PARAMOUNT Corp. Berhad (Paramount) menawarkan The Ashwood, sebuah residensi berkonsepkan tempat peranginan mewah di tengah bandar raya Kuala Lumpur.
Pengurus besar jualan dan pemasaran Paramount, Chan Jy Mei berkata, residensi tersebut ditambah dengan kemudahan pintar dan ciri-ciri mampan sekali gus dapat meningkatkan nilai hartanah tersebut.
Beliau berkata, penghuni dapat menikmati teknologi rumah pintar yang mudah dikawal sendiri dan sistem keselamatan lengkap yang turut disediakan bagi setiap unit kediaman.
“Dari segi keselamatan pula, lokasi The Ashwood yang terletak di Taman U-Thant dikelilingi oleh 58 buah kedutaan.
“Susulan itu kami yakin lokasi The Ashwood merupakan lokasi paling selamat kerana mempunyai pemantauan sekuriti yang tinggi oleh semua pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Jy Mei, projek The Ashwood yang dibangunkan di lokasi elit Taman U-Thant bercirikan elemen mampan termasuk penggunaan tenaga solar, lampu diod pemancar cahaya (LED) dan sistem penuaian air hujan untuk kawasan kegunaan am dan lanskap.
Ujarnya, projek tersebut direka bentuk dengan mengutama pengudaraan dan pencahayaan semulajadi yang selesa bagi penghuninya, malah stesen pengecasan kereta elektrik juga turut disediakan.
Sehubungan itu, katanya, The Ashwood dikategorikan sebagai kediaman yang bukan sahaja sesuai bagi golongan ekspatriat dan ahli korporat, malah juga bagi sesiapa yang mencari konsep kediaman yang tenang, selesa dan selamat di bandar raya.
“Bagi ciri dalaman di setiap unit, The Ashwood mengetengahkan konsep dalaman yang moden dan elegan, dengan pakej perabot asas disertakan sekali dalam penjualannya.
“Dalaman unit yang direka mengambil aspek pencahayaan semulajadi yang selesa dengan tingkap kaca low-e yang membenarkan cahaya tanpa haba memasuki ruang unit,” katanya.
Lebih menarik lagi, kedudukan strategik The Ashwood memberi peluang kepada penghuninya untuk menikmati pemandangan ibu kota dan panorama matahari terbenam yang mengagumkan.
“Penghuni dapat meninjau pemandangan empat menara ikonik tertinggi di Kuala Lumpur iaitu The Exchange 108 yang juga dikenali sebagai Menara TRX, Menara 118, Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur, tanpa ada sebarang halangan,” ujarnya.
The Ashwood menawarkan sebanyak 302 unit kondominium dan 40 unit dupleks bagi projek kediaman mewah tersebut.
Selain itu, The Ashwood turut menyediakan vila eksklusif bertingkat sama ada tiga atau empat tingkat, di mana hanya terdapat 12 unit sahaja.
“Idea vila yang diketengahkan oleh Paramount berkenaan membawa kelainan daripada projek yang dibangunkan sebelum ini, kerana projek perumahan bertingkat rendah eksklusif dikenal pasti sebagai hartanah yang jarang ditemui.” jelasnya. – UTUSAN










