Benarkan pemaju bina rumah mampu milik di tanah kerajaan - Utusan Malaysia

Benarkan pemaju bina rumah mampu milik di tanah kerajaan

Kerajaan yakin sasaran 500,000 unit Rumah Mampu Milik pada RMK12 mampu dicapai. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu membuka ruang kepada pemaju untuk membina rumah mampu milik di atas tanah miliknya agar kediaman yang dibina dapat ditawarkan dengan harga lebih murah.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi 1, MK Land Holdings Berhad (MK Land), Ahmad Soalahuddin Al-Thani berkata, ia ekoran pemaju dapat menjimatkan kos tanah memandangkan rumah mampu milik dibina di atas tanah kerajaan.

Menurut Ahmad Soalahuddin, kerajaan perlu berganding bahu bersama-sama dengan pemaju swasta dalam mengurangkan kos pembinaan, kos buruh, kos pematuhan dan kain-lain kos berkaitan dalam menggalakkan pembinaan rumah mampu milik kepada rakyat.

“Jika pihak swasta diperlukan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik, pihak kami memohon agar kerajaan dapat membantu mengurangkan kos seperti kos sumbangan, kos cukai dan juga mempercepatkan proses kelulusan dan pematuhan projek.

“Kerajaan juga perlu mempercepatkan semua proses dan kelulusan untuk pembangunan kerana masa juga merupakan kos dan sekiranya semua kos dapat dikurangkan pemaju lebih bersedia untuk membina rumah mampu milik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ditanya sama ada rumah mampu milik perlu diperbanyakkan oleh kerajaan atau pemaju, beliau berkata terdapat beberapa faktor perlu dilihat secara keseluruhan melibatkan perkara berkenaan.

Katanya, semua pihak perlu melihat kos sara hidup secara keseluruhan dalam menangani sebarang isu melibatkan rumah mampu milik selain kos pengangkutan dan mod serta masa transit yang perlu diambil kira dalam membuat perbandingan harga rumah.

“Permintaan pasaran juga perlu diambil kira dalam sebarang keputusan membina rumah mampu milik untuk mengelak lambakkan rumah yang tidak terjual,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai rumah mampu milik yang dibina oleh MK Land, Ahmad Soalahuddin berkata, buat masa ini, syarikat hartanah itu menawarkan kediaman mampu milik di Selangor dari jenis bertanah berharga RM200,000 dan RM250,000.

Katanya, MK Land turut menawarkan rumah mampu milik jenis sama dari harga RM90,000 hingga RM250,000 di Perak.

“Walau bagaimanapun, jenis dan harga rumah mampu milik tertakluk kepada tarikh pelancaran projek jadi bakal pembeli perlu menghubungi kami untuk mengetahui jenis rumah dan harga rumah yang ditawarkan pada satu satu masa.

“MK Land setakat ini telah membina 32,000 unit rumah mampu milik dan kami akan terus membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.