‘Shrinkflation’ dalam pasaran kediaman

‘Shrinkflation’ dalam pasaran kediaman

Sejak beberapa tahun ini, penawaran rumah di sekitar Lembah Klang terutamanya rumah mampu milik sudah semakin mengecil antara saiz 750 kaki persegi hingga 800 kaki persegi pada harga antara RM250,000 ke RM300,000. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INFLASI dalam pasaran menyebabkan banyak yang produk biasa digunakan dalam kehidupan seperti sabun, minuman, tepung, biskut dan sebagainya semakin mengecil dari segi saiz pembungkusannya.

Ini adalah ‘shrinkflation’ iaitu amalan mengurangkan saiz produk sambil mengekalkan harga bagi merangsang atau mengekalkan margin keuntungan akibat peningkatan kos bahan mentah.

Pengecilan saiz ini bukan sahaja berlaku pada kuantiti susu kotak kecil yang dahulunya 250 mililiter (ml) kepada 200 ml, malah pada sektor hartanah apabila kediaman yang ditawarkan terutamanya yang mampu milik semakin mengecil.

Sejak beberapa tahun ini, penawaran rumah di sekitar Lembah Klang terutamanya rumah mampu milik sudah semakin mengecil antara saiz 750 kaki persegi hingga 800 kaki persegi pada harga antara RM250,000 ke RM300,000.

Walaupun ada pemaju yang menawarkan saiz yang lebih atas 850 kaki persegi untuk harga berkenaan, tetapi jumlahnya makin berkurangan jika dibanding sebelum ini.

Malah, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) juga mengecilkan keluasan Rumah Mesra Rakyat (RMR) dari 1,000 kaki persegi kepada 750 kaki persegi dengan harga ditetapkan pada RM75,000 sejak 2021.

Dalam laporan media pada tahun lalu, SPNB memberitahu, perkara tersebut disebabkan oleh harga bahan binaan seperti simen dan besi yang meningkat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, bersetuju bahawa ‘shrinkflation’ ada berlaku dalam pasaran hartanah.

Katanya, faktor utama adalah kos barang binaan yang meningkat secara berterusan, kadar upah pekerja naik, sekali gus melonjakkan kos keseluruhan pembinaan yang pastinya dilipatgandakan dengan harga tanah yang juga meningkat.

“Dalam usaha memenuhi permintaan rumah berharga kurang dari RM300,000, maka pemaju tiada cara lain selain dari mengecilkan saiz setiap unit yang mungkin akan membenarkannya membina tambahan unit yang boleh menyumbang kepada keuntungannya.

“Oleh itu, dalam jangka masa sederhana dan panjang, masyarakat yang tinggal di kawasan bandar terpaksa menghadapi perubahan kepada pilihan tempat perlindungan mereka kerana ia merupakan keperluannya,” katanya.

Menurutnya, dengan kos sara hidup yang terus menekan serta kenaikan barangan dan perkhidmatan keperluan, mereka tiada pilihan selain menerima sahaja tawaran rumah dengan saiz yang semakin kecil.

“Perancangan jumlah ahli keluarga juga akan berlaku terutamanya yang tinggal di bandar Mereka mungkin menghadkan hanya satu hingga dua orang anak sahaja.

“Ini seiring dengan kos sara hidup dan tempat tinggal yang semakin sempit. Maka tidak hairanlah mungkin satu hari nanti rumah di bandaraya besar seperti Johor Bahru, Georgetown, Kuala Lumpur akan dibina dengan saiz seperti di Tokyo, Hong Kong dan Singapura,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham), Sr Ishak Ismail berkata, memang berlaku pengecilan saiz rumah terutamanya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur.

Menurutnya, ini didorong oleh harga tanah yang semakin mahal serta kos bahan binaan yang meningkat terutamanya yang melibatkan bahan-bahan yang diimport seperti simen dan besi.

“Dengan kata pertukaran mata wang ringgit yang menyusut ketika ini, ia pasti memberi kesan kepada pemaju. Oleh itu, mereka perlu inovasi dengan mengurangkan saiz rumah yang ditawarkan untuk mengekalkan harga mampu milik,” ujarnya.

Beliau berkata, pembeli boleh memilih untuk sama ada membeli rumah pada masa sekarang atau menunggu apabila ekonomi dan tabung mereka lebih stabil bagi mendapatkan rumah yang diimpikan.

“Selain itu, mereka juga boleh menerokai pasaran hartanah sekunder iaitu rumah ‘subsale’ yang mungkin lebih rendah harganya dengan saiz yang mereka inginkan. Pasaran lelong juga adalah satu lagi yang boleh menjadi pilihan kepada pembeli.

“Bagaimanapun, mereka perlu mencari ejen yang berdaftar bagi membeli rumah di pasaran ini supaya tidak ditipu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×