Beli atau sewa rumah? - Utusan Malaysia

Beli atau sewa rumah?

BELI atau sewa rumah? - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANA lebih baik, beli rumah atau menyewa? Pertanyaan ini tiada penghujungnya kerana masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan bergantung kepada kemampuan setiap individu.

Jadi bagi keluaran Ringgit kali ini, kami kongsikan pandangan dan nasihat daripada Faiz Azmi yang merupakan Pengasas Financial Faiz, berkenaan ‘Baguskah beli rumah? Kenapa tidak menyewa?

Kalau bercakap mengenai rumah atau hartanah mesti kita fikir kena beli sedangkan kita tahu orang zaman dahulu, pelaburan dalam hartanah dengan kita zaman sekarang adalah berlainan.

Ini zaman sekarang, peredaran zaman sudah tidak sama sebab inflasi kenaikan harga barang setiap tahun namun gaji kita belum tentu naik setiap tahun.

Kita kena ingat, keperluan kita adalah pertama makanan dan minuman, kedua pakaian dan ketiga adalah rumah untuk perlindungan dan nombor empat kereta tapi itu topik yang lain.

Jadi bila bercakap soal rumah ia merupakan perkara sentimental kerana ada individu berpandangan untuk membeli rumah itu terlalu tinggi, ada pula berfikir kalau menyewa lagi rugi dan kita mengkayakan pemilik rumah.

Orang kata pengalaman adalah guru yang terbaik jadi jika anda terutamanya orang muda berhasrat membeli rumah sebagai aset benda paling wajib perlu ada adalah ilmu, taktik dan strategi yang sesuai.

Saya lihat ramai ramai orang buat silap di mana ada yang beli rumah dahulu kemudian dia menyesal dan jatuh muflis selepas itu. Bayangkan muda-muda sudah jatuh muflis, jadi anda perlu membuat keputusan bijak, jika tidak mampu membeli anda boleh menyewa dahulu.

Jadinya, wajarkah anda membeli atau menyewa rumah?

Bila hendak menjawab soalan ini, macam biasa saya akan cakap ia bergantung kepada apa yang anda inginkan sebenarnya. Adakah anda ingin tinggal di situ selama-lamanya atau anda beli rumah berkenaan sebab anda merasakan nilai rumah itu akan naik kelak.

Tapi ada segelintir daripada individu di luar sana mungkin akan cakap apa salahnya kita membeli rumah kerana tidak perlu bayar sewa, duit bayaran sewa boleh buat bayar ansuran rumah yang kita beli.

Kalau anda tidak tahu untuk lima tahun pertama anda membeli rumah, sewa di kawasan itu jauh lebih rendah daripada ansuran bank yang kita bayar untuk membeli rumah tersebut.

Ada tiga benda anda kena bayar, pertama bayar sewaktu hendak beli rumah, kedua apabila sedang memiliki rumah dan kemudian apabila anda hendak jual rumah anda tetap perlu mengeluarkan duit.

Pertama apabila hendak membeli rumah anda perlu membayar deposit 10 peratus dan bayangkan kalau anda menyewa 10 peratus ini anda boleh simpan di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB). Ada juga yang menggunakan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat bayar deposit.

Kemudian bila membeli rumah akan ada yuran guaman, bukan satu tapi dua iaitu Perjanjian Jual Beli (SPA) and perjanjian pinjaman. Kemudian kena bayar cukai duti setem. Ya mungkin akan ada yang cakap sekarang ada Kempen Pemilikan Rumah (HOC) tapi harus diingatkan ia hanya untuk sesetengah pemaju sahaja kalau anda membeli rumah ‘subsale’.

Untuk kos nombor dua pula, waktu sudah memiliki kediaman yang dibeli anda perlu membayar cukai, Indah Water, insurans kebakaran, Insurans Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (MRTA) dan Jaminan Tempoh Tahap Gadai janji (MLTA).

Selepas itu, katakan jika anda berpindah dan perlu menjual rumah, anda tetap perlu mengeluarkan wang di mana perlu membayar yuran ejen, bayaran pelepasan, Cukai Keuntungan Hartanah (CKHT).

Tujuan saya menyenaraikan semua kos ini bukanlah hendak mengatakan bahawa membeli rumah tidak bagus tetapi jika setakat anda tinggal di sebuah kawasan untuk sementara waktu bukankah lebih baik menyewa daripada terburu-buru membeli rumah.

Tidak ada salahnya jika ada menyewa jika bayaran sewaan itu jauh lebih rendah daripada ansuran bulanan rumah anda dan juga semua yuran yang perlu anda bayar jika memiliki rumah berkenaan.

Jadi buangkan pemikiran bahara lebih baik membeli rumah daripada menyewa kerana jika menyewa kita mengkayakan pemilik rumah sedangkan kita sedar ramai orang hilang duit, jatuh miskin disebabkan aliran tunainya teruk, setiap bulan lebih banyak duit keluar daripada masuk berbanding jika menyewa.

Perkongsian saya ini adalah kerana saya kasihan melihat anak-anak muda diberi tekanan agar memiliki rumah sedangkan kita tahu tiada apa yang lebih mahal dalam hidup ini selain daripada membeli sebuah rumah.

Akhir sekali, saya hendak rumuskan bukan saya kata jangan beli hartanah, cuma kalau hendak beli fikirlah masak-masak dan jangan ikut apa yang orang cakap. Dahulu harga rumah murah dan setimpal dengan gaji tetapi sekarang tidak, gaji kita lambat naik berbanding kadar inflasi dan harga rumah.

Jadi kalau rumah mahal sangat maka saya sarankan anda menyewa atau boleh membeli rumah yang murah, tidak perlu ikut orang untuk membeli rumah mahal-mahal. Ukur baju dibadan sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya