Tingkat kerjasama kurangkan hartanah tidak terjual - Utusan Malaysia

Tingkat kerjasama kurangkan hartanah tidak terjual

BAKAL pembeli perlu membuat semakan supaya tidak ditipu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu meningkatkan kerjasama dan kefahaman yang konsisten dengan pemaju bagi mengurangkan jumlah hartanah tidak terjual.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, ini kerana arah aliran jualan hartanah di Malaysia dipengaruhi oleh prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurutnya, aktiviti jual beli kediaman dipengaruhi oleh sentimen faktor ekonomi yang stabil serta disokong faktor-faktor lain seperti kadar bunga dan beban regulasi yang minimum.

“Polisi yang lebih spesifik untuk hartanah terutamanya melibatkan lokasi di beberapa negeri tertentu perlu berupaya bertindak balas dan saya melihat dengan usaha kerajaan melalui tindak balas polisi Madani, pemulihan ekonomi akan menjadi lebih stabil dan konsisten.

“Pelaksanaan data raya dilihat amat membantu pembuat dasar dan pemaju untuk mengurangkan penawaran berlebihan, malah boleh memberi petunjuk kepada pemaju untuk membina perumahan bagi satu-satu lokasi dan kejiranan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ridhuan Bos berkata, kos lepas disebabkan oleh hartanah tidak terjual mempunyai impak amat besar terutamanya bagi projek pembangunan melibatkan nilai ratusan juta ringgit.

Ujar beliau, aliran pendapatan atau hasil pemaju akan mengalami kejatuhan lalu menyebabkan operasi firma terjejas dengan kecenderungan untuk mengurangkan saiz operasi.

“Kesan jangka panjang pula menyebabkan pertumbuhan keuntungan firma terjejas dan cukai korporat yang dikutip kerajaan akan berkurang sekali gus boleh membantutkan beberapa aktiviti ekonomi.

“Laporan Hartanah yang dikeluarkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi separuh pertama 2023 menunjukkan nilai hartanah yang tidak terjual sebanyak RM18 bilion sebagai kos lepas dalam ekonomi.

“Bayangkan sekiranya nilai yang sama iaitu RM18 bilion disuntik dalam ekonomi ia boleh menghasilkan kesan limpahan yang berganda dalam ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, justeru itu, pembuat dasar di beberapa negeri perlu lebih responsif dengan unit yang tidak terjual misalnya di Johor dan Selangor yang melonggarkan regulasi dengan memberi keutamaan kepada pemilikan dalam negara.

“Pemegang taruh seperti industri perbankan dan sub-sektor perkhidmatan seperti arkitek dan perancang dituntut agar lebih responsif di samping pemaju swasta juga perlu sedar dengan persaingan negara Asia atau jiran serantau yang dinilai dengan pemberat yang lebih realistik.

“Sentimen pasaran perlu dilihat pemberat dan risikonya kepada faktor ekonomi dan seperti yang saya tekankan sebelum ini, penilaian pasaran dan pandangan pihak perunding atau ahli akademik perlu diambilkira ketika membuat keputusan untuk memulakan projek pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Datuk Nazri Mustafa berkata, pelbagai langkah telah diambil kerajaan dalam membantu rakyat memiliki kediaman sendiri dan pada masa sama mengurangkan hartanah tidak terjual.

Jelasnya, pemberian pengecualian duti setem untuk pembelian rumah pertama dan sokongan dari pihak skim jaminan kredit perumahan untuk prospek yang tiada dokumen sokongan pendapatan yang mantap tetapi mampu merupakan antara usaha yang dilaksanakan kerajaan.

“Selain itu, komunikasi dan keterlibatan diskusi dengan pihak pemaju untuk mencari jalan bagaimana menyelesaikan isu ini serta imbangan penawaran dan permintaan yang perlu dipraktikkan dengan kawalan jumlah rumah baru yang bakal di bina, terutamanya rumah bertingkat mengikut kesesuaian perlu diamalkan.

“Jika diperhatikan, masih terdapat rumah berharga mahal yang dibina oleh pemaju dan nenpunyai reputasi di kawasan ‘panas’ tetap dapat dijual sepenuhnya, terutamanya rumah bertanah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya