Hentam ulama, gelar ‘walaun’ ini mahu jatuhkan Islam - Utusan Malaysia

Hentam ulama, gelar ‘walaun’ ini mahu jatuhkan Islam

USTAZ AHMAD DUSUKI ABDUL RANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

SATU demi satu isu berkaitan Islam diperdebatkan sejak kebelakangan ini.Lebih parah apabila kontroversi membabitkan penceramah sebelum ini mengundang polemik terutama di media sosial sehingga membuka jalan ke arah perpecahan umat Islam.

Pelbagai pandangan dilontarkan terutama dalam kalangan tokoh agama dan masyarakat dalam hal-hal berkaitan.

Justeru wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah penceramah bebas, USTAZ AHMAD DUSUKI ABDUL RANI bagi mendapatkan perspektif beliau.

 

MINGGUAN MALAYSIA: Begitu hangat kritikan masyarakat umum dan netizen terhadap ulama di media sosial. Pandangan ustaz?
AHMAD DUSUKI: Untuk makluman, ulama ini bukanlah satu jawatan. Akan tetapi ia merupakan satu ‘anugerah’ yang Allah SWT berikan pada individu tertentu, untuk mereka yang dekat dengan-Nya. Ia tidak seperti jawatan Perdana Menteri. Allah SWT ada berfirman dalam Al-Quran: “Sesungguhnya di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya hanyalah para ulama, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (QS Surat Fathir: 28)

Jadi, apabila seseorang itu sudah dekat dengan Allah SWT, maka diangkatlah kedudukannya. Macam mana mahu menjadi ulama? Sudah tentu dia perlu ada ilmu agama dan kedua, seseorang itu perlu beramal dengan ilmu Allah SWT. Tidak kira siapa yang penting ada kedua-dua ciri berkenaan.

Justeru orang yang diberi Allah SWT dengan anugerah untuk menjadi lebih dekat dengan-Nya, tidak wajar untuk dimaki hamun atau mencela sebab itu anugerah daripada-Nya. Siapa yang mencela ulama maka mereka juga mencela Allah SWT sebab ulama itu satu anugerah daripada-Nya.

Adakah perbuatan menghentam ulama ini sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat sehingga disifatkan serius?

Semakin menghampiri akhir zaman ini, penghinaan terhadap golongan ulama menjadi serius. Malah di akhir zaman, Allah SWT akan matikan ulama serta golongan yang mempunyai ilmu agama selain orang soleh.

Maka tinggallah orang yang jahil sahaja dan kelompok ini mencari jalan untuk memusnahkan ulama yang tinggal.

Kemudian musuh pula tidak berhenti-henti untuk menyerang asas kepada Islam ini. Perlu diingat, kekuatan masyarakat Islam ini salah satu tunjang kuatnya ialah ulama. Kerana apa?

Kerana golongan ulama sahaja yang boleh kekal istiqamah kepada perintah Allah SWT dan berilmu. Sebab itu, apabila semakin hampir dunia kepada kiamat, maka Allah SWT akan ‘tarik’ golongan ini. Masyarakat Islam kemudiannya tiada arah tuju dan kekuatan sehingga yang tinggal hanyalah orang jahil.

Apabila tinggal orang jahil, mereka keluarkan pandangan dan fatwa sendiri, kemudian mereka akan sesat serta menyesatkan orang lain. Ini masalah serius dalam masyarakat kita hari ini sebab kita sudah berada di akhir zaman.

Perlu diingat ulama ini pewaris nabi. Ulama ini juga idola dan ilmu ada pada ulama. Jadi, musuh-musuh ini akan terus mencari ulama dan memusnahkan mereka. Tambahan pula, pada zaman sekarang ada gerakan liberal dan sekular yang kuat, sudah tertanam sejak 100 tahun lalu iaitu sejak 1924 untuk menghilangkan kekuatan tunjang orang Islam.

Adakah isu kutipan derma dan pembahagian sumbangan untuk kos pengurusan sejak kebelakangan ini?

Ia dibolehkan. Kita lihat sebagaimana yang disebut (pembahagian sumbangan) untuk asnaf 1/8. Maknanya, kalau kita mahu mengambil (sumbangan) untuk kos pengurusan, boleh ambil 20 peratus. Itu tiada masalah.

Cuma daripada sudut ketelusan itu yang sering kali dipertikaikan. Telus atau tidak telus? Itu persoalan-persoalan yang berlegar dalam fikiran orang ramai.

