‘Saya tak anggap serangan peribadi, jangan cepat koyak’

‘Saya tak anggap serangan peribadi, jangan cepat koyak’

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
TUGAS sebagai jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan untuk berhadapan media sejak 31 Januari 2023 sudah pasti meletakkan FAHMI FADZIL sentiasa dalam tekanan memandangkan banyak isu yang disuarakan di pelbagai platform perlu mendapatkan kepastian beliau untuk pengesahan.
Namun, beliau yang juga Menteri Komunikasi sentiasa tenang dan tidak lekang senyuman walaupun sering diasak dengan pelbagai kritikan terutamanya di media sosial.

Dalam temubual khas bersama wartawan Utusan Malaysia, AZLAN JAAFAR, ISMAIL DAUD, MAISARAH SHEIKH RAHIM, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan dibantu jurufoto, FAISOL MUSTAFA, di pejabatnya di Putrajaya, Jumaat lalu, beliau yang antara menteri termuda dalam barisan Kabinet menjelaskan segala persoalan sama ada melibatkan portfolionya mahupun peranannya sebagai jurucakap kepada kerajaan.

“Saya tak terasa (dihentam) kerana ia adalah tanggungjawab, saya tak anggap sebagai serangan peribadi, jangan cepat koyak!”

SERING DIHENTAM

Ia asam garam dan sebagai jurucakap memang berdepan dengan pelbagai pandangan, kritikan, ia bukan luar dari jangkaan. Saya tahu dan sudah jangkakan perkara ini apabila diberi tanggungjawab ini. Sejak Kementerian Komunikasi dan Digital dipisahkan, peranan saya adalah untuk meyakinkan sebanyak mungkin dengan cara yang paling mudah supaya boleh difahami oleh seramai mungkin.

Kalau dalam satu-satu masa apabila kita keluarkan kenyataan atau mesej, tidak semestinya orang akan duduk diam terutamanya orang yang mahu ‘menembak’, mengkritik. Cuma isunya jika kritikan itu tidak berasaskan fakta seperti isu MAHB (Malaysia Airport Holdings Berhad). Dia mahu menimbulkan persepsi, politik adalah politik tetapi ekonomi negara itu kita perlu faham juga. Mungkin itulah cabaran.

Tugas saya sebagai jurucakap ini memang perlu ke depan dan sampaikan tetapi maklumat itu perlu ada. Bila maklumat itu ada, senang.

PERTAHANKAN KERAJAAN TANPA MAKLUMAT
Macam isu BlackRock, ia di bawah Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) dan bukan (agensi) di bawah (kementerian) saya. Jadi kita perlu berusaha untuk dapatkan maklumat dan kadang-kadang usaha itu turut melibatkan pelbagai agensi dan jabatan.

Walau apa pun, tempat terbaik untuk mendapatkan jawapan bagi setiap soalan adalah di Parlimen. Saya kesal ramai yang mengkritik terutama dalam kalangan pemimpin pembangkang, dia ada peluang untuk bertanya soalan tetapi tidak hadirkan diri untuk tanya terus kepada PM (Perdana Menteri) pada waktu itu tetapi serahkan kepada anak buah yang level rendah.

Biasanya dalam konsep Parlimen Westminster akan ada sesi ketua pembangkang tanya terus dan akan asak tetapi benda ini tidak berlaku di sini pada hari 25 Jun lalu.

MEDIA SOSIAL JADI PILIHAN
Kadang-kadang kita pun tengok dalam media sosial, masalah kita, orang yang beri tanda suka, yang komen belum tentu ‘orang’. Kadang-kadang lima komen dari akaun berbeza tetapi orangnya sama, tetapi itulah tujuannya untuk mencipta apa jua agenda.
Tinjauan dan tahap keyakinan rakyat terhadap kerajaan sudah meningkat. Memang kita tahu, tahun ini banyak benda yang akan menjadi fokus kerajaan, yang paling utama bagaimana mahu pastikan masalah ketirisan, penyeludupan diatasi. Dalam masa sama, inisiatif kerajaan perlu teruskan. Ruang dari segi fiskal, kewangan tidak seluas mana sebab pada 2020 kita belanja RM80 bilion lebih untuk subsidi sementara pada 2023, RM91 billion dibelanjakan untuk semua sektor. Jika dibandingkan pada 2018 dengan RM30 billion, jadi kita lihat peningkatan tiga kali ganda bagi subsidi sahaja. Kita perlu pastikan duit rakyat melalui kutipan cukai dapat dipulangkan dengan cara efektif, bukan melalui penyeludup di negara asing atau operator negara jiran.

CABARAN SEBAGAI JURUCAKAP KERAJAAN
Sekarang ini saya ada penambahan tugas sebagai menteri yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas Sempena Istiadat Pertabalan Agong, saya ada satu peluang yang sangat istimewa, dapat menghadap Tuanku dan Tuanku bertitah tentang keprihatinan baginda dalam isu-isu sosial termasuklah polarisasi dalam masyarakat. Pada tahun sebelum ini, apabila kita lihat era antara 70an hingga 90an, tiada sangat isu ini tetapi semakin menjadi-jadi apabila retorik yang keterlaluan.

Ada yang ekstrem, pada Ogos 2023, ada kata ‘undi parti sekian masuk neraka’. Kadang-kadang kita tidak kisah sangat mengenai perkataan atau ayat yang digunakan tetapi kesannya saya risau kalau kita tidak pandang serius ucapan-ucapan begini, ia akan meretakkan hubungan, sama ada antara kaum, negeri atau komuniti. Kita mahu hidup aman damai. Kita ada Perlembagaan dan undang-undang. Ada beberapa perkara kita tidak boleh berkompromi seperti hasutan, perkauman sempit, keterlaluan, ekstremis dan 3R (raja, agama dan kaum).

Kita ada hak untuk bersuara tetapi bukan kebebasan untuk memfitnah atau menghasut. Ini salah satu tugas saya untuk pastikan internet aman damai. Ini paling susah. Kadang-kadang orang akan muat naik status, macam-macam komen. Mereka ingat komen ini sekadar pakai buang tapi realitinya orang akan tengok dan merasa okey lah, bolehlah kita caci maki tetapi benda itu boleh effect adab kita sebagai orang Melayu.

URUS ISU CUKUP DUIT
Jika lihat sejarah, dari Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan sebelum-sebelum itu, kita wasatiyyah, kita sederhana, kita middle (di tengah-tengah), tidak keterlaluan, walaupun mana-mana kumpulan pun. Itu yang sebenarnya merisaukan. Kerajaan akan ambil masa untuk selesaikan sebab pada akhirnya orang hanya harap cukup duit untuk makan, hujung bulan cukup duit untuk beli makanan, cukup duit untuk bayar bil.

Kalau kita boleh uruskan masalah cukup duit, insya-Allah, sebab perancangan PM akan menaikan gaji penjawat awam pada Disember nanti. Untuk sektor swasta, kita tidak boleh paksa tetapi bagi dorongan melalui Dasar Gaji Progresif. Ada 1,000 syarikat akan naikkan gaji. Untuk pastikan hubungan rakyat dan kerajaan, kita perlu uruskan isu cukup duit ini.

Orang tanya, bila laksanakan penyasaran subsidi diesel, orang sebenarnya tidak tahu, kita ada satu senjata yang sangat ampuh iaitu Price Catcher yang sangat-sangat bermanfaat. Ia sudah diperkenalkan tetapi ramai yang tidak tahu tentang aplikasi ini yang boleh membandingkan harga barangan di kawasan berdekatan kita dalam lingkungan 10 hingga 20 kilometer. Harga barangan ini akan dikemas kini setiap hari. Jadi, gunakan internet untuk semak harga murah.

KADAR CAPAIAN 5G
Kita ada beberapa masalah yang sudah dimaklumkan berkaitan capaian internet di kawasan luar melibatkan menara telekomunikasi atau dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Kemudian ada internet dalam bangunan, ini kita perlu pasang tetapi isunya adalah tertakluk pada tuan tanah dan hos bangunan itu.
Bila tanya kenapa di pusat membeli-belah sekian tiada 5G, sebab merekalah sebenarnya sepatutnya menempah dan memasang peralatan 5G itu. Kita nampak beberapa pihak yang faham keperluan untuk pasang peralatan bagi membolehkan pengguna menggunakan internet tetapi sesetengah pusat membeli belah, tidak nampak pulangan. Mereka mungkin ada pengiraan ekonomi yang lain.

KESELAMATAN INTERNET
Masalah kita bila ada internet yang laju, yang meluas, bagaimana mahu pastikan ia selamat terutama untuk kanak-kanak dan keluarga. Selamat daripada scammer, pedofilia, judi dalam talian, orang-orang yang mainkan isu 3R dan ajaran sesat.
Saya baru bertemu US-ASEAN Business Council antaranya maklumkan saya mahu platform media sosial yang beroperasi di Malaysia akur dan patuh dengan undang-undang negara dan tidak disalah gunakan oleh penjenayah.
Saya dapat aduan hampir setiap hari, betul ke PM ada buat pelaburan masuk RM1,000 boleh dapat RM5,000, itu bukan pelaburan. itu peleburan. Saya ada tanya dengan Meta (Facebook) kenapa biarkan dan tidak ambil tindakan tetapi mereka beri pelbagai alasan. Saya nampak platform-platform ini bukan kata tidak bagi kerjasama tetapi kalau perkara itu makan masa sehingga sembilan atau 12 bulan, maka setiap hari akan ada rakyat Malaysia yang jadi mangsa.

LESEN MEDIA SOSIAL
Contoh judi dalam talian, ada satu ketika tiap-tiap pagi saya luang masa setengah jam untuk salin semua link (pautan) berkaitan judi dalam talian yang menyasarkan rakyat Malaysia. Kita tahu judi dalam talian ini tidak dibenarkan dan salah di sisi undang-undang. Tetapi ada orang letak iklan, dia bayar Facebook, dan Facebook terima duit itu serta mengaut keuntungan daripada aktiviti yang diharamkan di Malaysia yang akhirnya memangsakan rakyat Malaysia. Itu antara sebab kita nak pastikan platform-platform ini dengar, ikut dan patuh.

Sasaran kita (lesen) kepada semua platform media sosial. Contoh, polis kata antara platform paling banyak disalahgunakan untuk tujuan pengantunan atau sexual grooming for children ialah WhatsApp. Sebab itu WhatsApp tidak benarkan pengguna bawah umur 16 tahun buka akaun dan sepatutnya memang tidak boleh. Jadi polis mengadu kepada SKMM, mereka ada masalah dengan WhatsApp kerana banyak kes pedofil yang berkenalan dengan kanak-kanak adalah melalui WhatsApp.

Adakah Meta yang memiliki WhatsApp akan dengar keluhan satu kumpulan (Malaysia) sahaja? Sedangkan masalah ini bukan di Malaysia sahaja, Indonesia sebagai contoh ada masalah sama, banyak negara di ASEAN hadapi benda sama, Kalau bertindak satu negara susah dan tak dengar. Jadi mungkin kalau kita bersama (sebagai satu blok negara ASEAN) ada kekuatan di situ.

KESEPAKATAN ANTARA NEGARA ISU KESELAMATAN MEDIA SOSIAL
Malaysia boleh guna peluang sebagai Pengerusi ASEAN. Awal bulan Mei lalu, saya minta SKMM jemput semua badan-badan kawal selia di Rantau ASEAN dan luar untuk satu persidangan bagi bincang macam-macam perkara, kita jemput juga platform-platform dan kita ingin tahu badan kawal selia negara lain jika ada isu berbeza.

SKMM antara paling maju dan wujud sejak 1998, setengah negara internet masih baharu. Malaysia pandang jauh ke depan. Saya nampak ada ruang dan peluang untuk negara ASEAN kalau kita boleh kolaborasi, bersatu hati, maka platform ini akan nampak kita bukan berurusan dengan satu negara, kalau sebagai satu blok ASEAN, kita ada kekuatan.

ISU SCAMMER
Masalah paling besar ialah masalah scammer. Setiap tahun, anggaran kehilangan simpanan rakyat Malaysia hampir RM1 bilion, Singapura tahun lalu hilang simpanan SGD 2.1 bilion, mungkin kita orang ASEAN sangat pemurah, mudah percaya dan nak kaya cepat.
Isu scammer ini banyak berlaku dalam WhatsApp. Tapi apa WhatsApp buat? Jadi kita ambil tindakan sebab platform ini tidak memberi kerjasama yang baik, takkan menteri kena hantar link online setiap hari.

