Enam bulan, mana status dana zakat?

Enam bulan, mana status dana zakat?

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menjelaskan status siasatan demi ketelusan dan kepercayaan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA yang menjadi perhatian umum ialah sehingga kini, selepas lebih enam bulan, masih belum ada kenyataan rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai status siasatan kes dana zakat di Pulau Pinang.

Rekod menunjukkan lebih 20 individu dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan. Tempoh tersebut menimbulkan persoalan mengenai perkembangan kes, sama ada siasatan masih berjalan, telah dilengkapkan atau sedang menunggu keputusan pihak berkaitan sebelum tindakan lanjut diambil.

Justeru, SPRM wajar tampil menjelaskan perkembangan terkini siasatan supaya tidak timbul pelbagai andaian dalam kalangan rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketelusan amat penting, lebih-lebih lagi apabila kes terbabit mempunyai kaitan dengan dana zakat yang sepatutnya disalurkan kepada golongan asnaf.

Tiada sesiapa yang wajar dianggap bersalah sebelum proses undang-undang diselesaikan. Jika siasatan turut melibatkan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, perkara itu juga tidak seharusnya menjadi alasan untuk menjejaskan prinsip keadilan.
Namun, status kes melebihi enam bulan sewajarnya dimaklumkan kepada masyarakat berdasarkan perkembangan sebenar.

Sebarang kelewatan tanpa penjelasan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kredibiliti agensi penguat kuasa, selain berisiko menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan institusi zakat negeri.

Sebagai anak Pulau Pinang, pengundi berdaftar dan pembayar cukai, saya menyeru SPRM supaya memaklumkan status terkini siasatan secara terbuka.

Perkara ini lebih penting apabila individu yang dikaitkan merupakan pemimpin kanan sebuah parti yang turut menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Prinsip sama mesti terpakai kepada semua ahli dan pemimpin politik tanpa mengira kedudukan, parti atau hubungan dengan pihak berkuasa. Siasatan hendaklah bebas daripada campur tangan mana-mana pihak serta mengutamakan kepentingan awam.

Jangan sampai wujud persepsi ada pihak mendapat layanan istimewa hanya kerana kedudukan politik. –UTUSAN

RAHMAD ISAHAK
Aktivis politik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini