Sedia hadapi era baharu Presiden Trump

Sedia hadapi era baharu Presiden Trump

KURANGKAN kebergantungan kepada pasaran ekonomi yang berseteru seperti di Amerika Syarikat (AS) dan China.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UCAPAN sulung Donald Trump semasa upacara angkat sumpah Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-47 yang penuh semangat nasionalisme dan janji-janji untuk kebangkitan Amerika seolah memberikan gambaran tentang dasar-dasar agresif yang bakal diterapkan oleh pentadbiran beliau untuk empat tahun ke depan.

Walaupun ucapan ini ditujukan kepada rakyat Amerika, kesannya bakal dirasakan oleh seluruh dunia, termasuklah kita, warga Malaysia.

Namun, kita boleh mengambil pelbagai langkah proaktif bagi menghadapi cabaran ini. Di peringkat kerajaan dan organisasi multinasional, mereka bolehlah memberi tumpuan kepada penerokaan pasaran ekonomi baharu untuk mengeksport komoditi seperti di Timur Tengah dan Asia Tengah untuk mengurangkan kebergantungan kepada pasaran ekonomi yang berseteru seperti di AS dan China. 

Contohnya, hasrat Malaysia bagi menjadikan Pakistan sebagai hab pengedaran strategik bagi eksport minyak sawit ke Asia Tengah baru-baru ini adalah langkah yang tepat dalam mengurangkan kesan polisi ekonomi Trump ini.

Selain itu, kerajaan dan rakyat juga boleh terus memperkasakan industri kecil dan sederhana (IKS) yang menyumbang hampir 40 peratus kepada KDNK negara. 

Oleh itu, kerajaan mestilah memperkuatkan usaha-usaha pemberdayaan IKS ini. Contohnya, kerajaan boleh menyediakan dana khas untuk membantu IKS melabur dalam teknologi, digitalisasi, dan automasi, seperti perisian pengurusan inventori atau platform e-dagang. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan tetapi juga membantu PKS menembusi pasaran global yang lebih luas.

Kita sebagai rakyat pula mestilah terus menyokong produk tempatan tanpa berbelah bahagi, sama ada makanan, pakaian, atau perkhidmatan. Ini boleh membantu mengekalkan peluang pekerjaan dan mengurangkan pergantungan kepada barangan import yang lebih mahal.

 Renung sejenak bagaimana kita telah dengan jayanya memboikot beberapa rangkaian restoran asing yang berkaitan dengan Israel sejak 2023 dan seterusnya menaikkan pula sejumlah francais makanan dan minuman tempatan. Tidak mustahil kita boleh melakukan hal yang sama untuk produk-produk tempatan yang lain juga dalam mendepani keagresifan dasar ekonomi pentadbiran Trump 2.0 ini.

Bagi menghadapi dasar imigresen AS yang lebih ketat, rakyat Malaysia boleh memanfaatkan peluang belajar atau bekerja di rantau-rantau lain seperti di Timur Tengah, Australasia, dan Asia Timur yang dipercayai lebih terbuka dengan kehadiran bakat-bakat antarabangsa. Kita juga boleh mempelajari kemahiran baharu yang relevan dengan ekonomi digital, seperti pengaturcaraan atau pemasaran digital, bagi menyesuaikan diri dengan landskap pekerjaan yang berubah.

Menambah nilai jual diri kita menerusi kiat usaha pengembangan kemahiran seperti ini bukan sahaja menjadikan kita lebih berdaya saing malah bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan di pasaran global.

Trump mungkin mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan ekonomi global tetapi rakyat Malaysia tidak perlu hanya menjadi pemerhati dan bersikap tunggu dan lihat. Kita boleh membuat beberapa perubahan kecil dan mudah ke atas diri dan lingkungan kita sendiri, yang bakal berimpak positif kepada kita dan negara kita pada masa depan, tanpa mengira siapapun yang menerajui kuasa-kuasa besar dunia, atau apapun polisi dan dasar yang bakal mereka bawa.

Mulakanlah ia pada hari ini demi membina masa depan yang lebih kukuh dan mampan bagi generasi akan datang.-UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK

Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×