Guru penentu kejayaan kurikulum baharu

Guru penentu kejayaan kurikulum baharu

KEJAYAAN Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) bergantung pada kesediaan guru membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berkarakter.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata. Murid yang cemerlang dalam peperiksaan juga perlu memiliki sikap hormat, empati, kebolehan mengawal emosi dan rasa tanggungjawab terhadap orang lain.

Nilai inilah yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian menjelang pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027).

Pelaksanaan secara berfasa, bermula dengan prasekolah pada 2026 serta Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027, membuka ruang untuk memperkukuh asas perubahan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penekanan terhadap pembentukan karakter membawa harapan besar dalam usaha melahirkan generasi yang bukan sahaja berilmu, malah mempunyai keperibadian terpuji.

Sehubungan itu, usaha Kementerian Pendidikan (KPM) memperbaharui sistem pendidikan negara wajar dihargai. Namun, kejayaan pelaksanaannya turut bergantung pada kesediaan guru yang menjadi penggerak utama perubahan.

Sokongan kepada mereka perlu merangkumi latihan, kemudahan dan ruang untuk menyesuaikan pendekatan pengajaran dengan keperluan murid.

Murid mungkin mampu menghafal maksud hormat, empati dan amanah tetapi penguasaan istilah belum membuktikan penghayatan nilai. Pembentukan karakter lebih jelas apabila mereka berhadapan dengan situasi sebenar, seperti membantu rakan yang ketinggalan, menerima kekalahan dalam pertandingan atau menghentikan penyebaran mesej yang mengaibkan orang lain.

Oleh itu, guru perlu menggunakan pendekatan yang dekat dengan kehidupan murid, termasuk dilema moral, simulasi konflik, pembelajaran koperatif dan refleksi kendiri. Sebagai contoh, murid boleh diberikan situasi seorang rakan disisihkan daripada kumpulan.

Mereka kemudian dibimbing menilai perasaan pihak terlibat, mempertimbangkan pilihan tindakan dan memahami kesan setiap keputusan.

Aktiviti sedemikian dapat melatih murid membuat pertimbangan, menghormati pandangan berbeza serta menyelesaikan konflik secara beradab.

Kesediaan pendidik tidak cukup sekadar memahami dokumen kurikulum. Mereka memerlukan panduan praktikal yang boleh disesuaikan mengikut umur, keperluan dan latar belakang murid.

Bahagian Pembangunan Kurikulum telah menyenaraikan penataran mata pelajaran Tahun Satu dan Tingkatan Satu serta Program Pembentukan Karakter bagi KP2027. Usaha ini perlu diteruskan melalui bimbingan berkala di peringkat sekolah.

Latihan juga perlu memberikan pendedahan tentang cara menangani murid yang mudah marah apabila ditegur, mengurus gurauan yang bertukar menjadi penghinaan serta membimbing mereka mengakui kesalahan dan memperbaiki hubungan.

Guru memerlukan peluang mencuba pendekatan, menerima maklum balas dan berkongsi pengalaman dengan rakan sejawat. Kepimpinan sekolah pula perlu menyediakan masa serta ruang untuk tujuan tersebut.

Dalam pembentukan karakter, tingkah laku orang dewasa turut menjadi contoh kepada murid. Apabila guru mendengar sebelum membuat keputusan, mereka menunjukkan nilai keadilan. Teguran tanpa penghinaan pula mengajar murid menghormati maruah manusia, manakala pelaksanaan peraturan secara konsisten membentuk kefahaman tentang tanggungjawab.

Ketegasan tetap diperlukan apabila berlaku perbuatan yang mencederakan, mengancam atau merendahkan orang lain. Namun, tindakan disiplin perlu disertai bimbingan supaya murid memahami kesalahan, menerima akibat dan mempelajari tingkah laku yang lebih baik.
Guru juga perlu membantu mereka mengenal pasti hubungan antara pemikiran, emosi dan tindakan.

Dalam hal ini, guru bimbingan dan kaunseling boleh merancang intervensi serta menyokong pengurusan kes di dalam kelas. Murid yang memerlukan bantuan khusus pula hendaklah dirujuk melalui saluran sewajarnya.

Pentaksiran karakter memerlukan pemerhatian yang teliti dan tidak wajar bersandarkan satu kejadian sehingga murid diberikan label negatif. Sebaliknya, perubahan tingkah laku, refleksi kendiri dan maklum balas khusus boleh digunakan untuk menilai perkembangan mereka.

Keberanian meminta maaf, kesanggupan menunaikan tanggungjawab dan keupayaan mengawal kemarahan merupakan kemajuan yang perlu dihargai.

Dokumentasi pula hendaklah ringkas serta membantu tindakan susulan, bukannya menambah beban pentadbiran sehingga mengurangkan masa guru bersama murid.

Pada masa sama, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan menerapkan nilai yang sama di rumah, termasuk melalui cara menyelesaikan konflik dan berkomunikasi dalam media sosial. Pengukuhan berterusan antara sekolah dengan keluarga penting supaya pembentukan karakter tidak terhenti di bilik darjah.

Pelaksanaan secara berfasa juga memberi peluang kepada KPM menilai pengalaman awal, mendengar pandangan guru dan menambah baik sokongan sebelum kurikulum diperluas.

Akhirnya, kejayaan KP2027 bukan sekadar bergantung pada kandungan kurikulum, tetapi turut ditentukan oleh kemampuan guru menghidupkan nilai melalui teladan dan pengalaman harian. Mereka perlu dibekalkan ilmu, kemahiran, masa serta sokongan yang mencukupi agar hasrat melahirkan generasi berilmu dan berkarakter dapat direalisasikan. -UTUSAN

DR. NOR ASIKHIN ISHAK
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini