KPJ peruntuk RM500 juta perbelanjaan modal 2023 - Utusan Malaysia

KPJ peruntuk RM500 juta perbelanjaan modal 2023

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenaan berangkat merasmikan Hospital Pakar KPJ Damansara 2 (DSH2) di Damasara, di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Bhd (KPJ), antara pengendali perkhidmatan penjagaan kesihatan utama di negara ini, memperuntukkan RM500 juta perbelanjaan modal bagi tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Md. Arif Mahmood berkata, perbelanjaan modal berkenaan merangkumi kerja-kerja naik taraf keupayaan dan kualiti perkhidmatan di 29 buah hospitalnya di seluruh negara.

“KPJ memperuntukan kira-kira setengah bilion ringgit perbelanjaan modal tahun ini dan ia bukan sahaja merangkumi penambahbaikkan fasiliti sedia ada malah juga termasuk peralatan baharu serta infrastruktur data.

“Kami memiliki 1,500 doktor di 29 rangkaian hospital KPJ seluruh negara bagi memberikan perkhidmatan terbaik buat pesakit.

“Pada 2024, jumlah hospital KPJ bakal meningkat kepada 30 buah menerusi pembukaan Hospital KPJ Kuala Selangor sekiranya semua berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Hospital Pakar KPJ Damansara 2 (DSH2), di sini, semalam.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenaan berangkat merasmikan hospital berkenaan yang berkeluasan 1.12 hektar dengan 300 kapasiti katil, 10 unit rawatan rapi (ICU) dan tujuh dewan bedah.

Ketibaan baginda disambut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi Johor Corporation (JCorp), Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sriq Azmi Royani, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamad Syed Ibrahim dan Md. Arif.

Majlis dimulakan dengan baginda berkenan menandatangani plak perasmian hospital berkenaan diikuti tayangan montaj dan bacaan doa di lobi utama sambil disaksikan barisan pengurusan dan kakitangan DSH2.

Sementara itu, Md Arif berkata, selari dengan perkembangan pelancongan kesihatan KPJ menyasarkan kira-kira 50 peratus sumbangan daripada DSH2 adalah daripada sektor berkenaan.

Beliau berkata, pelancongan kesihatan terus menjadi sektor penting kepada KPJ terutamanya selepas sempadan dibuka dan melihat ia sebagai satu peluang.

“Sebelum ini disebabkan pandemik Covid-19 jumlah pelancong yang datang mendapatkan rawatan kesihatan berkurangan namun ia bertambah selepas sempadan dibuka.

“Kami sedang menjalankan usaha dengan menyasarkan pelancong daripada ASEAN terutamanya Singapura dan Indonesia yang memerlukan rawatan kesihatan di negara kita,” katanya.

Sementara itu, pelancaran DSH2 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPJ untuk menetapkan penanda aras dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan selain turut menetapkan standard baharu dalam penjagaan klinikal, tumpuan pesakit dan pelanggan .

DSH2 menggabungkan dan memanfaatkan kuasa digital dan teknologi, dilengkapi dengan kakitangan, jururawat dan perunding yang terlatih dan berpengalaman, bagi memastikan pesakit dan pelanggannya menerima tahap penjagaan dan perkhidmatan yang tiada tandingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya