DALAM dunia yang bergerak pantas dengan teknologi canggih dan maklumat tanpa sempadan, kecerdasan buatan (AI) bukan lagi perkara asing, bahkan semakin rapat dengan kehidupan harian termasuk pelajar di institusi pengajian tinggi. (IPT).
AI bukan sekadar alat untuk mencari maklumat, malah menjadi rakan belajar, pembantu penyelidikan, bahkan penentu hala tuju kerjaya masa hadapan.
Bagi pelajar, AI memberikan banyak kelebihan. Sebagai contoh, aplikasi seperti Canva dan ChatGPT memudahkan penciptaan bahan pembelajaran, penulisan tugasan dan pemahaman konsep yang sukar. AI juga membantu pelajar menjana idea kreatif, mencari rujukan yang sesuai dan mempercepatkan kerja penyelidikan.
Pensyarah pula boleh menyediakan pengajaran yang lebih interaktif dan sesuai dengan tahap pelajar.
Namun, kebergantungan sepenuhnya kepada AI boleh menjadi pedang bermata dua kerana mungkin menghakis kemahiran berfikir secara kritis, menulis secara asli dan menyelesaikan masalah tanpa bantuan teknologi.
Dalam konteks dunia pekerjaan, pelajar masa kini harus bersedia menghadapi perubahan besar. Banyak syarikat kini mengautomatikkan tugas-tugas rutin seperti pengurusan data, khidmat pelanggan dan analisis pasaran. Ini meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos, tetapi dalam masa sama mengurangkan keperluan terhadap tenaga kerja manusia untuk tugas-tugas asas.
Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia, hampir separuh daripada kemahiran kerja sedia ada dijangka akan berubah dalam tempoh lima tahun akan datang.
Oleh itu, pelajar perlu mempersiapkan diri dengan kemahiran yang sukar digantikan oleh mesin seperti kreativiti, kepimpinan, komunikasi interpersonal, empati dan pemikiran strategik. Mereka juga perlu celik digital dan mampu beradaptasi dengan persekitaran kerja yang menggunakan teknologi canggih. Kisah kejayaan usahawan muda tempatan seperti Khairul Aming boleh dijadikan inspirasi.
Khairul Aming menggunakan teknologi pintar dalam strategi pemasaran produknya dan berjaya mencatat jualan RM7.5 juta dalam masa setahun. Ini membuktikan mereka yang bijak memanfaatkan AI dan media sosial mampu membina kerjaya yang berjaya walaupun tanpa latar belakang teknikal yang mendalam.
Namun, pelajar juga harus sedar akan risiko AI terhadap keselamatan dan privasi. Dalam kehidupan harian, penggunaan aplikasi seperti Google Maps, Waze atau media sosial memang memudahkan tetapi data peribadi yang dikumpulkan boleh disalah guna. Kes jenayah siber yang semakin meningkat, seperti penyamaran dan penipuan melalui pautan palsu, menunjukkan pelajar mesti lebih berhati-hati.-UTUSAN
FATEEN AMEERA MOHAMED FAROQUE
& DR. AFIQAH KAMARUL
Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










