MINAT mendalam di bidang seni fotografi dan videografi mendorong bekas atlet menembak negara, Jasmi Mohamad Zin membuka syarikat penerbitannya sendiri iaitu Outsoslah Sdn. Bhd. (Outsoslah) di bawah jenama HAS Production.
Pengarah Urusan Outsoslah, Jasmi Mohamad Zin, 31 berkata, pada awalnya beliau memulakan perniagaan dengan menubuhkan JMZstudiopics Enterprise.
“Saya bermula dengan JMZstudiopics Enterprise sehingga bekerja di HAS Production PLT.
“Selepas itu, saya bekerjasama dengan rakan kongsi, Nazirul Haziq untuk menjadikan HAS Production itu sebagai syarikat Sendirian Berhad dan tertubuh lah Outsoslah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siswazah Sarjana Muda Rangkaian Komputer dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, beliau memulakan perniagaan itu dengan hanya RM25,000 sehingga mendapat ramai pelanggan yang memerlukan khidmat pengiklanan, video klip musik dan sebagainya.

Katanya, media baharu yang semakin berkembang antara cabaran yang masih dihadapi, tetapi masih boleh diatasi dengan mengikuti arus perkembangan semasa.
Mengulas mengenai pilihannya berhenti menjadi atlet menembak, Jasmi berkata, beliau tidak melepasi sasaran dirinya sendiri untuk memasuki Asian Games kerana hanya berjaya ke peringkat Sea Games sahaja.
Jelas bekas atlet menembak itu, beliau meminati bidang sukan, namun memilih untuk berhenti pada umur 24 tahun dan memberi peluang kepada generasi baharu mewakili negara.
Katanya, perjalanan yang mencabar dan tidak mahu membazir masa mendorong beliau membuat keputusan itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau mula membuka perniagaan kerana ingin menjadikan minatnya yang kuat dalam bidang seni sebagai kerjaya.
“Ia juga disebabkan saya ingin mempunyai pendapatan yang stabil, namun sukan menembak tetap di hati,” katanya.
Tambah Jasmi, golongan muda yang ingin menceburi bidang perniagaan perlu berani mengambil risiko dan mungkin mereka sebenarnya sesuai di dalam bidang itu.
“Tiada usahawan yang lahir terus menjadi jutawan, teruskan berjalan seperti mana awalnya kita membuat keputusan; kekalkan perasaan seperti mana pertama kali kita bermula; serta disulami dengan ilmu perniagaan dan keusahawanan,” katanya. – UTUSAN










