Kadar PSC baharu dijangka sokong pendapatan MAHB - Utusan Malaysia

Kadar PSC baharu dijangka sokong pendapatan MAHB

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Caj perkhidmatan penumpang (PSC) untuk perjalanan antarabangsa yang disemak semula dijangka akan menyumbang kepada pendapatan tambahan kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), kata Kenanga Research.

Menurut nota penyelidikannya, pihaknya positif dengan perkembangan terbaharu ini yang dijangka memberi pendapatan positif kepada MAHB.

“Namun begitu, pada pandangan kami, kami percaya kadar tarif terkini ini mungkin tidak mencukupi untuk MAHB meningkatkan aliran tunai yang mencukupi memandangkan keperluan mendesak untuk pembesaran lapangan terbang dan perbelanjaan penyelenggaraan di Malaysia,” kataya.

Selasa lalu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengumumkan pindaan kepada PSC bagi Tempoh Kawal Selia Pertama (RP1) bermula 1 Jun 2024 hingga 31 Disember 2026.

Berdasarkan kadar PSC baharu, PSC ASEAN dan destinasi melangkau ASEAN telah digabungkan menjadi PSC antarabangsa tunggal berjumlah RM73 bagi Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan RM50 bagi Terminal 2 KLIA serta lapangan terbang lain.

Sementara kadar PSC semasa ASEAN dan destinasi melangkau ASEAN masing-masing pada RM35 dan RM73.

Dalam pada itu, Kenanga Research berkata, ketibaan pelancong di Malaysia dijangka melonjak 35 peratus kepada 27 juta pada tahun ini (selaras dengan unjuran Tourism Malaysia untuk kembali ke tahap pra pandemik) daripada anggaran 20 juta setahun lalu.

Firma penyelidikan berkata, perjalanan udara untuk perniagaan dan percutian akan terus pulih sepanjang 2024, dipacu terutamanya oleh pelancong China yang secara sejarah menyumbang kepada anggaran 12 peratus daripada jumlah ketibaan pelancong di Malaysia.

“Tambahan pula, ketibaan pelancong dijangka akan dirangsang oleh pengecualian visa sehingga 30 hari untuk pelawat China dan India ke Malaysia bermula dari Disember 2023 dan China membolehkan pelawat transit Malaysia masuk 15 hari tanpa visa antara 1 Disember 2023 dan 30 November 2024.

“Ini sepatutnya menyokong pertumbuhan dalam permintaan pemprosesan penumpang Malaysia Airports Holdings Berhad pada 2024.

“Kami menjangkakan trajektori trafik berkembang pada bulan-bulan berikutnya apabila syarikat penerbangan terus mengaktifkan semula lebih banyak pesawat untuk menyamai permintaan yang semakin meningkat,” ujarnya.

Kenanga Research berkata, memperkukuh trajektori pertumbuhan trafik adalah pergerakan pesawat yang menghala ke arah peningkatan penerbangan jarak sederhana dan jauh ke destinasi Perth, Sydney, Auckland, Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Menurutnya, KLIA menyaksikan kepulangan Kuwait Airways selepas penamatan tujuh tahun, manakala KLM Royal Dutch Airlines dan All Nippon Airways, masing-masing akan meneruskan operasi penerbangan tanpa henti ke Amsterdam dan Tokyo, selepas menghentikan sementara operasi kerana Covid-19.

“Selain itu, Malaysia Airlines telah meningkatkan kekerapan penerbangannya ke Tokyo mulai November 2022, memenuhi lonjakan permintaan perjalanan selepas Jepun membuka semula sempadannya kepada pengembara antarabangsa.

“AirAsia Group pula menumpukan pada operasi jarak sederhananya dan telah meningkatkan penerbangan Malaysia AirAsia X kepada 44 kali seminggu merentasi 10 laluan mulai November 2022,” ujarnya.

Kenanga Research menaikkan unjuran keuntungan bersih MAHB bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 sebanyak 12 peratus dan meningkatkan harga sasaran (TP) sebanyak 13 peratus kepada RM9.00 (dari RM8.00), tetapi mengekalkan penarafan pada ‘market perform’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN