Rakyat nilai kerajaan berdasarkan janji ketika jadi pembangkang

WAWANCARA: Rakyat nilai kerajaan berdasarkan janji ketika jadi pembangkang

ZAID MALEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

ISU berkaitan hak asasi dan desakan ke arah reformasi politik terhadap Kerajaan Perpaduan masih kedengaran dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).. termasuklah Lawyer for Liberty
Malah, kerajaan dijangka berdepan tuntutan yang sama selagi mana ia tidak penuhi dan perkara ini semestinya memberikan kesan terhadap reputasi mereka.
Di samping tu, isu lain yang berkisar seperti perundangan sejak kebelakangan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
Justeru wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Pengarah Lawyer For Liberty, ZAID MALEK bagi mendapatkan pandangan beliau.
Turut dibantu jurufoto, AMARULLAH ZAINUZZAMAN

—————————————————————————————————————————————————-

MINGGUAN MALAYSIA: Apakah hala tuju sebenar Lawyer for Liberty dan bagaimana masyarakat boleh memahami perjuangannya?
ZAID: Apa yang membezakan dengan NGO lain adalah kita merupakan satu kumpulan yang ahlinya terdiri daripada peguam.
Dan objektif kita adalah untuk mencabar apa-apa tindakan kerajaan yang melanggar hak asasi mana-mana individu termasuk aktivis, orang awam, ahli politik atau mana-mana pihak yang haknya dilanggar.
Jadi cara kita beri bantuan adalah dari segi litigasi strategik. Kita akan bantu dari segi perundangan terhadap perkara yang membabitkan tindakan pihak berkuasa atau undang-undang itu sendiri.
Apa yang paling penting, kita juga tidak condong kepada mana-mana pihak atau parti politik.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2011 lagi, pelbagai kenyataan telah dibuat dengan membabitkan semua dan sesiapa sahaja. Malah kami sanggah sesiapa tanpa mengira apa kerajaan sekalipun selain memberi bantuan guaman selagi mampu.
Disamping itu, kita mempunyai keahlian dan ia berdasarkan sukarela.

Bagaimana Lawyer of Liberty melihat tata cara pentadbiran dan polisi kerajaan pada masa kini ?
Sebelum itu untuk pengetahuan semua, kami non partisan. Apa yang kami boleh beritahu realiti sekarang adalah, parti yang memimpin iaitu Pakatan Harapan (PH) prestasinya dinilai daripada apa yang dijanjikan sewaktu mereka jadi pembangkang dulu.
Pada pandangan saya, dalam isu kemanusiaan dan hak asasi ini memang tiada kemajuan. Bukan itu sahaja, ada tindakan mereka bertentangan dengan apa yang dijanjikan dahulu.
Sebagai contoh, kata dulu mahu memansuhkan akta draconian seperti Akta Hasutan; Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Selepas itu pula, sewaktu jadi pembangkang, mereka ada persoal Polis Diraja Malaysia (PDRM) tentang hak-hak untuk berkumpul. Tapi masalahnya sekarang pun tiada apa-apa perubahan.
Malah lagi teruk pun ada. Seperti isu kewarganegaraan atau stateless. Jumaat lalu Kabinet sendiri memberikan persetujuan terhadap draf pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan
Walhal sebelum ini pun,salah seorang daripada mereka iaitu Hannah Yeoh ada menyebut nak bantu orang yang tiada kewarganegaraan ini. Tapi sekarang sebaliknya pula berlaku.
Apabila adanya perkara macam ini, kita terpaksa cakap bahawa tiada progres bernas daripada kerajaan sekarang.
Mereka (kerajaan) sekarang ini tidak boleh nak marah sebab dulu sudah janji. Jadi kita menilai daripada janji yang diberikan sebelum ini.

Lawyer For Liberty mungkin dilihat kurang agresif jika dibandingkan dengan NGO lain. Adakah kumpulan ini turut dikategorikan sebagai kumpulan pendesak ?
Kita memang mendesak tapi dengan cara yang berbeza. Fokus kami lebih kepada cara untuk menegakkan hak di mahkamah dan memberikan bantuan guaman kepada mereka yang ditindas kerajaan.
Di samping itu juga kami terbuka dan pernah berjumpa atau menghadiri beberapa perbincangan dengan wakil kerajaan.

Bagaimana dengan hak asasi dan kebebasan bersuara di bawah kerajaan sedia ada ?
Tidak boleh nak kata kerajaan ini terbuka kepada kebebasan dan hak ekspresi. Macam saya katakan tadi.
Apabila (jadi pembangkang ) mereka tuduh dan menolak akta yang dinyatakan tadi, mereka kata ia undang-undang draconian.
Semua benda itu dikatakan sewaktu jadi pembangkang. Tapi sekarang hilang terus dengan apa yang diperjuangkan.
Jadi di sini dekat mana yang saya boleh kata kerajaan sekarang menghormati hak kebebasan bersuara atau ekspresi daripada orang ramai?
Ia bukan hanya di sosial media tapi hak untuk berkarya, dalam filem dan sebagainya. Mereka cuba mengawal hak ekspresi itu.
Ini termasuklah menerusi kod etika kewartawanan yang dikeluarkan. Bagaimana kod etika berkenaan dikeluarkan sebelum Majlis Media ditubuhkan? Sedangkan badan yang menyelia tidak wujud.
Perkara seperti ini tidak dipatuhi dan tidak dihormati bukan sahaja kepada individu, tetapi kepada kewartawanan selain termasuk hasil karya seperti filem yang dikatakan kontroversi sebelum ini.

Adakah kuasa pendakwaan Peguam Negara akan menyelesaikan isu pendakwaan terpilih jika Pendakwa Raya dilantik badan Eksekutif?
Peguam Negara bukan sahaja menasihati kerajaan dalam hal berkaitan undang-undang, tapi ia juga bertanggungjawab menentukan pendakwaan.
Isunya di sini ialah diberi kuasa yang boleh menimbulkan persepsi pada orang bahawa tiada kebebasan untuk pemilihan sama ada nak meneruskan (pendakwaan) atau sebaliknya.
Jadi pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan juga Pendakwa Raya adalah langkah pertama yang harus dibuat. Ia untuk membantu menangani persepsi serta menjernihkan proses berkenaan.
Saya berikan contoh. Peguam Negara tugasnya menasihati kerajaan dalam hal undang-undang. Dilantik Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
Jadi dalam situasi ini, bagaimana orang terbabit tidak berat sebelah untuk menuduh seseorang dalam kerajaan yang terlibat salah laku?
Kita perlu merangka satu sistem pemilihan itu terbuka dan apabila lantikan Pendakwa Raya dibuat, ada orang boleh menilai bagaimana proses pendakwaan tersebut dibuat.
Malah dia boleh menjawab apa saja keputusan mahkamah di Parlimen.
Ini juga dapat mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan. Sebab sekarang ini, dengan sistem sedia ada kita tidak boleh nak elak apa yang orang nampak tentang pendakwaan terpilih. Ini perkara yang memang kami mendesak agar reformasi institusi dapat dilaksanakan.
Dengan apa yang berlaku termasuk keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) sebelum ini, memang susah untuk menyanggah pelbagai dakwaan orang.
Cuba anda fikir sebab apa ia diungkit balik? Sebab mereka sendiri sebelum ini percaya reformasi institusi, jadi mengapa ia tidak diberi keutamaan?

Bagaimana saudara melihat keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) yang dikenakan sebelum ini?
Saya melihat ia lebih kepada membantah keputusan DNAA terhadap pemimpin terbabit dan bukannya menolak keputusan mahkamah.
Sekarang ini orang tertanya-tanya mengapa kes rasuah sebegini melibatkan orang atasan ditarik balik tanpa ada penjelasan kepada orang awam?
Sepatutnya kerajaan yang ada sekarang perlu ingat, apabila dia berkuasa ini tidak bermakna mereka boleh membuat apa-apa. Dalam masa yang sama mereka juga kena faham semua ahli Parlimen ini juga rakyat.
Begitu juga mereka yang berada dalam Kabinet. Diberi tanggungjawab oleh rakyat yang kemudiannya yang perlu dijelaskan. Bukan itu sahaja, semua ahli Parlimen dan menteri perlu ingat, tunaikan apa yang dijanji sewaktu sebelum pilihan raya. Kerana apa? Sebab apa yang mereka janjikan sebelum inilah mereka akhirnya dapat berkuasa.

Bagaimana saudara melihat isu kononnya wujud pendakwaan terpilih?
Isunya bukan adil atau tidak. Tapi tanpa reformasi institusi pemisahan antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, sukar kita nak tolak dakwaan pelbagai pihak yang mengatakan ia satu bentuk pemilihan (dakwaan terpilih).
Cuba awak bayangkan satu situasi bagaimana sekiranya orang yang sama dilantik dan dalam masa keputusan tidak dijelaskan? Selepas itu pula ada beberapa perkara seperti pemisahan kuasa dan institusi masih tidak dilaksanakan.
Itu satu perkara yang perlu kerajaan hadap apabila terdapat isu dan tiada tindakan untuk mereformasikan institusi . Semua orang nampak apa yang dikatakan sesetengah pihak sebagai pendakwaan terpilih.
Apabila tiada jawapan apa lagi mereka nak fikir?

Kes Nik elin bukan isu Islam dan bukan Islam

Pandangan saudara terhadap kes Nik Elin ?

Saya bersetuju (dengan Nik Elin) sebab dalam kes itu, apa yang Mahkamah Persekutuan lakukan hanyalah merujuk kepada pengasingan kuasa antara Persekutuan dan negeri.

Memang saya percaya dengan keputusan diberikan dan hebahan dalam mahkamah.
Ia bukannya isu Islam dan bukan Islam. Apa yang dilihat dan dipertimbangkan adalah berkenaan merangka undang-undang sedemikian dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan.

Saya ada baca alasan kehakiman dan bersetuju. Memang kita tidak boleh pertikaikan. Perlembagaan ada katakan isu jenayah atau double jeopardize (bahaya dua kali), semua ini adalah perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta harus dipertimbangkan Mahkamah persekutuan.

Jadi 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 harus di mansuhkan. Tidak boleh hanya kerana hendak tegakkan sesuatu, kita tidak hiraukan Perlembagaan Persekutuan.

Orang selalu sebut pasal Rukun Negara. Benar, ia tidak terikat dengan mana-mana pihak. Tapi dalam rukun negara ada keluhuran Perlembagaan. Itu perlu diingat. Masalahnya sekarang semua nak jadikan polemik dan dipolitikkan.

Adakah kerajaan masih dalam fasa ‘bulan madu’ atau tidur apabila beberapa janji tidak dilunaskan?
Sama ada kerajaan masih tidur, tidak kukuh, demi perpaduan, perlu berjaga-jaga atau apa sahaja alasan, itu semua tidak penting. Sebab apabila orang mengundi orang tidak fikir pasal semua alasan. Janji sudah ditabur dan katanya nak buat apabila jadi kerajaan.

Apabila sudah dapat kuasa dengan janji yang dibuat kepada pengundi, maka mereka kenalah buat (tunaikan) Pada saya, sekarang ini apa yang kita lihat, ia adalah satu pengkhianatan apabila janji diberikan tidak ditunaikan.
Kalau nak cakap apa sahaja alasan, itu semua tidak penting. Tiada siapa pun suruh atau paksa jadi kerajaan. Kita pun tahu jadi kerajaan ini memang tidak mudah pun.Tapi bila janji dalam manifesto mahu diabaikan memang tidak boleh diterima.

Adakah hala tuju Lawyer For Liberty seiring dan akan bersama dengan NGO lain ?
Kami berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan kita akan lihat secara keseluruhan dengan sistem yang mana dapat memastikan tiada penyelewengan dilakukan oleh sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan.
Misi dan visi utama kami untuk menegakkan hak asasi manusia.

Tidak takut digelar liberal apabila bercakap dalam konteks hak kebebasan yang membabitkan penghasilan karya termasuk sebagaimana menjadi kontroversi sebelum ini?

Kita tidak fokus pada label atau apa sahaja gelaran yang orang berikan. Ini terpulang pada individu tersebut.

Pendirian kita jelas pendirian iaitu untuk menegakkan hak asasi manusia. Ia bukan perkara berasingan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hak bersuara, ekspresi, berhimpun, untuk hidup dan kesamarataan semua ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan memang ada dalam negara kita.Malahan sudah wujud sejak adanya Perlembagaan Malaysia.

Kami universal. Macam mana nak kata ini semua ada pengaruh sedangkan orang tidak selami apa itu hak asasi sebenar? – UTUSAN

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×