modal yang diluluskan untuk Rancangan Pembangunan Keempat (RP4) serta pulangan yang dibenarkan yang akan ditentukan menjelang hujung tahun 2024.
Katanya, ENERGEM akan berperanan sebagai aggregator.
“Pembeli Tunggal (SB) sebagai pengendali ENEGEM akan menjadi badan utama mengumpulkan bekalan RE dari Malaysia dan mengurus kan eksport tenaga kepada pembeli di Singapura,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, loji RE tempatan dijangka akan memasuki PPA dengan SB untuk bekalan tenaga untuk eksport RE berdasarkan butiran dalam Panduan Terkini Penjualan Elektrik Merentasi Sempadan (CBES).
“Kapasiti eksport pilot 100MW adalah kecil tetapi dalam jangka masa panjang, kami perhatikan bahawa Singapura ingin mengimport sehingga 3.5GW tenaga elektrik hijau menjelang 2035,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi, Prof. Dr. Syed Azizi Wafa Syed Khalid Wafa berkata, ENEGEM merupakan satu langkah baik yang diambil kerajaan.
“Langkah ini akan mengukuhkan ekonomi negara jangka masa panjang serta membawa kepada kekuatan pengeluaran elektrik hijau untuk pengguna tempatan dengan harga lebih rendah lagi dari harga jualan ke negara luar,” katanya.
Syed berkata, cabaran utama adalah kepada industri RE untuk lebih komited lagi menumpukan usaha mereka ke tenaga hijau itu serta menumpukan usaha secara kos pengeluaran lebih efisien secepat mungkin.
“Saya percaya bahawa harga tenaga hijau pasaran dan serantau akan menurun lagi kerana semua industri pengeluaran tenaga eletrik hijau akan memfokus kepada industri hijau ini.
“Kemahiran mereka turut akan meningkat berkali ganda dan persaingan ini akan membawa kepada penurunan harga kerana kita tahu bahawa kos pembakaran pengunaan sumber sumber asli karbon makin hari makin meningkat,” katanya. – UTUSAN










