Bersatu padu, bukan pecah belah

Bersatu padu, bukan pecah belah

AARON Ago Dagang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Polemik berhubung isu kaum, agama dan raja (3R) yang berlaku sejak kebelakangan ini termasuk isu stoking yang tertera kalimah Allah dilihat menggugat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Namun, ramai pula yang mempersoalkan peranan Kementerian Perpaduan dalam mengelakkan serta mengawal isu-isu sensitif berkenaan.

Justeru, wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan AHMAD FADHLULLAH ADNAN menemu bual MENTERI PERPADUAN, DATUK AARON AGO DAGANG bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut dibantu jurufoto, FAISOL MUSTAFA.

Apa peranan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bagi agenda perpaduan?

KPN ditubuhkan semula pada 20 Mac 2020 selepas melalui beberapa siri revolusi dan transformasi. KPN berperanan meletakkan agenda perpaduan sebagai keutamaan yang perlu diuruskan dengan lebih tersusun dan inklusif melalui sistem tadbir urus yang lebih berkesan. Tiga peringkat jawatankuasa juga ditubuhkan bagi memantapkan tadbir urus perpaduan. Ia melibatkan Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN); Majlis Mesyuarat Menteri Perpaduan bersama Exco-Exco Perpaduan Negeri dan Menteri Perpaduan Negeri Sabah dan Sarawak (MExUnity); dan Jawatankuasa Keharmonian antara penganut agama (HARMONI).

Dari segi perpaduan, langkah-langkah yang diadakan oleh kerajaan pada masa itu adalah menubuhkan kawasan keselamatan dinamakan Rukun Tetangga (KRT). KRT adalah jentera perpaduan KPN. Banyak perubahan evolusi Rukun Tetangga ini. Pada 1983, Rukun Tetangga ini menjadi rukun tapak atau platform integrasi. Kemudian berkembang lagi kepada konsep pembangunan komuniti pada 2020. Pada 2021, ia menjurus kepada empat gerak kerja iaitu Sejahtera, Selamat, Sihat dan Bersih. Tahun ini, kita buat pelan tindakan untuk kawasan KRT progresif ini dan tumpu lapan bidang. Pertama, keselamatan komuniti, pendidikan, ekonomi dan sara hidup, daya cipta, alam sekitar, kepimpinan, kesejahteraan serta warisan dan budaya.

e-SEPAKAT KESAN ISU 3R

Boleh perincikan tentang Rukun Tetangga?

Setakat ini, 8,438 KRT ditubuhkan di seluruh negara dengan ahli seramai hampir 210,000 orang di seluruh negara. KRT adalah jentera utama kementerian. Setiap program diadakan memang melibatkan KRT yang dikendalikan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) di setiap negeri sampai daerah. Dalam semua KRT, kita mempunyai pelbagai aktIviti antaranya skim rondaan sukarelawan (SRS). Di bawah KRT juga kita mempunyai empat kelompok utama seperti tunas muda, jiran muda, warga emas dan wanita.

Di kawasan KRT juga kita mempunyai sistem e-Sepakat untuk membuat pemantauan ke atas isu-isu berbangkit dalam kawasan dan antara penduduk di sana. E-Sepakat ini adalah untuk kita memantau terutamanya isu kaum, agama dan raja (3R).

Boleh terangkan secara menyeluruh mengenai e-Sepakat?
E-Sepakat diperkenalkan sebagai mekanisme dalaman JPNIN bertujuan pengesanan, pemantauan dan pelaporan isu perpaduan secara digital. Penggunaan sistem ini melibatkan peranan pengguna dalam kalangan pegawai perpaduan di peringkat daerah, negeri dan ibu pejabat secara menyeluruh. Sistem ini juga merupakan pusat pengumpulan data utama bagi pengurusan isu perpaduan di bawah kementerian.
Setiap maklumat yang direkodkan dalam e-Sepakat akan dianalisis untuk membina statistik dan pelaporan. KPN melalui JPNIN akan menyediakan laporan isu perpaduan secara berkala seperti laporan mingguan, bulanan dan tahunan. Maklumat ini turut dikongsi bersama rakan-rakan strategik kementerian seperti PDRM, MKN, SKMM serta termasuk dibentangkan di kabinet melalui Nota Jemaah Menteri secara suku tahun.
Pelaporan yang disediakan ini membantu pihak kementerian dan kerajaan untuk mengukur tahap keharmonian masyarakat dan menjadi panduan dalam pembuatan keputusan pengurusan tertinggi khususnya yang melibatkan program dan aktiviti pencegahan serta intervensi untuk mengatasi isu-isu yang berbangkit.

ISU 3R MEMBIMBANGKAN?

Kita memang bimbang, apa-apa sahaja isu yang menyentuh 3R ini menjadi isu sangat sensitif dan kita perlu elakkan. Tidak ada tempat bagi keganasan dalam masyarakat kita dan setiap individu yang terlibat dalam tindakan sedemikian perlu dihadapkan kepada keadilan yang sewajarnya. Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang negara, tetapi juga mengancam ketenteraman dan keamanan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, ras, etnik dan agama.

Justeru, saya menyeru kepada semua pihak agar tidak membuat sebarang tindakan serta berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan polemik perkauman dan menggugat sensitiviti masyarakat berbilang bangsa. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, adalah menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan keamanan dan keharmonian negara dengan tidak melakukan perbuatan provokasi dan keganasan yang akan mengakibatkan konflik dan kekacauan.

Kita memang faham kalau isu-isu 3R itu akan menyinggung pihak berkenaan dan kalau tidak ditangani ia akan jadi masalah lebih besar di negara kita. Memang bukan senang, tetapi kementerian ini merangka setiap program untuk melibatkan semua bangsa supaya interaksi atau integrasi dalam aktiviti itu dapat dirasai, dihormati dan difahami oleh semua golongan di Malaysia.

Saya percaya bahawa solidariti dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia akan menjadi benteng utama menangani ancaman terhadap perpaduan dan keharmonian negara. Keamanan negara dan perpaduan rakyat adalah tanggungjawab bersama yang wajib dipikul oleh kita semua.

KPN TIADA TARING

Apakah usaha yang dilaksanakan dalam mengurus isu perpaduan?
KPN bukanlah sebuah agensi penguatkuasaan tetapi sebaliknya antara agensi sokongan yang sentiasa membantu pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara dalam pengurusan isu perpaduan. Kadangkala masyarakat awam tidak mengetahui tentang ini dan beranggapan KPN boleh mengambil tindakan terhadap isu-isu perpaduan khususnya isu 3R yang melanda negara kita.

Namun, walaupun kami tiada kuasa atau peruntukan khas seperti akta untuk mengambil tindakan-tindakan dari segi perundangan, tetapi kementerian melalui JPNIN berperanan penting dalam membantu mengurus isu perpaduan. Antara mekanisme pengurusan isu perpaduan yang sedang dilaksanakan oleh JPNIN adalah pengurusan dan pemantauan isu perpaduan di peringkat akar umbi melalui sistem E-Sepakat, Dashboard Analitik Perpaduan Mediator Komuniti sebagai pendamai masyarakat serta Jawatankuasa Keharmonian antara penganut agama (JK HARMONI).

Sebab itu isu yang timbul dari segi 3R, bukan kata kita tak terlibat. Tetapi kita tidak ada taring, hanya Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi. Akta Hasutan, Akta Mesin dan Cetak, Akta Polis dan Kanun Keseksaan di bawah KDN, manakala Akta Komunikasi dan Multimedia di bawah Kementerian Komunikasi, jadi ini kementerian yang ada taring dan kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pesalah.

INTERVENSI INTEGRASI

Kita buat program intervensi menjurus kepada integrasi. Jadi kadangkala orang salah faham dan selalu marah tetapi apa yang boleh dilakukan? Sebab itu kita cuba dengan peringkat bawah sekali (KRT). Kita uruskan di peringkat komuniti dengan mediator atau pendamai masyarakat dalam membendung dan mengurus isu-isu perpaduan atau konflik sosial di peringkat komuniti.

Mediator Komuniti di bawah jabatan dan kementerian menguruskan kes-kes pertikaian di peringkat komuniti khususnya dalam hal-hal yang melibatkan jiran tetangga. Skop perkhidmatan mereka ini tertakluk kepada isu-isu yang menyebabkan ketegangan antara kejiranan perumahan bandar, kampung mahupun di kawasan strata.

SISTEM AMARAN AWAL KESAN KONFLIK

Kementerian melalui JPNIN telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Pusat Mediasi Komuniti atau Community Mediation Centre (CMC). Penubuhan CMC ini adalah bertujuan sebagai platform untuk membantu masyarakat bagi menyelesaikan pertikaian atau konflik yang berlaku tanpa melalui proses litigasi (mahkamah), lebih cepat dan mudah diakses. Pada tahun 2023, sebanyak empat buah pusat CMC telah berjaya ditubuhkan di Negeri Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak dan Johor. Bagi tahun 2024, kami menyasarkan pembukaan empat buah pusat CMC lagi antaranya di WP Putrajaya, Melaka, Perlis dan Negeri Sembilan.

Dashboard Analitik Perpaduan pula menyokong kepada sistem E-Sepakat dalam meningkatkan lagi kecekapan gerak kerja pengurusan isu keharmonian masyarakat melalui pemetaan (mapping) kawasan-kawasan yang berisiko tinggi (high-risk) dan panas (hot-spot) yang mampu mengganggu gugat keharmonian antara kaum dan agama.

Pada masa yang sama juga, ia membantu menambah baik pemantauan tahap dan iklim perhubungan antara kaum yang bertindak sebagai sistem amaran awal (early warning system) terhadap sesuatu isu atau konflik yang dilaporkan dalam

Sistem E-sepakat melalui analisis jangkaan (predictive analysis). Dengan adanya dashboard ini yang dilengkapi dengan teknologi terkini dan bersifat real-time, diharap ia dapat membantu kerajaan dalam pembuatan keputusan yang melibatkan isu-isu perpaduan.

Adakah akan kekal tidak bertaring atau bagaimana?
Kerajaan sebelum ini telah mengadakan pelbagai perbincangan untuk mengadakan Akta Keharmonian dan Suruhanjaya Keharmornian dan Rekonsiliasi Nasional. Di penghujung perbincangan dan libat urus dengan semua lapisan masyarakat dan agensi, dilihat apa yang kita ada lebih mencukupi (iaitu) di bawah akta hasutan, kanun keseksaan, akta komunikasi dan multimedia, jadi mereka telah putuskan untuk tidak adakan akta lain sebab kalau ada pun ia akan bertindih.
Saya dan KPN terbuka untuk cadangan dari pelbagai pihak. Kita juga akan melihat dan mengkaji keperluan jika perlu untuk mewujudkan Akta Keharmonian Nasional.

SITUASI PERPADUAN NEGARA TERKAWAL

Sejauh mana semangat perpaduan di negara ini?
Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) merupakan satu-satunya indeks pengukuran tahap perpaduan yang digunapakai. Skor Indeks Perpaduan Nasional pada tahun 2018 ialah 0.567, manakala Skor Indeks Perpaduan Nasional pada tahun 2022 ialah 0.629. Skor IPNas 2022 menunjukkan situasi perpaduan negara berada pada tahap sederhana dan terkawal.

IPNas ini adalah indikator amat penting terhadap keberkesanan pelaksanaan inisiatif dan program kerajaan dalam setiap rancangan. Paling penting dalam indeks ini adalah dari segi elemen yang dimasukkan.

Daripada kajian terdahulu, aspek penting untuk meningkatkan indeks ini adalah dari segi tadbir urus dan pembangunan kerajaan. Ini berkenaan hal ekonomi, politik, jenayah, rasuah, perkhidmatan, kemudahan awam dan sebagainya dan kalau kerajaan tidak menguruskan semua hal ini dengan jayanya, maka indeks ini akan turun.

Kajian IPNas seterusnya akan dilaksanakan pada tahun ini dengan target skor meningkat kepada 0.7 pada tahun 2025.

Apakah usaha baharu sebagai menteri?
Kementerian akan melancarkan Inisiatif Harmoni Madani pada bulan ini. Aktivitinya meliputi Bicara Harmoni; Wacana Memupuk Perpaduan Dalam Kepelbagaian Agama; Jejak Harmoni; Dokumentasi Harmoni; Sambutan Hari Toleransi Sedunia; Sambutan Minggu Harmoni Sedunia; Interfaith-Dialog.

Usaha ini adalah langkah penting dalam memupuk persefahaman dan rasa hormat antara penganut berbagai agama dan kepercayaan di Malaysia. Oleh itu, objektif utama kita untuk mencipta platform di mana dialog dan diskusi dapat berlangsung dalam suasana yang kondusif, mengeratkan persaudaraan, serta memahami dan menghargai perbezaan sebagai kekuatan yang memperkukuh perpaduan.

Saya berharap agar semua pihak dapat menghayati prinsip Faham, Hormat dan Terima dalam memupuk keharmonian dan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia. Kementerian Perpaduan Negara terus melaksanakan program-program intervensi di kawasan berisiko tinggi bagi mengukuh dan menyatupadukan rakyat Malaysia.

Isu perpaduan sengaja dicetuskan ahli politik?
Di Dewan Rakyat, saya telah mengatakan yang sebenarnya menimbulkan masalah sensitiviti dan perkauman ialah toksik pemimpin politik sebab dia ada agenda politik sendiri. Jadi mereka tidak melihat kesan, tetapi ingin buat isu sensitiviti bagi jadi hero kepada bangsa dan agama. Ini amat menjadi masalah kepada kita di kementerian sedangkan kita sudah mempunyai undang-undang mencukupi.

Bagaimana pula dengan ahli politik parti kerajaan?
Apa boleh buat, kita nasihat pun mereka ada agenda sendiri. Sebab itu saya panggil ahli politik toksik. Dia tidak tahu (akan beri kesan buruk), tetapi bagi mereka seolah-olah dapat kepentingan politik. Sebab itu kita selalu menyeru kepada ahli politik untuk tidak menyentuh atau membangkitkan isu 3R yang sensitif terutamanya di Dewan Rakyat. Dewan Rakyat ada imuniti, tetapi (khuatir) boleh sensitifkan orang di luar.

Adakah kempen boikot boleh menjejaskan perpaduan?
Boikot cuma merugikan peniaga dan negara, tetapi tidak menjejaskan perpaduan. Kalau kedai tutup, siapa rugi? Macam mana dengan pekerja, pertumbuhan ekonomi di kawasan itu? Sebab itu sebaik mungkin kita cuba elakkan. Kita selama ini telah hidup bersama, jadi tidak perlu ungkitkan perkara kita dapat selesaikan dengan kefahaman dan hormat-menghormati.

Kita juga bukan satu bangsa dan agama, tetapi mempunyai kumpulan etnik dan kaum yang pelbagai. Kalau kita urus kepelbagaian ini, boleh jadi aset kepada negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN