‘Jangan ingat boleh lepas’

‘Jangan ingat boleh lepas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SIKAP pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal tidak mematuhi peraturan terutama melanggar lampu isyarat merah semakin berleluasa.
Sikap tidak bertanggungjawab itu sekali gus menjadi penyumbang kepada peningkatan nahas jalan raya.

Bagi Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, DATUK SERI MOHD. YUSRI HASSAN BASRI, beliau mempunyai perancangan bagi membendung sekali gus mendidik pengguna agar menghormati peraturan jalan raya.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN, AHMAD FADHLULLAH ADNAN dan AIN SAFREE BIDIN dibantu jurufoto, FIRDAUS JOHARI, beliau berkongsi visi dan matlamat JSPT ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

UTUSAN: Boleh Datuk Seri nyatakan misi dan visi sebagai Pengarah JSPT yang baharu?
MOHD. YUSRI: Visi JSPT menjadi agensi peneraju penguatkuasaan lalu lintas dalam menjamin keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya. Misi JSPT pula memberi perkhidmatan yang cekap, profesional, berkualiti dan melindungi serta menjamin persekitaran selamat kepada pengguna jalan raya.

Kita menjalankan siasatan dan penguatkuasaan. Apa undang-undang, peraturan dan akta jalan raya yang ada, kita akan kuat kuasakan untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam (termasuk) tidak terlibat dalam kemalangan atau menjadi mangsa kemalangan. Orang yang menjadi punca kemalangan akibat kecuaian, terbabas, tetapi orang lain pula yang jadi mangsa disebabkan kemalangan yang berlaku ke atas diri dia. Jadi, disebabkan itu kita nak tingkatkan lagi penguatkuasaan.

Apa lagi penambahbaikan boleh dilaksanakan JSPT bagi mengatasi masalah-masalah trafik termasuk kesesakan lalu lintas dan kadar kemalangan jalan raya?
Pertamanya, kita nak mendidik pengguna supaya berhemah, mempunyai sikap bertolak ansur, bertoleransi dan bertimbang rasa serta mengikut peraturan, arahan pihak berkuasa dan lain-lain agensi keselamatan jalan raya.
Kita lihat sikap pengguna di jalan raya kadangkala tidak bertolak ansur, tidak bertoleransi dan tidak bertimbang rasa. Mereka kadangkala mementingkan diri sendiri (sebab) mungkin nak cepat sampai atau ada perkara lain berlaku. Kita nak mendidik dan mendedahkan kepada mereka supaya memandu secara berhemah. Jadi, sikap itu kena berubahlah bagi memastikan apabila mereka keluar dari rumah, mereka selamat sampai destinasi masing-masing.
Apabila kita nak menguatkuasakan ini, kena ada tindakan undang-undang. Kepada pemandu yang agak degil atau melanggar peraturan dan undang-undang atau Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, kita akan ambil tindakan tegas dengan mengenakan saman dan denda untuk memberikan mereka pengajaran supaya tidak melakukan kesilapan serta menjadi teladan kepada pengguna lain agar tidak mengulangi kesalahan sama.
Saya juga mahu seluruh warga JSPT memberikan perkhidmatan cekap, efisien dan sentiasa kelihatan di jalan raya atau di tempat-tempat yang menjadi hotspot yang sering berlaku kemalangan atau kesesakan. Jadi, saya akan meletakkan pegawai dan anggota JSPT untuk berada di lokasi agar mereka ini kelihatan. Apabila nampak kami, mungkin sedikit sebanyak memberi kesan (supaya) mereka memandu lebih berhati-hati dan berasa diawasi. Kadangkala apabila tidak pakai tali pinggang keledar, bila nampak polis, baru nak pakai dan memandu secara berhemah.
Pada masa sama, saya mahu warga JSPT lebih berintegriti dalam menjalankan tugas. Kita dengar sebelum ini banyak laporan negatif terhadap pegawai dan anggota saya yang bertugas di bawah sana. Kita akan tingkatkan lagi integriti untuk mendapatkan lagi kepercayaan serta memastikan penyampaian perkhidmatan (service delivery) diberikan adalah terbaik untuk orang ramai.

Adakah dengan meletakkan anggota di lokasi yang mereka kelihatan dapat mewujudkan perasaan ‘gentar’ kepada pengguna jalan raya?
Langkah ini untuk menyedarkan pengguna bahawa mereka perlu mematuhi peraturan atau undang-undang apabila berada di jalan raya. Apabila nampak kita, mereka takut untuk melakukan kesalahan. Jika melakukan kesalahan, kita akan tahan dan ambil tindakan tegas.
Kita nak didik dan menyedarkan pengguna supaya lebih berhemah dan bersikap lebih bertimbang rasa dan mematuhi peraturan jalan raya.
Kita telah buat satu kajian dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) (berkaitan pematuhan) sebelum, semasa dan selepas Op Selamat. Dalam kajian ini yang dibuat beberapa tahun, didapati kepatuhan terhadap undang-undang tinggi semasa Op Selamat dengan kehadiran pihak polis.

Apa pandangan Datuk Seri terhadap sikap pengguna tidak mematuhi peraturan jalan raya terutama melanggar lampu isyarat merah yang semakin berleluasa? Apa bentuk tindakan yang sedang dirancang oleh JSPT bagi mengatasi masalah ini?
Ini mungkin berpunca kepada sikap pengguna jalan raya. Mereka tahu lampu merah kena berhenti, tetapi mereka masih lagi melakukan kesalahan ini yang mungkin daripada sikap tidak bertanggungjawab mereka atau keadaan mereka yang terburu-buru nak cepat sampai.
Jadi, setiap masa kita akan meningkatkan lagi operasi melibatkan enam kesalahan utama yang didapati menjadi penyumbang utama kemalangan jalan raya seperti melanggar lampu isyarat merah, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan alat komunikasi atau telefon semasa memandu, memotong barisan serta memandu melebihi had laju. Ini adalah enam operasi utama yang JSPT beri tumpuan dari semasa ke semasa secara berkala untuk menguatkuasakan peraturan dan undang-undang jalan raya.
Jadi, kita telah melihat bahawa tidak mematuhi peraturan jalan raya seperti melanggar lampu isyarat merah ini semakin berleluasa dan kita telah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang. PBT ada sediakan kamera litar tertutup (CCTV) di setiap kawasan persimpangan atau lampu isyarat untuk kita kesan pesalah (trafik) ini. Jadi, pemantauan di CCTV bertujuan mengenal pasti kenderaan yang melanggar lampu isyarat merah. Secara manual, kita memang ada meletakkan anggota untuk mengawal dan mengawasi keadaan lalu lintas pada waktu-waktu puncak.

Jadi, memang tindakan tegas kita akan ambil dan menggiatkan lagi kempen-kempen keselamatan jalan raya terutama terhadap enam kesalahan utama tadi. Selain itu, kita akan ambil tindakan lebih tegas dengan hukuman maksimum di bawah Seksyen 42 APJ 1987, iaitu memandu secara melulu dan membahayakan serta Seksyen 79 akta sama, iaitu penalti kerana mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas.
Kita juga akan buat operasi bersepadu di mana JSPT bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memantau keadaan lalu lintas di persimpangan yang kerap berlaku kemalangan atau melanggar lampu isyarat merah. JSPT juga akan memanfaatkan medium media sosial dan platform lain untuk menyebar informasi tentang bahaya melanggar lampu isyarat merah dan tindakan yang akan diambil. (Sebab) trend sekarang ini masyarakat banyak menggunakan elektronik untuk mendapat berita atau isu semasa.

‘Rakam kesalahan jalan raya, hantar pada kami’

Kita menggalakkan pemandu memasang dashcam (kamera papan pemuka) dalam kenderaan masing-masing untuk rakam kesalahan pengguna jalan raya lain supaya boleh bantu sebagai bukti. Contohnya, jika ada kereta memandu secara melulu dan (rakaman itu), salurkan kepada kami untuk kami siasat dan ambil tindakan lanjut. Kita akan cari pesalah itu melalui nombor pendaftaran kenderaan tersebut dan tuduh bawah undang-undang sedia ada.

