DIGITALISASI dalam pendidikan abad ke-21 memang membawa banyak manfaat dari segi akses, fleksibiliti dan kecekapan pembelajaran. Namun di sebalik kemajuan ini, terdapat elemen penting yang semakin terhakis iaitu sentuhan kemanusiaan dalam proses pendidikan.
Apabila pembelajaran beralih secara besar-besaran ke ruang digital, ia bukan sekadar menukar medium tetapi turut mengubah sifat asas pendidikan itu sendiri.
Interaksi fizikal antara guru dan pelajar yang sebelum ini menjadi asas pembentukan nilai, emosi dan sahsiah kini semakin berkurang. Akibatnya, pembelajaran cenderung menjadi proses pemindahan maklumat semata-mata, bukan lagi pembentukan insan secara menyeluruh.
Dalam ruang digital, komunikasi juga menjadi terhad kepada teks, skrin dan simbol. Elemen penting seperti ekspresi wajah, bahasa tubuh dan nada suara yang membawa makna emosi sering hilang.
Hal ini menjejaskan kualiti hubungan antara guru dan pelajar, sekali gus mengurangkan keberkesanan proses pembelajaran.
Ekosistem digital turut mengubah cara ilmu dinilai. Perhatian dan populariti kini sering mengatasi kebenaran dan kedalaman ilmu. Ini mewujudkan krisis nilai apabila pelajar lebih terdedah kepada kandungan pantas dan sensasi berbanding pembelajaran yang mendalam dan bermakna.
Peranan guru sebagai sumber autoriti ilmu dan nilai juga semakin tercabar oleh pengaruh media sosial dan algoritma digital.
Lebih membimbangkan, kemerosotan interaksi manusia dalam pendidikan boleh membawa kepada penurunan empati dan kekuatan emosi dalam kalangan pelajar. Tanpa hubungan sosial yang sebenar, generasi muda berisiko membesar dengan keupayaan memahami manusia yang semakin lemah.
Justeru, pendidikan masa kini perlu kembali mencari keseimbangan antara teknologi dan kemanusiaan. Teknologi tidak boleh ditolak tetapi tidak boleh dibiarkan menguasai sepenuhnya proses pendidikan.
Guru perlu kekal sebagai pembimbing yang membina pengalaman pembelajaran bermakna, bukan sekadar penyampai maklumat.
Akhirnya, pendidikan yang sebenar bukan hanya melahirkan individu yang bijak menggunakan teknologi tetapi manusia yang seimbang dari segi intelektual, emosi dan nilai kemanusiaan. – UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH & MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Sixtysix Action Academy










