PERKATAAN rasuah berasal daripada perkataan Arab yang berbunyi al-risywah. Ia bermaksud memberi sesuatu itu sama ada dalam bentuk wang ringgit, harta benda, jawatan, perkhidmatan, janji manis dan sebagainya.
Ia diberikan kepada orang yang tertentu yang tidak layak menerimanya. Mungkin orang yang diberi rasuah itu mempunyai gaji dan upah yang tertentu, lebih kaya serta berjawatan dan bukan pula kaum keluarga si pemberi.
Pemberian yang diberi dengan niat agar suatu masa nanti akan mendapat balasan dan imbalan yang lebih besar dari orang-orang tertentu tadi. Sedangkan pada hakikat orang lain yang sepatutnya memiliki hak itu.
Seingat saya sudah lama rakyat Malaysia madani diingatkan dengan bahaya amalan rasuah. Sudah banyak kempen termasuk di alam maya yang mendedahkan bahayanya amalan rasuah tetapi ia tetap wujud lagi.
Justeru, keburukkan amalan rasuah ini harus didedahkan sejak kanak-kanak di bangku sekolah lagi agar mereka dapat membesar dengan pemikiran untuk membenci aktiviti tidak sihat ini. Pelajar harus difahamkan tentang apa itu rasuah dan kesannya kepada negara kerana merekalah yang akan mewarisi negara ini, pada masa akan datang.
Sampai bila hendak hidup seperti musang berbulu ayam. Lambat laun sampai masa kena juga. Ketika itu anda dan keluarga yang akan menanggung malu.
Ingat, negara kita ada undang-undang, bahkan mereka yang makan rasuah ini juga kaan berdepan hukuman akhirat. Belajarlah dan fahamilah mengapa rasuah itu haram dalam agama Islam.-UTUSAN
IBNU ARASY DZIKRULLAH
Paya Keladi, Kepala Batas Pulau Pinang.