Sebenarnya, ramai masyarakat tidak tahu sama ada pengurusan itu ada mengambil 20 atau 30 peratus Bagi saya mudah sahaja. Orang yang menyumbang serahkan sepenuhnya hal pahala atau kemana aliran wang akan pergi kepada ketentuan kepada Allah SWT.

Sementara itu, orang yang menerima sumbangan perlu betul-betul amanah dengan apa yang dia buat sebab ia diibaratkan umpama menggenggam bara api. Kalau tidak kena pada gaya, memang boleh terjerumus kepada lembah neraka. Yang jahatnya ialah mereka yang menjadi batu api dan mempertikaikan hal-hal yang menyentuh tentang sumbangan ini.

Pandangan ustaz tentang child free (perkahwinan tanpa anak)?

Kebetulan ini bidang saya dan saya sedang buat ijazah doktor falsafah (PhD). Apa yang saya mahu sebutkan di sini adalah asas nikah ada banyak sebab. Antaranya, kerana mahu mengawal hawa nafsu, tambah rezeki dan zuriat. Adakah child free salah pada asas nikah? Jawapannya tidak. Sebab, seseorang itu berkahwin untuk menyalurkan nafsu agar tidak berzina.

Cuma dia tidak mahu zuriat, tidak mahu menyambung warisan dan keturunannya. Boleh atau tidak? Jawapannya boleh. Sebab, dia hanya mahu menjaga sudut itu (kemaksiatan) sahaja. Dia tidak mahu zuriat, itu tidak mengapa cuma rugi. Umpamanya orang yang mahu membeli kereta tetapi tiada alat ganti atau komponen lain. Dalam erti kata lain, kereta tidak lengkap.

Apa pun perlu diingat apabila berkahwin, seseorang itu mendapat zuriat, pahala dan bertambah rezeki. Bagaimana pula kalau tidak mahu anak disebabkan kos yang tinggi pada zaman sekarang? Tiada masalah dan ia tidak sampai jatuh hukum haram. Bagaimanapun harus diingat Rasulullah SAW sendiri berbangga dengan orang yang mempunyai zuriat yang ramai.

RUU MUFTI
Sejauh mana ustaz melihat kepentingan Rang Undang Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan ) 2024 terhadap kemaslahatan umat Islam?

Sewajarnya memang perlu ada RUU ini supaya tidak berpecah lagi masyarakat kita di masa akan datang.

Dalam masyarakat kita, banyak aliran pemikiran yang masuk. Kalau kita tidak kawal dengan adanya RUU ini, maka masyarakat kita akan lebih berpecah dan wujud sengketa yang menumpahkan darah.

Jadi, adalah lebih baik apa yang dipanggil sekarang ini menutup jalan awal daripada timbulnya perbalahan akan datang.

Kalau seseorang itu menentang RUU ini, mungkin ia disebabkan rasa dalam diri tidak berjaya mendapat tempat dan tidak berada dalam Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Dan mereka tidak sepandangan dengan Asya’irah yang menyebabkan mereka mesti keluar daripada kelompok ini. Mereka dalam masa sama merasakan undang-undang ini tidak selari mereka.

Analoginya seperti orang yang tidak setuju dengan hukum hudud. Sebab apa, dia tidak setuju? Sebab dia mencuri. Kalau dia tidak mencuri tidak mungkin dia bersetuju dengan syariat Allah SWT.

PAS PERLU KEKAL IMEJ WARAK
Bagaimana ustaz melihat kepimpinan Pas pada masa sekarang?

Kepimpinan sekarang perlu lebih segar dengan barisan baharu yang lebih nampak keilmuan yang hebat dan diterima masyarakat. Selain itu kepimpinan tidak boleh terikat dengan suasana lama.

Malah, bagi saya kita perlu bersedia dengan ketiadaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Kepimpinan yang masih mengekalkan imej warak dan terus diterima masyarakat.

Adakah ini bermakna kepimpinan Pas perlu lebih intelektual dan bukannya berteraskan kepimpinan golongan ulama semata-mata?

Pas perlu mengekalkan identiti ulama. Sebab kepimpinan ulama menjadi asas kepada kekuatan Pas sampai hari ini. Dan Pas tidak boleh bergaya dengan kepimpinan profesional semata-mata.

Ini pandangan saya. Sebab kepimpinan profesional ini parti lain pun ada. Pas ini hebat sebab adanya ulama. Cuba tengok parti lain, mana ada yang bercerita tentang dosa dan pahala.
Jadi, Pas perlu kekal dengan apa yang dibawakan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Abdul Hadi.

Bagaimanapun ia tidak bermakna golongan profesional kita tolak. Kita berharap mereka (golongan profesional) ini akan bersama membantu memberi input baik untuk soal berkaitan dosa dan pahala.

Dalam erti kata lain, Pas tidak boleh jadi sama dengan parti lain dan kita ada keistimewaan sendiri. Kalau sama dengan parti lain, lebih baik tukar masuk dan sertai parti sedia yang ada di Malaysia. Entiti perlu dikekalkan. Sekarang ini ulama Pas banyak diserang. Mengapa? Kerana inilah kerana hebatnya golongan ulama. Musuh terasa tercabar.

PERBALAHAN AGAMAWAN

Apakah langkah terbaik yang boleh dilakukan apabila ada perbalahan melibatkan golongan agamawan dibuat secara terbuka dalam satu-satu isu?

Ia tidak wajar. Kalau ada yang salah berkaitan tafsiran hadis riwayat yang dikatakan palsu, seseorang itu perlu dibawa mahkamah. Yang boleh dakwa ialah mahkamah (syariah).

Dia tidak boleh dihakimi oleh netizen atau mana-man pihak. Kerana orang yang ‘diserang’ itu juga seorang agamawan. Seseorang boleh dianggap bersalah apabila mahkamah putuskan beliau bersalah. Mahkamah pula perlu mahkamah syariah. Sekarang ini mengapa pula beliau dihakimi oleh pandangan awam?

Pandangan awam bukan setara dengan orang yang bergelar agamawan. Analoginya mudah. Adakah boleh kalau orang yang tidak belajar arkitek mahu memberi pandangan dalam bidang arkitek?

Selain itu, saya lihat ini cara yang dibuat kumpulan liberal. Mana-mana tokoh agama yang mahu tarik masyarakat, akan dicari kesilapan mereka.

Tidak dinafikan mungkin ada perkara salah dibuat tokoh terbabit. Akan tetapi sepatutnya dibawa berjumpa agamawan yang lain untuk berbincang dan dapatkan penerangan mereka.Tanya daripada kitab mana hadis tersebut diperoleh.

Mufti perlu sentiasa menasihati dan hidup dalam masyarakat. Tegur tanpa mengira siapa pun. Kalau yang ada mufti bersuara dalam satu-satu isu pun, dua atau tiga orang sahaja. Ini tidak, netizen yang bantai agamawan. Jadi, bila masalah akan selesai?

TOKOH PAS DIHENYAK
Siapa yang layak memimpin Pas selepas Abdul Hadi?

Pas ada ramai tokoh yang layak, soleh dan tokoh yang fakeh. Sebab itu, tokoh-tokoh sedang ‘dihenyak’ kumpulan liberal menerusi gerakan sekular ini.

Walau apapun, Insya-Allah apabila satu ketika kepimpinan ulama ini terus dipertahankan, orang akan pilih siapa paling soleh dan dekat dengan Allah SWT untuk memimpin mengetuai Pas.

WALAUN ITU FIRAUN?
Apakah sebenarnya maksud ‘walaun’ bagi orang Pas?
Itu cara memaki atau menghina. Pada saya ia diambil daripada perkataan wala’ (taat). Ia kalimah al-Quran dan di ‘un’ dengan diambil daripada perkataan firaun.

Pada saya, penyokong Pas cuba digambarkan seperti pengikut firaun. Bagaimanapun,caci dan keji mereka (penyokong Pas) ia tidak menjejaskan penyokong dan alim ulama kepada parti itu.

Malah kita tidak pernah terjejas dengan kata-kata cacian atau makian. Kalau dilihat Nabi Muhammad SAW sendiri lagi teruk. Itulah cara-cara musuh mahu jatuhkan kita. Perlu diingat kita tidak terjejas. Tidak terjejas pun.

Allahyarham Nik Abdul Aziz dulu apa yang orang tidak kutuk? Janggut kambing dan macam-macam lagi. Tetapi apabila ketiadaannya, sehingga sekarang disebut tentang jasa-jasa beliau. Begitulah kita dalam menyebarkan agama yang penuh cabaran. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN