OPR kekal, sokong pertumbuhan ekonomi - Pakar - Utusan Malaysia

OPR kekal, sokong pertumbuhan ekonomi – Pakar

SEKTOR pelancongan menjadi antara faktor peningkatan ekonomi domestik. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar dasar semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 3.00 peratus kelmarin, dijangka kekal pada paras semasa hingga akhir tahun ini bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, jangkaan peningkatan permintaan luaran terutama dalam sektor teknologi berupaya untuk menjadi pemangkin utama pertumbuhan.

Katanya, peningkatan dalam pelancong asing serta pelaksanaan projek infrastruktur bakal merancakkan lagi ekonomi domestik.

“Tahun lalu, negara mencatatkan kemasukan pelancong asing sebanyak 20.1 juta orang, peningkatkan 100 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, angka ini masih jauh jika dibandingkan dengan 26 juta orang yang dicatatkan pada 2019. Prospek peningkatan pelancong asing yang lebih tinggi mungkin dicapai berikutan nilai ringgit yang dilihat begitu kompetitif dari sudut pandang pelancong asing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kelmarin, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM membuat keputusan mengekalkan OPR pada 3.00 peratus, sejajar unjuran pasaran.

Keputusan mengekalkan kadar penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di negara ini itu diputuskan pada mesyuarat kedua MPC BNM bagi tahun ini yang diadakan pada 6 dan 7 Mac 2024.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Profesor Madya Abu Sofian Yaacob berkata, pendirian MPC dilihat melegakan peniaga dan peminjam terutama bagi mereka yang mempunyai pembiayaan rumah dan kereta.

“Untuk peniaga pula, pinjaman untuk modal pusingan dan jangka panjang tidak menjadi lebih mahal dan perniagaan dapat diuruskan seperti biasa.

“Bagi peminjam perumahan, kadar itu tidak menaikkan atau memanjangkan tempoh bayaran,” katanya.

Selain itu Abu Sofian menjelaskan, pengekalan kadar itu akan membawa kepada ekonomi yang lebih stabil.

“Cuma pelabur asing akan teragak-agak untuk meneruskan pelaburan disebabkan pulangan tidak meningkat,” ujarnya.

Beliau turut meramalkan kadar OPR itu kekal sehingga akhir suku ketiga atau hingga hujung tahun ini.

Dalam pada itu, AmBank Group dalam nota penyelidikannya berkata, secara keseluruhannya, BNM mempunyai pandangan neutral terhadap hala tuju dasar.

Kataya, MPC melihat tahap OPR semasa dan pendirian dasar monetari sebagai kekal ‘menyokong’ ekonomi dan konsisten dengan arus penilaian inflasi dan prospek pertumbuhan.

MIDF Research pula berpendapat, penetapan dasar monetari BNM adalah memastikan momentum pertumbuhan yang mampan dalam ekonomi Malaysia.

“Walaupun kami menjangkakan perdagangan luar akan pulih, persekitaran luaran kekal mencabar pada 2024 di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang berterusan dan potensi global yang lebih perlahan pertumbuhan.

“Prospek ekonomi domestik diunjur kekal waspada dan berdaya tahan disokong oleh domestik yang stabil permintaan,” katanya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu percaya penstabilan inflasi teras dan persekitaran luaran yang mencabar mungkin mempengaruhi BNM untuk mengekalkan OPR pada tahap semasa sepanjang 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN