Jalan tepi sungai ‘menanti’ mangsa

Jalan tepi sungai ‘menanti’ mangsa

LALUAN di sepanjang 12 kilometer di jalan Guar Sanji sehingga Simpang Empat yang terletak bersebelahan sungai mengundang risiko kenderaan terbabas ke dalam sungai di Tambun Tulang, Arau, Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Tragedi Sungai Korok, Jitra, Kedah yang mengorbankan enam sekeluarga selepas ke­semua mereka ditemukan maut dalam sebuah kereta Proton Iswara yang terbabas dalam sungai berkenaan baru-baru ini mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat, khususnya terhadap aspek keselamatan jalan raya berhampiran sungai.

Insiden itu turut mengimbau pelbagai tragedi serupa yang pernah berlaku di laluan sepanjang 12 kilometer dari Guar Sanji hingga ke Simpang Empat, termasuk Tambun Tulang di sini yang bersebelahan dengan sungai dalam tanpa sebarang penghadang, hanya dikelilingi pokok jati tua berusia puluhan tahun.

Sepanjang sedekad lalu, tujuh kes kemalangan melibatkan kenderaan terbabas ke dalam sungai telah direkodkan di laluan ini, dua daripadanya meragut nyawa, manakala lima mangsa berjaya diselamatkan.

Di laluan berkenaan, khususnya pada waktu malam yang gelap-gelita sememangnya me­ngundang risiko kenderaan untuk terjunam ke dalam sungai sekiranya berlaku kemalangan.

Justeru, timbul keperluan un­tuk dipertingkatkan ciri kesela­matan laluan itu agar kejadian kenderaan terbabas di sungai tidak terus menjadi mimpi ngeri kepada setiap pengguna di jalan tersebut, antaranya, dengan menyediakan penghadang di se­panjang jalan di tebing sungai bagi mengurangkan risiko kenderaan masuk ke dalam sungai seandainya berlaku kemalangan atau terbabas.

ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afhtar Ishak berkata, laluan tersebut sangat berisiko terutama pada waktu malam dan memerlukan pemasangan penghadang jalan serta lampu bagi mengelak lebih banyak tragedi.

“Beberapa bulan lalu, saya sendiri menyaksikan sebuah ken­deraan hampir terbabas ke sungai di Alor Redis tetapi sempat mengelak dan hanya me­langgar tiang elektrik. Kejadian seperti ini sering berlaku.

“Tragedi keluarga yang ter­babas ke sungai ketika ingin pulang beraya dan kes seorang pemuda maut pada tahun lalu selepas motosikalnya terbabas ke Sungai Tambun Tulang adalah contoh nyata perlunya penghadang dan lampu di sepanjang jalan ini,” katanya.

Beberapa jalan penghubung seperti Tambun Tulang-Jejawi, Long Boh dan Alor Redis turut memerlukan penambahbaikan segera kerana turut berada berhampiran sungai dan sangat gelap pada waktu malam.

Sementara itu, pengguna jalan raya, Nurulaizam Azizi Nurulhisham, 43, turut melahirkan rasa bimbang memandangkan laluan berkenaan merupakan jalan harian ke tempat kerja dan sangat hampir dengan tebing su­ngai.

Katanya, laluan itu antara paling sibuk dan jika tiada penghadang, pengguna mudah ter­babas ke sungai terutama jika hujan atau berlaku kerosakan ken­deraan.

“Langkah keselamatan mesti ditingkatkan segera lebih-lebih lagi kehadiran deretan pokok jati tua di kiri kanan jalan juga menambah risiko kemalangan, terutama ketika hujan lebat dan ribut kencang kerana ranting dan dahan mudah tumbang.

Dalam pada itu, Pengarah Bom­ba Perlis, Wan Mohd. Ha­mizi Wan Mohd. Zin mengakui laluan tersebut memang dikenal pasti sebagai kawasan be­risiko tinggi berdasarkan rekod kejadian lalu dengan antara tahun 2015 hingga 2025, sebanyak 10 kes kenderaan terbabas ke dalam sungai dilaporkan, dua daripadanya melibatkan kematian dan lima mangsa selamat.

“Laluan gelap serta terlalu hampir dengan sungai memerlukan intervensi segera seperti pemasangan penghadang dan lampu jalan yang sesuai demi keselamatan pengguna,” katanya.

Katanya, bukan semua mangsa mampu menyelamatkan diri jika kenderaan jatuh ke dalam sungai, terutama pada waktu malam atau ketika panik.

“Usaha mempertingkatkan ciri keselamatan seperti pencahayaan dan penghadang bukan sekadar cadangan, tetapi satu keperluan mendesak bagi mengelak lebih banyak nyawa melayang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN