PETALING JAYA: Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) dilihat tidak berlaku adil sejak sedekad lalu dalam pemilihan calon-calon hakim.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer mendakwa, anggota suruhanjaya tersebut lebih cenderung melantik hakim-hakim yang berasal dari universiti yang sama dan dalam lingkungan umur hampir sama.
Katanya, pelantikan tersebut secara tidak langsung membentuk satu kumpulan besar terdiri daripada rakan dan alumni dalam Mahkamah Persekutuan.
“Keadaan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum SPK ditubuhkan. Pada pandangan saya, SPK gagal menggunakan pertimbangan akal yang waras dalam membuat pelantikan.
“Sebab itu berlakunya persaraan serentak dengan ‘semua rakan-rakan’ yang sama dengan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Hamid Sultan berkata, SPK dalam masa yang sama perlu bertanggungjawab dalam isu melibatkan pelantikan Ketua Hakim Negara.
“Adakah adil untuk menyalahkan Perdana Menteri atau Raja-Raja apabila JAC tidak melaksanakan tugas mereka dengan profesional dan berintegriti,” katanya.
Hamid Sultan berkata, sebarang pertikaian atau perbincangan mengenai isu pelantikan Ketua Hakim Negara selepas ini perlu dilakukan dalam Parlimen.
Katanya, jika ada ahli Parlimen yang tidak berpuas hati, mereka sepatutnya membangkitkan isu tersebut dalam Parlimen.
“Menjerit di luar Parlimen tindakan tidak beretika dan merupakan cubaan mencemarkan kehormatan Raja-Raja serta proses Perlembagaan berkaitan isu ketua Hakim Negara terdahulu yang mengetuai SPK,” katanya. – UTUSAN