Nasihat Datuk Seri kepada pengguna terutama penunggang motosikal yang melanggar lampu isyarat merah?
Sememangnya penunggang motosikal adalah penyumbang paling tinggi bagi kemalangan maut melibatkan kematian jika dibandingkan kategori lain. 75 peratus daripada keseluruhan kemalangan maut adalah penunggang motosikal. Jadi, angka ini memang agak membimbangkan dan kita percaya peningkatan ini disebabkan pertambahan pengguna jalan raya yang menggunakan motosikal.

Banyak sebab kemalangan jalan raya melibatkan motosikal berlaku. Pertama, mungkin menunggang secara berbahaya, melulu dan terbabas sendiri. Kadangkala tidak ikut peraturan dan undang-undang seperti melanggar lampu isyarat merah. Kedua, keadaan jalan raya dan ketiga, disebabkan kemalangan oleh kenderaan lain.

Jadi, saya mengingatkan penunggang motosikal (yang terdiri) daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur supaya mereka berhati-hati di jalan raya, mengikut peraturan, bertimbang rasa serta mengikut arahan pihak berkuasa. Sekiranya mereka melakukan kesalahan, mereka tidak akan terlepas daripada pihak berkuasa, JSPT khususnya. Kita akan dapat cari mereka!

Setiap minggu kita akan adakan Op Samseng Jalanan yang kita tekankan kepada kegiatan lumba haram. Ini kita buat secara berkala. Kita akan turun ke bawah untuk mengkaji, buat intipan dan ambil maklumat berkenaan kawasan-kawasan yang sering berlaku atau diadakan perlumbaan haram serta ambil tindakan.

Selain itu, anak-anak muda janganlah lakukan perkara ini (lumba haram) kerana kita sayangkan mereka. Mereka masih umur muda, masih bersekolah, belajar di institusi pengajian tinggi (IPT). Sayangilah nyawa kerana masa depan mereka masih panjang. Kedua, saya nasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya lebih ambil cakna tentang pergerakan anak mereka pada waktu malam atau cuti termasuk anak-anak yang tinggal berasingan. Mungkin mereka yang melanjutkan pelajaran atau bekerja di luar kawasan membawa motosikal, cuba bertanya, apa mereka buat supaya tidak terlibat dengan kegiatan ini yang mana jika terlibat dalam kemalangan lumba haram, cedera parah atau kematian pasti berlaku.

Kami dari semasa ke semasa akan buat operasi untuk membanteras dan mengurangkan lumba haram bagi memastikan keselamatan mereka, pengguna jalan raya lain dan ketenteraman awam, (sebab) kadangkala mereka buat lumba haram di kawasan perumahan dan tumpuan orang ramai. Jadi, kami banyak dapat rungutan daripada penduduk setempat bahawa mereka mengganggu ketenteraman awam seperti bunyi bising, maka kita akan bekerjasama dengan jabatan-jabatan lain dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi luar untuk buat operasi bersepadu.

Banyak penunggang motosikal dilihat tidak mengenakan topi keledar dan tindakan itu seolah-olah tidak menghormati polis, komen Datuk Seri?
Mereka tahu dan telah didedahkan dengan peraturan tetapi masih degil dan ini berpunca daripada sikap. Walaupun rumah mereka sebelah balai polis, jika mereka tidak mahu mematuhi peraturan, maka mereka akan tetap lakukan (melanggar peraturan). Lagipun jika di kawasan dan lokaliti setempat, kita bukan tidak kenal siapa atau anak siapa (yang melanggar peraturan).

Jadi, kita menjalankan pelbagai kempen dan meningkatkan penguatkuasaan dengan meminta kerjasama masyarakat mematuhi peraturan. Jadi, apabila kita ambil tindakan, jangan jadi isu pula. Kemalangan ini bila-bila masa boleh berlaku walaupun (jarak perjalanan) dekat sahaja. Jadi, nasihat saya, patuhi undang-undang dan peraturan jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN