Intana Ria 3, kediaman mampu milik berkepadatan rendah di Bangi - Utusan Malaysia

Intana Ria 3, kediaman mampu milik berkepadatan rendah di Bangi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMAHAMI keperluan perumahan dalam golongan muda dan profesional, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan kediaman mampu milik dengan kepadatan rendah dalam komuniti.

Projek dikenali sebagai Intana Ria 3, terletak di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.

Intana Ria 3 mencerminkan komitmen PKNS ke arah menyediakan kediaman mampu milik kepada penduduk Bangi dan kawasan sekitar.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM78 juta, Intana Ria 3 dibina di kawasan seluas 2.82 ekar.

 

Kediaman itu ditawarkan pada harga bermula daripada RM399,000 hingga RM423,000. Projek itu melibatkan kediaman 14 tingkat dengan 200 unit.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, pemilikan rumah terus menjadi keutamaan PKNS sebagai sebahagian daripada pembangunan di Selangor.

“Intana Ria 3 merupakan fasa akhir projek kediaman Intana Ria yang dibina oleh PKNS sejak tahun 1998 di Bandar Baru Bangi,” katanya dalam kenyataan.

Intana Ria 3 terdiri daripada kediaman dengan saiz binaan seluas 906.86 kaki persegi untuk Jenis A1 dan A2. Setiap unit mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik mandi dan peruntukan dua tempat letak kereta setiap satu.

Direka bentuk dengan konsep ruang terbuka, setiap unit menawarkan fleksibiliti yang lebih luas kepada satu keluarga dari segi penggunaan ruang yang ditunjukkan menerusi susun atur ruang tamu, ruang makan dan dapur yang luas.

Pintu masuk bilik dibina untuk menampakkan lebih privasi, manakala pencahayaan semula jadi dengan pengudaraan yang baik disepadukan melalui penempatan strategik tingkap di sekeliling unit, dengan siling yang tinggi.

Kediaman itu turut dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, gimnasium luar, ruang musolla, bilik bacaan, dewan serbaguna dan taman permainan kanak-kanak yang boleh digunakan oleh semua penduduk bagi mengeratkan hubungan masyarakat setempat.

Dikelilingi oleh perbandaran Bandar Baru Bangi yang serba lengkap, Intana Ria 3 berdekatan dengan rangkaian kejiranan dan kemudahan seperti sekolah, masjid, restoran, pusat perubatan dan pejabat kerajaan.

Selain itu, peluang pekerjaan untuk golongan dewasa turut terbuka luas melalui kawasan perniagaan dan perindustrian yang berdekatan.

Malah, bagi mereka yang mempunyai anak yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi, institusi pengajian seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga terletak tidak jauh daripada kawasan kediaman ini.

Kemudahan akses yang mudah juga adalah satu lagi aspek penting yang perlu diambil kira untuk pembangunan sesebuah kediaman. Penduduk Intana Ria 3 mempunyai banyak pilihan hub pengangkutan seperti stesen KTM Kajang, stesen MRT Kajang, serta perkhidmatan bas RapidKL.

Jaringan akses keluar ke Kuala Lumpur juga mudah melalui beberapa lebuh raya berdekatan antaranya Lebuhraya Kajang-Silk, Lebuhraya MEX dan Lebuhraya Kajang-Seremban.

Mahmud berkata, dengan pertumbuhan kawasan perindustrian yang pesat di sekitar Bangi, pihaknya yakin pembangunan Intana Ria 3 Akan memberi nilai tambah kepada pusat perniagaan di daerah itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya