PETALING JAYA: Mandiri International Remittance, anak syarikat Bank Mandiri Indonesia, berhasrat membuka cawangan di Borneo bagi memenuhi permintaan pasaran pengiriman wang di Sabah dan Sarawak.
Menurut Ketua Operasi Mandiri International Remittance Malaysia, Azman Mohd Hashim, pembukaan cawangan itu juga akan mengukuhkan kehadiran Mandiri di negara ini.
“Antara lokasi yang sedang dipertimbangkan adalah di Kuching, Sarawak, Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden Pengarah Mandiri. Fitri Wahyu Adihartati berkata, ketika ini terdapat 13 cawangan Mandiri International Remittance di seluruh Malaysia bagi memenuhi permintaan pengiriman wang khususnya dalam kalangan pekerja warga Indonesia.
Jelasnya, tahun lalu, Mandiri International Remittance mencatatkan hasil pulangan sebanyak RM4.4 juta melalui 90,000 transaksi pengiriman wang ke Indonesia.
“Tahun ini, kami menjangkakan peningkatan keuntungan sebanyak 10 peratus melalui pengiriman wang ke Indonesia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Jelas beliau, operasi perniagaan Mandiri Remittance International kini masih dalam proses pemulihan sepenuhnya selepas mengalami penyusutan disebabkan Covid-19.
“Pada 2022 dan 2023 Mandiri Remittance International berada pada peringkat pemulihan selepas covid-19. Tahun ini (2024) kita berhasrat memperluaskan kembali perniagaan kami,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya akan terus memperkukuh perkhidmatan di negara ini selaras dengan peraturan ditetapkan Bank Negara Malaysia.
“Kami turut menawarkan perkhidmatan kiriman wang perniagaan ke perniagaan (B2B) membabitkan syarikat-syarikat yang beroperasi antara kedua-dua negara.
“Bukan sahaja di Indonesia malah di mana-mana negara yang Mandiri beroperasi seperti di Singapura, Thailand, Nepal atau Bangladesh,” katanya.
Menurut Fitri Wahyu, berdasarkan data dari Kedutaan Indonesia di sini, dianggarkan terdapat 470,000 rakyat Indonesia yang berada di Malaysia secara sah.
Namun katanya, jumlah mereka dilaporkan lebih tinggi, dan ia memberi peluang perniagaan kepada Mandiri Remittance.
Selain pekerja Indonesia jelasnya, Mandiri turut menyasarkan pekerja negara lain seperti Nepal dan Bangladesh untuk tansaksi pemindahan atau pengiriman wang ke negara asal mereka. – UTUSAN