Kita meragui kenapa dia (platform media sosial) tidak sekat iklan-iklan ini? Sebab dia ambil duit, sedangkan ia tidak dibenarkan. Bagaimana kamu buat duit dari aktiviti haram dalam bidang kuasa undang-undang negara? Saya tengok tindakan masih belum tegas.
Jadi hujung bulan Julai, saya akan pergi ke Singapura untuk bertemu semua platform, memang kita tahu platform-platform ini dia tak suka untuk dilesenkan, dikawal selia sebab kalau boleh dia nak percuma. Tapi bila percuma macam-macam jadi.

Sebagai contoh, pakar mata, Prof Dr. Muhaya, ada 65 iklan scam sehingga beliau dapat surat amaran dari Kementerian Kesihatan (KKM) kerana buat iklan berkaitan ubat tidak berdaftar. Sedangkan bukan dia buat pun.

SEKAT AKAUN MEDIA SOSIAL
Setiap hari saya hantar kepada Facebook, saya tanya kenapa tidak ambil tindakan lebih tegas dan keras. Saya bagi macam-macam cadangan, antaranya kalau tahu akaun ini telah memasukkan iklan palsu, scammer, judi dalam talian, kenapa mereka tidak boleh tahu siapa di sebalik iklan itu. Dia bayar pakai kad kredit siapa? Kenapa tidak sekat dari situ. Jadi dia (pengendali platform) tidak mahu jawab.

Jadi bagi saya, daripada saya lihat rakyat Malaysia jadi mangsa berterusan berhari-hari, tidak akan saya tidak buat apa-apa? Jadi, ini antara beberapa ikhtiar kita untuk pastikan internet lebih murah, lebih laju, lebih luas, lebih selamat. Selamat itu mesti. Saya sedang usaha bertungkus-lumus pastikan aspek selamat.

SEKAT HAK BERSUARA RAKYAT?
Saya seorang reformis, saya dulu seorang yang berjuang hak untuk rakyat bersuara, saya dari kecil dari umur 18 tahun, saya jadi Pengarah Komunikasi Keadilan, saya lah Pengarah Komunikasi PKR pertama yang menarik balik sekatan terhadap Utusan dan TV3 daripada membuat liputan sidang akhbar PKR. Kalau tengok susur galur sejarah perjuangan saya sendiri sebagai ahli politik, tidaklah saya mengambil sesiapa punya hak bersuara.

Realitinya, siapa-siapa masih boleh bersuara, tidak ada masalah, isu kita kalau dia ekstremisme, keterlaluan, kita sudah nampak baru-baru ini ada lapan orang ditahan di bawah SOSMA, ada beberapa perkara jadi isu keselamatan. Isu keharmonian bila saya angkat sumpah depan Agong saya berjanji untuk pertahankan Perlembagaan yang di dalamnya sudah termaktub hak bersuara. Itu janji saya depan Agong.

ISTIADAT PERTABALAN AGONG
Hari ini saya sudah selesai rombongan untuk mempersembahkan warkah persilaan kepada Duli-Duli Tuanku. Dan selepas ini akan ada mesyuarat di peringkat jawatankuasa untuk teliti tahap persiapan. Kita ada tujuh acara bacaan Yasin, khutbah khas solat Jumaat, istiadat pertabalan, jamuan negara, lawatan ke Hospital Orang Asli di Gombak, pameran Raja-Raja Kita di Muzium Negara dan majlis jamuan sebagai penutup.

Saya galakkan sekolah-sekolah, komuniti Madani bawah Jabatan Penerangan, Rukun Tetangga di bawah Kementerian Perpaduan untuk ambil kesempatan sempena istiadat pertabalan ini dengan membuat program dalam komuniti bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman serta rasa kasih sayang rakyat Malaysia terhadap institusi raja. Manfaatkan peluang ini dengan membuat program besar-besaran.

Di bawah Kementerian Komunikasi, kita akan usahakan beberapa program kerana Malaysia agak unik memandangkan setiap lima tahun kita akan saksikan satu majlis istiadat pertabalan. Cuma tiga negara di dunia amalkan proses pelantikan dan ada 43 negara masih ada sistem raja dan Malaysia ada tiga negara yang ada konsep macam ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×