Sungai sering tercemar, siapa bertanggungjawab?

Sungai sering tercemar, siapa bertanggungjawab?

NABILA ZULKEFLEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SETIAP kali apabila berlaku gangguan bekalan air bersih atau krisis air di kawasan-kawasan perumahan, ia sering dikaitkan dengan berlakunya pencemaran, sama ada pencemaran bau atau air melibatkan sungai berhampiran. Ia sering berulang seolah-olah tiada langkah pencegahan yang dibuat oleh pihak bertanggungjawab.

Namun, pernahkah terfikir siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam soal memelihara sungai daripada dicemari dengan sisa sampah dengan terurus? Adakah Jabatan Alam Sekitar (JAS) semata-mata atau pihak lain juga bertanggungjawab?

Ikuti temubual bersama Pegawai Penyelidik Alam Sekitar di Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), NABILA ZULKEFLEE bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN, ARIF AIMAN ASROL dan jurufoto, SADDAM YUSOFF baru-baru ini.


PUNCA SUNGAI TERCEMAR

Puncanya ialah pengurusan sampah di negara kita sendiri, sebab sekarang kita ada kapasiti yang terlalu rendah untuk menguruskannya. Sepatutnya kita ada  pemisahan sumber (separation at source) di bawah Akta 672, akta ini ialah akta yang menguruskan sisa pepejal namun negeri-negeri yang berada di bawah akta ini ada lapan negeri sahaja. 

Kita juga ada masalah dengan tapak pembuangan sampah haram. Ada yang sangat berhampiran dengan sungai-sungai di Selangor, itu pun membawa kepada pencemaran sungai juga. Lagi satu saya ingin tekankan puncanya adalah daripada industri yang buang sisa sampah ke dalam sungai sebab dia mahu kurangkan kos, sepatutnya bahan tercemar perlu melalui  JAS untuk pembuangan berjadual tetapi kerana ingin senang, tidak mahu bayar lebih, terus buang bahan buangan tersebut ke dalam sungai.

Kalau di bahagian atas itu pun masih hasilkan begitu banyak sisa sampah dan di bahagian bawah, pengurusan sampah pun tidak terurus, memang ke laut lah.

 

SIAPA SEBENARNYA BERTANGGUNGJAWAB?

Sepatutnya sampah ini pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab, mengikut negeri-negeri sendiri dalam Akta 672. Kalau agensi di bawah kementerian adalah SWCorp, jadi dia yang akan jadi pembekal sisa perkhidmatan.

Kalau apa-apa pencemaran (sungai), JAS yang pergi tetapi sebenarnya sungai pun di bawah PBT ataupun di bawah kerajaan negeri yang harus jaga sebenarnya. Tetapi JAS datang apabila sungai itu sudah tercemar ataupun ada orang buat pencemaran, yang siasat itu semua JAS, yang boleh denda semua pun JAS, tetapi sebenarnya yang harus jaga kualiti sungai apa semua daripada kerajaan negeri.

Contohnya, kita ada Sungai Klang, jadi macam mana dia jaga sungai ini, dia juga kena jaga pembangunan di kawasan sungai tersebut. Pembangunan ini pun sebenarnya JAS pun ada bertanggungjawab juga dalam hal ehwal penilaian kesan kepada alam sekeliling sebab dia akan bagi tahu cara-cara, risiko kemerosotan alam sekitar sebelum atau semasa projek berjalan dan dia harus ada laporan berkala kepada JAS.

Tetapi yang luluskan apa semua pun bawah kerajaan negeri juga, dia sendiri harus jagalah kualiti itu. Jadi, kerajaan negeri dan PBT yang tengok sungai ini.

Kadang-kadang orang awam tidak faham dekat mana kuasa-kuasa ini, dia bawah mana kuasa-kuasa ini. Apa yang menyebabkan pencemaran dan bahan sisa bahaya semua bawah JAS tetapi untuk pengurusan sisa plastik atau plastik di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebenarnya.

Plastik pula bukan dibawah JAS sebab plastik tidak dianggap sebagai bahan sisa bahaya. JAS hanya uruskan bahan sisa bahaya sahaja.

 

KESAN

Banyak kesan tetapi paling besar kepada kehidupan manusia. Dia memang mengganggu kehidupan seharian kita. Sekarang ini banyak sangat gangguan bekalan air terutamanya di Selangor, sikit-sikit sebab tercemar dengan bahan buangan tercemar. Kita tahu punca daripada mana tetapi benda ini asyik berlaku sampai ada satu masa itu setiap bulan ada sungai tercemar dan yang dipersalahkan dan ditangkap adalah pengusaha kilang atau pihak industri.

 

ADAKAH SUNGAI BOLEH KEMBALI BERSIH DAN JERNIH?

Boleh sebenarnya, kita perlu hentikan di bahagian pengeluaran. Kita perlu kurangkan dulu produksi sampah. Mulakan daripada situ dulu. Bersihkan sungai adalah satu inisiatif yang bagus tapi sebenarnya ia penyelesaian jangka pendek sahaja, tidak ada gunanya kalau di atas masih hasilkan begitu banyak sampah. Sama juga jika penduduk masih buang sampah merata-rata, pihak industri pun buat perkara sama, buang dalam sungai.

Baru-baru ini kita ada pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 2024, yang  menetapkan denda maksimum RM10 juta untuk pencemaran air, pencemaran bahan buangan, minyak serta buangan di perairan Malaysia dan juga pelupusan haram serta pembuangan terjadual tetapi bagi kami sebenarnya ia perlu sejajar dengan penguatkuasaan juga. Kalau kita naikkan sahaja denda tetapi orang masih buat, jadi macam mana?

Kita juga perlu selesaikan isu pengurusan sisa sampah, macam antara JAS dan PBT. Sistem itu perlu sejajar, kita tidak boleh kata ada kerjasama antara agensi kerajaan untuk atasi masalah yang sama tetapi tiba-tiba akan jadi kekeliruan atau terlalu banyak tanggungjawab untuk semua, akhirnya ia tidak jalan pun. Kita sentiasa tekankan tatakelola untuk mengawal selia pencemaran sungai dan pengurusan sisa sampah, mengawal selia daripada sebarang korupsi.

Kita juga mahu sarankan dalam pindaan akta supaya mengetengahkan bahan buangan tercemar yang baharu, sebab sekarang ini banyak sampah plastik jadi kita mahu  kerajaan mempertimbangkan untuk tambah mikroplastik sebagai sebagai pencemar. Jadi bila diperiksa dalam air itu ada mikroplastik, dia harus dibersihkan. 

Selain itu, bila ada industri yang mahu membangunkan sesuatu, dia perlukan laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling (EIA), sepatutnya EIA ini harus telus. Setiap projek yang membangun perlu  telus dan laporan itu harus disiarkan kepada orang awam, terutama kalau ada projek besar. 

Kita juga perlu tambah baik sistem kutipan sisa sampah, perlu  ada kerjasama antara KPKT dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam menguruskan sisa pepejal dan fokus kepada bajet supaya tidak ada satu kawasan pun terkecuali dengan kutipan sampah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×